Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: Raikan Ilmu@Heartlands beri peluang pelajar timba ilmu di luar bilik darjah

Jun 29, 2024 | 6:43 PM
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (dua dari kiri) berswafoto bersama pelajar yang menyertai Tuisyen Mendaki (MTP) yang hadir ketika acara pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands 2024 di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 Jun.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat (dua dari kiri) berswafoto bersama pelajar yang menyertai Tuisyen Mendaki (MTP) yang hadir ketika acara pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands 2024 di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 Jun. - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan membawa acara Raikan Ilmu ke kawasan estet kejiranan, ia membuka peluang kepada orang ramai khususnya pelajar untuk menimba ilmu di luar bilik darjah mereka, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad,

Di samping itu, ia juga akan membantu masyarakat Melayu/Islam meraih pengetahuan tentang teknologi serta pekerjaan yang baru muncul dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah.

Bercakap kepada wartawan di luar acara pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands 2024 di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 Jun, Encik Zaqy, yang juga Naib Pengerusi Yayasan Mendaki berkata adalah penting untuk membawa pembelajaran berasaskan pengalaman ini kepada pelajar.

Ini kerana ia akan bantu mereka memperoleh pandangan daripada perkongsian pengalaman pakar industri dan karyawan.

Menerusi usaha ini juga, ia diharap dapat membantu memberikan pemahaman yang lebih luas tentang bagaimana teknologi baru digunakan dalam pekerjaan semasa, tambah Encik Zaqy.

“Jadi kita mahu membawa anak-anak kita belajar dari luar bilik darjah, serta mendedahkan mereka, daripada perkongsian pengalaman karyawan dan agensi korporat kita, tentang teknologi baru seperti robotiks dan sebagainya.

“Dan menerusi pendedahan kepada para karyawan kita, mereka juga mampu melihat apakah industri baru yang akan datang dan membantu mereka memilih laluan kerjaya,” kata Encik Zaqy.

Edisi Raikan Ilmu@Heartlands 2024 bakal berlangsung dari 29 Jun hingga 28 Julai.

Ia akan diadakan di tiga estet kejiranan – OTH pada 29 dan 30 Jun, Jurong Point pada 20 dan 21 Julai, dan Kampung Admiralty pada 27 dan 28 Julai.

Bersama-sama dengan 40 rakan kongsi negara, masyarakat dan korporat, lebih daripada 80 aktiviti dianjurkan untuk tiga hujung minggu ini.

Dibahagikan kepada empat astaka – Kreativiti, Inovasi, Penemuan dan Kesejahteraan – pengunjung boleh mencuba aktiviti berkaitan kecerdasan buatan (AI), robotik, kraftangan, serta peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Aktiviti ini telah disusun khas untuk ibu bapa yang mempunyai anak, pelajar, belia, pekerja dan mereka yang sedang mencari kerja. 

Di astaka Inovasi, kanak-kanak, ibu bapa, belia dan pekerja berpeluang berinteraksi dengan juruterbang dari Singapore Airlines dan mencuba sendiri simulasi penerbangan yang disediakan oleh sekolah penerbangan swasta tempatan, Aeroviation.

Selain itu, di astaka Kesejahteraan pula pengunjung dapat memanfaatkan sumber percuma  yang disediakan agensi perkhidmatan sosial seperti Club Heal dan Persatuan Disleksia Singapura (DAS).

Untuk menggalak belia dan golongan dewasa muda mempelajari pengekodan dan menunjukkan kemahiran mereka, terdapat dua pertandingan robotik yang menarik – The Virtual Dreambot Showdown and Robokick: The Smorphi Soccer Challenge – juga akan dianjurkan semasa acara Raikan Ilmu. 

Pertandingan itu merupakan kerjasama dengan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).

“Kami mahu mengubah persepsi di mana kita sering ingat bahawa pendidikan itu hanya di dalam sekolah ataupun dari segi buku,” kata Encik Zaqy. 

“Jadi bagi kami, pendedahan itu amat penting juga dan kita juga mahu anak kita didedahkan kepada pekerjaan baru yang baik, dan pekerjaan apakah yang sedang bertumbuh di Singapura dan bagaimana ia berkenaan dengan kita.”

Orang ramai boleh mendapatkan butiran lanjut tentang acara Raikan Ilmu@Heartlands melalui laman https://www.mendaki.org.sg/raikanilmu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg