Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, membuat lawatan rasmi ke Singapura pada 4 dan 5 September.
Kedua-dua negara dijangka mengesahkan perkongsian dalam beberapa bidang.
Ia adalah lawatan kelima Encik Modi ke Singapura dan yang pertama sejak 2018.
Pemimpin India itu tiba di sini selepas lawatan dua hari ke Brunei dan akan menerima sambutan rasmi di Bangunan Parlimen pada 5 September.
Selepas itu, beliau akan bertemu Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan mereka akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MOU).
Semasa di sini, Encik Modi akan mengadakan pertemuan bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam dan berjumpa Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong.
Encik Wong dan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, juga akan menganjurkan jamuan berasingan untuk beliau.
Lawatan Encik Modi adalah atas undangan Encik Wong.
Ia berlangsung menjelang sambutan 60 tahun hubungan diplomatik antara India dengan Singapura, serta ulang tahun ke-10 perkongsian strategik dua hala, yang kedua-duanya berlangsung pada 2025.
Kunjungan itu dilakukan pada awal penggal ketiga kepimpinan Encik Modi dan penggal pertama Encik Wong.
Encik Wong memegang jawatan sebagai perdana menteri keempat Singapura pada Mei, manakala rakan sejawatannya dari India itu dipilih semula pada Jun.
Singapura ialah pelabur asing secara langsung terbesar di India.
Ia menyumbang hampir satu perempat daripada aliran ekuiti pelaburan asing secara langsung ke India.
Pelaburan India di Singapura juga telah berkembang daripada $481 juta pada 2004 kepada kira-kira $25.3 bilion pada 2022.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Ehwal Luar Singapura berkata Encik Modi akan menyertai perbincangan meja bundar perniagaan bersama pemimpin perniagaan Singapura anjuran Persekutuan Perniagaan Singapura, dan berinteraksi dengan peniaga daripada ekosistem semikonduktor Singapura.
Beliau juga akan berinteraksi dengan pelajar dari Singapura yang bekerja sambil belajar di India sebagai sebahagian Program Bakat Sedia India, yang menawarkan pelajar universiti dan politeknik peluang belajar sambil bekerja di luar negara di syarikat India dan Singapura di India.
Beliau kemudian akan bertemu pelajar pelatih dari Pusat Kemahiran Dunia Odisha yang bekerja di syarikat di sini.
Encik Modi ditemani Menteri Ehwal Luar, Encik S. Jaishankar; Penasihat Keselamatan Nasional, Encik Ajit Doval; serta pegawai pemerintah lain.
Edisi kedua Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) pada 26 Ogos, yang diadakan di Singapura, meletakkan asas bagi perbincangan mengenai kerjasama dua hala semasa lawatan Encik Modi.
Semikonduktor dan perkilangan maju, serta ketersambungan udara dan laut dikenal pasti sebagai bidang kerjasama baru oleh menteri dari kedua-dua pihak di ISMR.
Perbincangan di bawah tonggak pendigitalan, pembangunan kemahiran, kemampanan, serta penjagaan kesihatan dan perubatan – yang asalnya dibangkitkan di ISMR pertama di New Delhi pada Sept 2022 – disemak dan diteruskan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg