Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RSN akan ganti kapal jejak periuk api dengan sistem tanpa pemandu mulai 2027

Sistem baru Angkatan Laut Republik S’pura dibekal syarikat teknologi, kejuruteraan tempatan, ST Engineering
May 8, 2025 | 4:16 PM
Kapal Permukaan Tanpa Pemandu (USV) Keselamatan Maritim (Marsec) telah menjalankan rondaan di perairan Singapura sejak Januari.
Kapal Permukaan Tanpa Pemandu (USV) Keselamatan Maritim (Marsec) telah menjalankan rondaan di perairan Singapura sejak Januari. - Foto ST

Angkatan Laut Republik Singapura (RSN) akan memulakan operasi rangkaian sistem tanpa pemandu mulai 2027 bagi mengesan dan memusnahkan periuk api dalam laut, sebagai sebahagian usaha berterusan untuk memodenkan keupayaan tentera laut dan melindungi laluan laut negara.

Sistem baru itu akan dibekalkan oleh syarikat teknologi dan kejuruteraan tempatan, ST Engineering, yang pada 7 Mei, mengumumkan ia telah dianugerahkan kontrak oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) untuk membekalkan rangkaian sistem Kapal Permukaan Tanpa Pemandu Langkah Balas Periuk Api (MCM). 

Periuk api merujuk kepada bom yang ditanam di dalam tanah, atau diletakkan di bawah permukaan air dan mudah meledak apabila disentuh.

Keupayaan baru itu merangkumi kapal permukaan tanpa pemandu (USV), MCM USV, kenderaan dalam laut berautonomi (AUV), serta prasarana arahan dan kawalan (C2), lapor The Straits Times (ST).

Direka untuk beroperasi secara bersepadu, sistem itu akan menggantikan kapal MCM kelas Bedok milik RSN, yang akan terus beroperasi sepanjang tempoh peralihan itu.

Menurut ST Engineering, sistem tanpa pemandu itu bertujuan meningkatkan keupayaan RSN untuk mengenal pasti dan mematikan periuk api di laut sambil memastikan anggota tentera laut berada pada jarak selamat.

Sistem itu akan dilengkapi dengan sensor canggih dan rangkaian komunikasi selamat untuk menghantar data masa nyata ke Pusat C2, di mana pengendali boleh memantau dan mengawal misi mereka dari jauh – sama ada dari darat atau kapal induk.

Dalam kenyataan berasingan pada 7 Mei, Mindef berkata MCM USV akan membawa muatan utama seperti sonar bukaan sintetik bertunda – sebuah peranti yang digunakan untuk mengesan periuk api, serta sistem dan senjata yang dikawal dari jauh untuk mematikan periuk api tersebut.

USV itu akan turut dilengkapi dengan sistem pengemudian kapal berautonomi, yang menggabungkan algoritma pengesanan dan pengelakan pelanggaran yang dibangunkan dalam negara, bagi membolehkan kapal tersebut beroperasi dengan selamat di tengah kesibukan lalulintas Selat Singapura.

“Dijadualkan mula beroperasi secara berperingkat mulai 2027, pemerolehan keupayaan ini akan meningkatkan keupayaan RSN untuk memberi tindak balas terhadap ancaman keselamatan maritim yang semakin berubah,” kata Mindef.

ST Engineering menambah, ia juga akan membekalkan sistem simulasi berketepatan tinggi bagi membolehkan anggota tentera laut menjalani latihan dalam persekitaran selamat.

Sistem berkenaan akan membantu anggota tentera laut meningkatkan kemahiran operasi dengan melatih kebolehan mereka membuat keputusan dan melaksanakan pelbagai senario MCM secara selamat.

Presiden Sistem Digital ST Engineering, Encik Low Jin Phang, berkata rangkaian sistem tanpa pemandu MCM ini dibangunkan berdasarkan keupayaan syarikat dalam membekalkan USV keselamatan maritim (Marsec) kepada angkatan laut itu.

USV Marsec telah menjalankan rondaan di perairan Singapura sejak Januari, sebagai pelengkap kepada kapal yang dipandu seperti kapal misi Littoral, bagi memperkukuh keupayaan operasi RSN.

Setakat ini, tiga USV Marsec telah diserahkan kepada RSN, manakala sebuah lagi dijadualkan menyusul menjelang akhir 2025.

Mengulas mengenai sistem yang dibangunkan itu, Encik Low berkata: 

“Kami berusaha memperluas potensi USV dan AUV untuk operasi MCM dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan analisis data pada masa nyata supaya keputusan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan tepat.”

Periuk api dalam laut telah lama menjadi cabaran bagi negara maritim seperti Singapura kerana ia murah, agak mudah untuk dikerahkan, dan boleh mencetuskan gangguan pada laluan ketenteraan serta perdagangan.

Ancaman tersebut kini turut meliputi peranti bahan letupan yang diubah suai (IED) yang mudah digunakan oleh pengganas.

Semakin banyak angkatan laut telah beralih kepada sistem MCM tanpa pemandu bagi mengurangkan risiko terhadap anggota tentera laut serta meningkatkan kecekapan dalam operasi pelupusan periuk api.

Antaranya ialah Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy), yang mengendalikan kenderaan bawah laut tanpa pemandu Knifefish, yang direka untuk mengesan dan mengenal pasti periuk api di perairan dalam dan cetek, tanpa membahayakan penyelam atau kapal dengan kru.

Empat kapal MCM kelas Bedok milik Singapura, yang mula beroperasi pada 1995, telah dinaik taraf pada 2014 untuk mempertingkat keupayaannya dalam mengesan dan melupuskan periuk api.

Pada 2021, RSN membuktikan USV yang diuji ketika itu berjaya mengenal pasti dan mematikan ancaman dalam laut melalui kawalan jauh – pencapaian itu merupakan antara pertama yang dicatatkan di dunia.

“Kami berusaha memperluas potensi kapal permukaan tanpa pemandu (USV) dan kenderaan dalam laut berautonomi (AUV) untuk operasi Kapal Permukaan Tanpa Pemandu Langkah Balas Periuk Api (MCM) dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI), bagi membolehkan analisis data pada masa nyata supaya keputusan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan tepat.”
Encik Low Jin Phang, Presiden Sistem Digital ST Engineering.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg