Pilihan untuk aplikasi pengurusan peranti (DMA) alternatif, yang membantu mengurus penggunaan iPad dan Chromebook pelajar, sedang dikaji oleh Kementerian Pendidikan (MOE).
Bercakap di Parlimen pada 10 September, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkata kementerian akan berusaha melancarkan penyelesaian baru bagi DMA menjelang tahun persekolahan baru pada Januari 2025.
Penggunaan aplikasi pengurusan peranti, Mobile Guardian, telah disingkirkan dalam semua peranti peribadi pelajar, dan tindakan undang-undang telah diambil terhadap kontraktor berkaitan yang terlibat dalam beberapa insiden Mobile Guardian pada 2024, kata Encik Chan.
Encik Chan berkata bahawa kira-kira satu daripada enam daripada 13,000 peranti yang terjejas kehilangan sejumlah data akibat godaman keselamatan siber pada Ogos.
Kurang daripada 5 peratus pula tidak dapat memulihkan semua data mereka kerana peranti mereka tidak disalin sebelum kejadian.
Menjawab soalan Parlimen mengenai langkah yang diambil untuk menyokong pelajar dan pendekatan kementerian terhadap teknologi untuk pengajaran dan pembelajaran, Encik Chan berkata sekolah telah memulakan proses tambahan bagi memastikan peranti digunakan dengan selamat dan bertanggungjawab semasa waktu persekolahan.
Ini termasuk mengaktifkan penapisan web pada Chromebook dan arahan yang dikongsi di aplikasi Parents Gateway (Gerbang Ibu Bapa) MOE tentang cara mengaktifkan kawalan ibu bapa terbina dalam iPad agar mereka dapat menetapkan sempadan seperti masa skrin dan menyekat akses ke laman tertentu.
Beberapa sekolah mula melaporkan pada 30 Julai, bahawa sesetengah peranti telah kehilangan keupayaan menyambung ke Internet dan dalam beberapa kes, langsung tidak dapat digunakan.
“Kami segera mengesahkan bahawa gangguan ini tidak berkaitan dengan godaman data pada insiden yang berlaku pada April.
“Ia juga bukan serangan siber. Sebaliknya, ia disebabkan oleh kesilapan manusia oleh jurutera Mobile Guardian yang melakukan konfigurasi tarikh tamat tempoh yang salah, menyebabkan aplikasi itu berhenti berfungsi,” kata Encik Chan.
Pada 4 Ogos, Mobile Guardian mengalami serangan siber yang menghapuskan data di dalam iPad beberapa pelanggan global mereka, termasuk 13,000 peranti di sekolah, atau kira-kira 8 peratus daripada peranti yang digunakan oleh pelajar sekolah menengah.
Untuk mengawal insiden itu, Mobile Guardian segera menutup pelayan mereka. Sebagai langkah berjaga-jaga, MOE memulakan penyingkiran sistematik aplikasi itu daripada semua iPad dan Chromebook pada 5 Ogos.
“Keutamaan kami adalah untuk membantu pelajar yang terjejas, terutama mereka yang menduduki peperiksaan peringkat kebangsaan supaya pembelajaran dan ulangkaji dapat diteruskan,” kata Encik Chan.
Beliau turut memberitahu bahawa 300 jurutera dan kakitangan teknologi maklumat (IT) tambahan telah dikerahkan ke sekolah bagi membantu pelajar memulihkan peranti mereka.
Encik Christopher De Souza (GRC Holland-Bukit Timah) bertanya jika terdapat semakan semula ke atas penggunaan teknologi pelajar untuk belajar dan menilai sama ada pergantungan mereka kepada teknologi adalah merugikan.
Menjawab, Encik Chan berkata: “Walaupun insiden-insiden yang berlaku baru-baru ini adalah malang, ia tidak boleh menghalang kita daripada menyampaikan pendidikan melalui teknologi kerana ia memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar kita.”
Beliau menambah bahawa kita mesti belajar menerima teknologi pendidikan dalam pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar membesar menjadi celik digital, dan dapat mengemudi persekitaran digital dan mengambil peluang dan menangani cabaran di masa hadapan.
“Kita boleh belajar daripada kejadian ini. Ia adalah peringatan penting untuk kita mengamalkan kebersihan digital yang baik, termasuk menyalin maklumat secara tetap,” ujar Encik Chan.
“
“Walaupun insiden-insiden yang berlaku baru-baru ini adalah malang, ia tidak boleh menghalang kita daripada menyampaikan pendidikan melalui teknologi kerana ia memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar kita.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg