Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Model digital serupa pelabuhan S’pura akan diuji pada separuh kedua 2025

Mar 24, 2025 | 6:20 PM
Paparan kembar digital Terminal Pelabuhan Pasir Panjang terpapar pada sebuah komputer riba semasa hari pembukaan Minggu Maritim Singapura (SMW) tahunan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 24 Mac 2025.
Paparan kembar digital Terminal Pelabuhan Pasir Panjang terpapar pada sebuah komputer riba semasa hari pembukaan Minggu Maritim Singapura (SMW) tahunan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura pada 24 Mac 2025. - Foto ST

Sebuah model maya masa nyata Pelabuhan Singapura, yang dinamik dan digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI), akan diuji pada separuh kedua 2025.

Kembar digital itu, yang menyepadukan data langsung dari kapal, operasi pelabuhan dan penderia alam sekitar, akan membantu meningkatkan keselamatan pelayaran, kecekapan operasi dan kelestarian alam sekitar, kata Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 24 Mac.

Ia dijangka meningkatkan kesedaran berhubung keadaan serta tindak balas kecemasan terhadap tumpahan minyak dan kimia, kata pihak berkuasa itu.

Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-undang), Encik Murali Pillai, berkata kembar digital pelabuhan itu akan membantu mensimulasi pelbagai keadaan dan menunjukkan model cara bahan pencemar merebak, lapor The Straits Times.

Beliau mengumumkan pelancarannya pada 24 Mac semasa majlis perasmian Minggu Maritim Singapura (SMW), di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura.

MPA menyatakan bahawa model maya itu akan menggunakan data operasi pihak berkuasa itu serta set data terbuka mengenai maklumat kapal, data ruang kelautan dan maklumat cuaca.

Melalui penggunaan AI dan analisis ramalan, kembar digital itu boleh mengukuhkan pengurusan keselamatan dan tindak balas kecemasan melalui perancangan senario.

Ia termasuk kejadian seperti tumpahan minyak dan bahan kimia, selain menyokong proses memuktamadkan keputusan semasa kejadian sedemikian, kata MPA.

Ia akan membantu mempertingkat prosedur operasi standard bagi penyimpanan selamat bahan api alternatif seperti metanol dan ammonia, kata Encik Murali.

“Ini akan membolehkan pembangunan alat untuk mengoptimumkan kecekapan pelabuhan dan kebolehpercayaan di atas, di permukaan dan di bawah paras laut,” tambahnya.

Kembar digital itu akan menggunakan visual dron dari udara secara langsung bagi meningkatkan kesedaran berhubung keadaan bagi operasi seperti penghantaran dron, pemeriksaan struktur di atas kapal dan pengurusan kejadian, kata MPA.

Ia juga akan memanfaatkan sistem MPA untuk menyediakan kemas kini kegiatan dan status kapal masa nyata, bagi memudahkan perancangan dan penggunaan sumber yang lebih baik untuk penyedia perkhidmatan.

Pihak berkuasa itu berkata ini akan membantu mengurangkan masa menunggu, meningkatkan kecekapan dan meminimumkan masa pemulihan bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada kapal.

Dengan pengamatan cuaca masa nyata, MPA berkata kembar digital itu membolehkan Pelabuhan Singapura merancang lebih awal dan mengurangkan kelewatan berkaitan cuaca, selain meningkatkan keselamatan pekerja dan kapal.

Dibangunkan oleh MPA dengan kerjasama Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), institut penyelidikan dan rakan kongsi perusahaan, kembar digital itu akan dilancarkan kepada perusahaan yang lebih luas secara bertahap-tahap, kata Encik Murali.

Beliau menambah bahawa MPA boleh meluaskannya kepada ekosistem kelautan sejagat pada masa hadapan melalui koridor perkapalan hijau dan digitalnya dengan negara dan pelabuhan lain.

Menurut MPA, percubaan model maya itu akan bermula pada separuh kedua 2025.

Pihak berkuasa itu menambah bahawa akses kepada sistem itu akan diurus dengan teliti, dan dilanjutkan kepada perusahaan yang lebih luas, penyelidik kelautan dan ahli akademik berdasarkan kes penggunaan yang dikenal pasti.

Pada masa ini, kembar digital itu mereplikakan perairan pelabuhan Singapura, termasuk tempat berlabuh, jeti, terminal feri dan terminal pelabuhannya, kata MPA.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg