Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Minggu Reka Bentuk S’pura 2025 lebih besar, penuh semangat kreatif 

Sep 12, 2025 | 8:32 PM
Singapore Design Week, SDW
Dari 11 hingga 21 September, Minggu Reka Bentuk Singapura 2025 (SDW) kembali dengan tema ‘Nation by Design’ sempena ulang tahun Singapura yang ke-60. - Foto ST

Dengan sambutan 60 tahun kemerdekaan Singapura (SG60) baru sahaja berlalu, negara ini sudah mula berfikir tentang 60 tahun akan datang.

Apabila Singapura meraikan pencapaian masa lalu melalui sambutan SG60, ia mengajak perancang bandar, pereka dan penduduk, untuk bukan sahaja bertanya tentang pencapaian akan datang, malah bertanya: ‘Siapa yang akan mencorak 60 tahun akan datang?’

Dari 11 hingga 21 September, Minggu Reka Bentuk Singapura 2025 (SDW) – yang dianjurkan oleh Majlis DesignSingapore (DSG) – akan menggambarkan semula negara ini dengan tema sambutan Nation by Design, atau ‘Negara dengan Reka Bentuk’. 

SDW bertujuan menjadikan Singapura pusat potensi kreatif yang menakjubkan.

“Perjalanan Singapura sentiasa dipandu oleh tujuan dan imaginasi, dan pesta tahun ini (2025) adalah peringatan penting mengenai hal tersebut,” kata Pengarah Festival SDW 2025 dan Pengarah Komunikasi Pemasaran dan Hubungan Awam di DSG, Cik Jody Teo.

“Pengunjung festival boleh menjangkakan barisan acara baru dan gandingan kerjasama menarik yang berpusat pada tema ‘Negara dengan Reka Bentuk’.

“Ia mencerminkan bagaimana reka bentuk telah mengubah Singapura dan akan terus mencorak kisah negara kita pada masa akan datang,” ujar Cik Teo lagi.

Keempat-empat daerah reka bentuk, Bras Basah-Bugis, Marina Central, Orchard dan Singapore Science Park, dipenuhi dengan pengalaman yang memukau.

Terdapat sekitar 700 rakan kerjasama dan lebih 70 acara yang bakal diadakan di seluruh pulau sempena perayaan itu, lapor The Straits Times (ST).

Acara itu turut memberi tumpuan kepada reka bentuk penyertaan, di mana orang ramai tidak lagi memainkan peranan sebagai pemerhati, tetapi sebagai pencipta bersama dalam kisah kejayaan bandar yang sedang berkembang ini.

Daya tarikan pesta 11 hari ini termasuk daya usaha utama, Forum Masa Depan Reka Bentuk, sebuah acara sepanjang hari yang akan dianjurkan di Panggung Victoria pada 17 September.

Forum yang diadakan buat kali ketiga, dijayakan dengan hasil kerjasama Pengarah Yayasan Zaha Hadid, Encik Aric Chen, dan pengasas bersama Lekker Architects, Cik Ong Ker-Shing.

Forum tersebut akan meneroka perkembangan dunia dalam kemampanan, teknologi yang baru muncul, dan kesaksamaan sosial.

Acara menarik lain termasuk tayangan perdana pameran di Muzium ArtScience bertajuk Another World Is Possible; acara agensi kreatif bebas, Kinetic Singapore, Unnatural History Museum; dan pameran Design for Care oleh jurubina, Encik Randy Chan, di Marina Central.

Pengarah Eksekutif DSG, Cik Dawn Lim, berkata: 

“Dengan setiap edisi SDW, kami mengajak rakan kongsi dan rakan kreatif untuk menyahut tema besar festival ini dan menjadikannya sesuatu yang lebih peribadi buat mereka.

“Sepanjang festival 11 hari ini, semua pengunjung akan berpeluang merasakan bagaimana reka bentuk di Singapura bersifat berani, kreatif dan sangat relevan untuk kemajuan negara.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg