Semua paip minyak di tiga lagi pangkalan Polis Pengawal Pantai (PCG) juga sedang diperiksa bagi kebocoran, berikutan insiden kebocoran minyak pada 5 Februari di Pangkalan Daerah Brani PCG, kata polis kepada media.
Insiden itu membawa kepada pemeriksaan semua paip minyak di Pangkalan Daerah Brani pada 6 Februari.
Paip minyak di tiga pangkalan lain – di Loyang, Lim Chu Kang dan Gul – juga sedang diperiksa, dengan pemeriksaan dijangka selesai pada 10 Februari.
Polis menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) mengenai insiden kebocoran minyak itu, yang mengakibatkan 23 tan diesel bocor ke perairan selatan Singapura dari Pangkalan Daerah Brani itu pada 5 Februari.
Kebocoran minyak itu dikesan pada 11.40 pagi pada 5 Februari dan dapat “diasingkan” pada kira-kira 3.40 petang hari sama, kata pihak berkuasa dalam satu kenyataan pada 6 Februari.
Kapal peronda dan sumber-sumber untuk respons kepada insiden tumpahan dikerahkan bagi membersihkan tompok kecil minyak, kata Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) dan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dalam satu kenyataan bersama sekitar 8.30 malam.
Pihak berkuasa berkata dalam kenyataan itu bahawa “tiada tompokan minyak yang kelihatan”, walaupun mereka mengakui kilauan berminyak boleh dilihat di beberapa kawasan.
Beberapa orang di Sentosa melaporkan mereka menemui minyak ketika mendayung pada pagi 6 Februari.
Sebagai jawapan kepada pertanyaan ST mengapa orang ramai hanya dimaklumkan mengenai kebocoran itu selepas lebih 24 jam, polis membentangkan urutan peristiwa yang berlaku sebaik sahaja kebocoran itu dikesan.
Pada kira-kira 11.40 pagi pada 5 Februari, satu “kebocoran kecil yang terputus-putus” diesel marin daripada salah satu paip bahan api itu berlaku di Pangkalan Daerah Brani PCG, kata polis.
“Pemeriksaan oleh kakitangan pangkalan dan kontraktor kemudiannya dikerahkan pada kira-kira 12.25 tengah hari dan 1.40 petang,” tambah polis.
Namun tiada kebocoran lanjut dikesan ketika itu, dan tiada kilauan berminyak yang boleh dilihat di atas permukaan air, kata polis.
Sejurus sebelum 3.30 petang pada 5 Februari, bagaimanapun, MPA melihat tompok kilauan minyak di perairan Selat Sengkir, kawasan perairan di selatan pantai tempat letaknya Pangkalan Daerah Brani, dan mengarahkan PCG supaya menjalankan pemeriksaan.
“Seorang kontraktor mendapati paip itu bocor lagi. Paip itu dinilai rosak dan injap bahan api diasingkan pada 3.40 petang bagi mengelak kebocoran selanjutnya,” ujar polis.
“PCG mengesahkan kebocoran itu kepada MPA pada 5.50 petang, selepas mengesahkan jumlah diesel yang telah hilang dari tangki bahan api PCG,” tambah jurucakap polis itu.
Polis berkata: “Penilaian awal adalah kebocoran itu mungkin disebabkan paip minyak yang rosak dengan keretakan amat kecil, ekoran paip itu terpintal berulang kali daripada pergerakan pontun yang disebabkan perubahan air pasang.”
Jurucakap polis itu menambah bahawa paip bahan api itu diselenggara setiap bulan, dengan pemeriksaan terkini dijalankan pada 17 Januari, dan pemeriksaan seterusnya dijadualkan pada minggu 10 Februari.
Ini adalah sekurang-kurangnya insiden kelima membabitkan tumpahan atau kebocoran minyak ke perairan Singapura sejak Jun 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg