Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mindef peroleh dua lagi kapal selam kelas ‘Invincible’

May 8, 2025 | 3:57 PM
Singapore, Singapura, Mindef, submarine, kapal selam, Invincible
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), syarikat Jerman, Thyssenkrupp Marine Systems, Encik Oliver Burkhard (kiri), dan Ketua Eksekutif Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA), Encik Ng Chad-Son, semasa majlis menandatangani kontrak pada 7 Mei untuk memperoleh dua lagi kapal selam kelas ‘Invincible’ bagi Singapura. - Foto DSTA

Kementerian Pertahanan (Mindef) mengumumkan pada 8 Mei ia telah menandatangani satu kontrak dengan syarikat Jerman, Thyssenkrupp Marine Systems, untuk memperoleh dua lagi kapal selam kelas Invincible.

Dengan penambahan itu, jumlah kapal selam dalam armada Singapura akan meningkat kepada enam, yang menurut Mindef “akan memperkukuhkan lagi keupayaan Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) untuk melindungi laluan komunikasi laut kita”.

Langkah tersebut diumumkan sebelum ini semasa perbahasan belanjawan pada Mac, apabila Menteri Pertahanan ketika itu, Dr Ng Eng Hen, berkata Singapura merancang melaksanakan beberapa peningkatan kelengkapan ketenteraan bagi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Pada masa itu, Dr Ng menyatakan bahawa program kapal selam RSN berada di landasan yang baik, namun dua lagi kapal selam kelas Invincible diperlukan, kerana empat kapal selam sedemikian yang dimilikinya, tidak mencukupi untuk membentuk armada kapal selam Singapura yang optimum.

Ini kerana kapal selam tersebut memerlukan kitaran penyelenggaraan yang lebih ketat dan kerap, memandangkan ia beroperasi di bawah tekanan tinggi.

Mindef berkata pada 8 Mei bahawa kapal-kapal tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan RSN untuk membangunkan keupayaan jangka panjang, lapor The Straits Times.

“Disesuaikan Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) mengikut keperluan Singapura, kapal selam kelas Invincible itu direka khas untuk operasi di perairan tropika yang lebih cetek dan sibuk, serta sesuai untuk dikendalikan bilangan anggota kapal selam khas RSN yang lebih kecil,” kata kementerian itu.

Dua lagi kapal selam kelas Invincible itu dijangka dihantar ke Singapura mulai 2034.

Dua daripada empat kapal selam kelas Invincible sedia ada, RSS Invincible dan RSS Impeccable, mula beroperasi setelah upacara perasmian kapal diadakan pada September 2024.

Mindef menambah bahawa ujian dan penerimaan bagi kapal selam ketiga dan keempat – Illustrious dan Inimitable – kini berjalan lancar dan dijangka tiba di Singapura menjelang 2028.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg