Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Minat psikologi selepas lihat rakan berdepan masalah kesihatan mental

Nov 15, 2024 | 5:30 AM
Cik Javeria Opai berpendapat, pembelajaran emosi, reaksi manusia terhadap sesuatu perkara, dan punca kelakuan tertentu, menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk dipelajari, sekaligus menjurus minat beliau kepada psikologi serta berjaya mendapat dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF).
Cik Javeria Opai berpendapat, pembelajaran emosi, reaksi manusia terhadap sesuatu perkara, dan punca kelakuan tertentu, menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk dipelajari, sekaligus menjurus minat beliau kepada psikologi serta berjaya mendapat dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF). - Foto ihsan JAVERIA OPAI

Bagi Penolong Pengurus Perlindungan Kanak-Kanak di Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Cik Javeria Opai, 24 tahun, beliau mula meminati dunia psikologi setelah menyaksikan rakan-rakannya bergelut isu kesihatan mental semasa berada di bangku sekolah menengah.

Atas sifat keprihatinan tinggi, keadaan tersebut membuatkan beliau mencari jalan untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi mengatasi tekanan mental rakan-rakan tersebut.

Cik Javeria berkata: “Selepas kejadian itu, saya menyelidik lebih terperinci tentang kesihatan mental seperti perkhidmatan sedia ada dan mencari bagaimana cara ingin menyokong rakan-rakan saya dalam situasi sebegini.

“Malah, semasa berada di Maktab Rendah (JC), saya dilantik sebagai kaunselor penjagaan pastoral, yang bertugas menjaga emosi dan kesejahteraan pelajar dalam kelas. Saya gembira dengan peranan tersebut!

“Apabila ingin memasuki universiti pula, tumpuan saya hanya ke arah jurusan psikologi kerana pembelajaran emosi, reaksi manusia terhadap sesuatu perkara, dan punca kelakuan tertentu, menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk dipelajari.”

LIBATKAN DIRI DALAM INDUSTRI LATIHAN PSIKOLOGI

Graduan ijazah sarjana muda Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam Psikologi serta minor dalam jurusan Kerja dan Bimbingan Belia itu juga menyatakan, beliau banyak melibatkan diri dalam industri latihan berkaitan psikologi, setelah tamat pembelajaran.

Antaranya, beliau pernah bertugas sebagai Pembantu Klinik dan Ketua Media Sosial di Psychology Blossom dan memperoleh kemahiran sebagai kaunselor di bawah Persatuan Keluarga Rancangan Singapura (Singapore Planned Families Association).

Pada waktu lapang, beliau menawarkan diri menjadi relawan yang menyokong perkembangan kesihatan mental dan mendengar mereka yang memerlukannya, melalui inisiatif seperti HearBud, di bawah It All Starts Hear.SG.

DERMASISWA ETF BUKA RUANG KEJAR IMPIAN

Penerima dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF) - Jamae Kalvi pada tahun 2022 itu turut menjelaskan, perjalanan beliau menamatkan ijazah sarjana muda dalam masa empat tahun dipermudahkan dengan penerimaan biasiswa tersebut, lebih-lebih lagi, apabila beliau dibesarkan oleh seorang ibu tunggal.

Kehilangan susuk seorang ayah pada usia 10 tahun, membuatkan Cik Javeria menghargai pengorbanan ibu tersayang, Cik Saripah Moiden, yang menjadi sumber inspirasi utama dalam hidupnya.

Sebagai anak tunggal, Cik Javeria tidak mahu membebankan ibunya dalam mencapai cita-cita dan impian, terutama sekali dari segi kewangan. Justeru, beliau sangat bersyukur kerana berjaya menerima dermasiswa ETF, yang benar-benar sangat membantu.

“Memang tidak mudah membesarkan saya seorang diri, tetapi kekuatan serta pengorbanan beliau membuatkan saya tidak pernah merasa kekurangan sepanjang zaman kanak-kanak lalu.

“Tetapi, dalam meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi, saya juga ada sedikit kerisauan, dan tidak mahu membebankan ibu. Di sebalik kebimbangan ini, Mendaki hadir memberi sokongan hebat. Peluang yang telah diberi saya tidak mensia-siakannya, dan saya berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain pula suatu hari nanti.

“Bagi mereka yang memiliki kerisauan yang sama, anda boleh memohon biasiswa atau dermasiswa Mendaki atau ETF untuk mendapatkan sokongan pendidikan.

“Mencari bantuan bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya ia dapat menjadi sesuatu yang sangat indah kerana ia menunjukkan betapa kuatnya sokongan komuniti terhadap mereka yang memerlukan,” jelas Cik Javeria.

Untuk menyokong pendidikan para pelajar dan belia kita dan mengembangkan potensi mereka, seperti Cik Javeria, anda boleh menderma kepada ETF di https://my.mendaki.org.sg/Donation/Donate.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg