Seorang anggota tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di kolam renang Kem Hendon pada pagi 9 Ogos.
Beliau ditemui pada 7.15 pagi dan dipercayai sedang menjalani latihan secara bersendirian, menurut Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan.
Kementerian turut memaklumkan bahawa bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan alat defibrilator automatik luaran (AED) telah diberikan kepada anggota itu dengan segera.
Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah dikerahkan, dan anggota tersebut dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) menggunakan ambulans SCDF.
Usaha untuk menyedarkan semula anggota tersebut diteruskan semasa dalam perjalanan serta selepas tiba di hospital.
Namun, beliau disahkan meninggal dunia pada 7.44 pagi, lapor The Straits Times (ST).
“Mindef dan SAF mengucapkan takziah yang mendalam kepada keluarga mendiang.
“Kami juga sedang memberikan bantuan kepada keluarga mendiang pada waktu kesedihan ini,” menurut kenyataan Mindef.
Kem Hendon terletak di Changi dan dikenali sebagai markas pasukan elit SAF, iaitu komando.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg