Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Usaha bersih minyak tumpah di Pulau Bukom selesai, siasatan punca diteruskan

Dec 28, 2024 | 6:25 PM
Operasi membersihkan minyak daripada perairan sekitar Pulau Bukom, yang dikesan pada 26 Disember, telah selesai.
Operasi membersihkan minyak daripada perairan sekitar Pulau Bukom, yang dikesan pada 26 Disember, telah selesai. - Foto fail

Operasi membersihkan minyak dari permukaan perairan sekitar Pulau Bukom, yang dikesan pada 26 Disember, telah selesai, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks) dan Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 28 Disember.

Minyak yang mengalir ke laut menerusi saluran mengeluarkan air penyejuk tidak lagi dilihat, selepas syarikat minyak dan gas itu menutup unit pemprosesan minyak pada 27 Disember, kata kenyataan itu lagi.

Namun usaha Shell untuk mengenal pasti sumber bocor dalam unit pemprosesan minyak itu masih diteruskan.

MPA telah mengerahkan tiga bot ronda pada 27 Disember apabila Shell meminta bantuan untuk mempercepatkan proses membersihkan minyak dari permukaan perairan di Pulau Bukom.

Dalam satu kenyataan bersama sebelum ini, pihak berkuasa menyatakan unit pemprosesan minyak itu terletak di Taman Tenaga dan Kimia Shell dan digunakan untuk menghasilkan produk minyak ditapis seperti diesel.

Air laut digunakan dalam proses untuk menyejukkan minyak yang ditapis dalam unit tersebut dan disalur kembali ke laut di akhir proses.

Shell menganggarkan beberapa tan produk minyak ditapis berserta air penyejuk telah mengalir keluar.

Syarikat tersebut telah mengesan lapisan minyak di permukaan perairan Pulau Bukom sekitar 9.30 pagi pada 26 Disember.

Menyusuli itu, ia melaporkan insiden tersebut kepada MPA dan NEA, masing-masing pada 11.58 pagi dan 1.15 tengah hari.

Penilaian awal pihak berkuasa mendapati bahawa skala lapisan minyak, atau oil sheen itu kecil dan tidak mendatangkan sebarang risiko kepada keselamatan awam atau kawasan sekitaran yang perlu dilindungi, disebabkan langkah kawalan yang dilaksanakan Shell.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pelampung penyerap minyak telah dipasang di Taman Marin Pulau Subar (Sisters’ Island) dan pantai di Sentosa.

Pihak berkuasa berkata tidak ada tompokan atau lapisan minyak yang dilihat sejauh ini di perairan Sentosa, dan pantainya kekal dibuka untuk kegiatan air.

Pelampung penyerap dan pembendung tambahan telah dipasang di saluran mengeluarkan air penyejuk dan di muara saluran itu sebagai langkah berjaga-jaga.

NEA bersama MPA, sedang menyiasat kejadian itu.

Sekiranya sebarang salah laku atau kesilapan dikenal pasti, tindakan akan diambil kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa berkata bahawa kebocoran dalam unit pemprosesan minyak Shell yang terkini merupakan sistem berbeza daripada kebocoran saluran paip ‘slop’, iaitu campuran minyak dan air, pada 20 Oktober. – NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg