Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Misi kemanusiaan di Aceh kukuhkan azam terus khidmat dalam SAF

Jul 13, 2025 | 5:30 AM
Misi kemanusiaannya ke Banda Aceh pada 2005 selepas tragedi tsunami menjadi detik penentu kerjaya BG Fairoz dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). 
Misi kemanusiaannya ke Banda Aceh pada 2005 selepas tragedi tsunami menjadi detik penentu kerjaya BG Fairoz dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).  - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Bagi Brigedier Jeneral (BG) Fairoz Hassan, misi kemanusiaan ke Banda Aceh pada 2005 bukan sekadar tugasan luar negara, tetapi ia merupakan detik penentu yang mengubah arah kerjayanya dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Misi kemanusiaan susulan tragedi tsunami di rantau itu merupakan tugasan yang diberikan kepadanya beberapa tahun selepas beliau mula berkhidmat di SAF pada 1997 dan merupakan antara misi kemanusiaan awal yang disertainya.

Beliau memainkan peranan sebagai pegawai perhubungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelaraskan bantuan selepas tragedi tsunami yang mengorbankan ratusan ribuan nyawa.

Tanggungjawabnya pada ketika itu termasuk untuk bekerjasama rapat dengan penduduk tempatan, pasukan tentera Indonesia, agensi antarabangsa dan juga pasukan bantuan asing.

Meskipun akur bahawa kerjayanya selama hampir tiga dekad di SAF begitu kaya dengan pengalaman yang bermakna, namun penglibatan beliau dalam misi bantuan kemanusiaan di Aceh itu mengubah cara beliau melihat kerjaya tersebut dan mendorongnya untuk terus menyumbang.

“Pengalaman (di Aceh) memang mencelikkan mata saya, pada masa itu saya dapat lihat kemusnahan, bagaimana masyarakat di Aceh terjejas.

“Tapi saya juga dapat lihat sendiri, tak kira kecil atau besar, pasukan tentera yang terlibat masih tetap menyumbang untuk membantu.

“Ini membuat saya sedar tugas saya dalam tentera ini bukan sesuatu yang remeh,” katanya semasa wawancara bersama beliau dalam podcast Berita Harian (BH) No Tapis.

Perkongsian beliau boleh didengar melalui episod podcast No Tapis berjudul Brigedier Jeneral kedua dalam sejarah SAF...BG Fairoz Hassan.

Apa yang bermula sebagai kerjaya untuk membiayai pendidikannya – demi membantu ibu bapa yang pada masa itu kurang berkemampuan – akhirnya menjadi satu seruan untuk berkhidmat yang disahut hingga kini.

Misi di Aceh meninggalkan kesan yang mendalam, menyedarkan beliau tentang peranan lebih besar SAF dalam pembangunan masyarakat dan juga usaha diplomatik antara negara berbeza.

BG Fairoz kini memegang dua jawatan strategik sebagai Komander Divisyen Kesembilan dan Ketua Pegawai Infantri.

Kini, sebagai Ketua Pegawai Infantri SAF dan Komander Divisyen Kesembilan, BG Fairoz memegang prinsip kepimpinan yang berasaskan kejujuran, keikhlasan dan tanggungjawab – bukan sekadar terhadap pasukan beliau, tetapi demi rakyat dan juga negara.

Ditanya tentang dorongan beliau untuk terus berkhidmat, BG Fairoz berkata: “Bagi saya, selagi saya rasa sumbangan saya terhadap pertubuhan itu masih bermakna, saya akan terus lakukan tugas saya dengan baik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg