Topik diikuti
Pergi ke BHkuS’pura lancar gerakan bantu keluarga pupuk tabiat digital sihat
S’pura lancar gerakan bantu keluarga pupuk tabiat digital sihat
Portal sehenti turut dilancar bantu ibu bapa urus masa skrin anak sehingga 18 tahun
S’pura lancar gerakan bantu keluarga pupuk tabiat digital sihat
Bagi membantu ibu bapa menguruskan kegiatan digital anak mereka, satu portal sehenti baharu telah dilancarkan pemerintah sebagai sebahagian daripada gerakan nasional membantu keluarga memupuk tabiat digital yang sihat dari kecil.
Portal bernama ‘Be Screen Smart’ tersebut akan menyatukan sumber daripada pelbagai agensi pemerintah, antara lain seperti Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), Kementerian Pendidikan (MOE), dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), untuk kanak-kanak dan belia.
Meskipun pendigitalan menawarkan pengetahuan yang luas, peranti masa kini membawa cabaran unik seperti ciri media sosial yang mendatangkan ketagihan serta interaksi toksik yang boleh memencilkan kanak-kanak secara sosial, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa melancarkan portal itu pada 31 Mei.
Bagi menangani isu global ini, pemerintah telah melarang penggunaan telefon bijak semasa waktu persekolahan dan sedang merancang perlindungan keselamatan media sosial yang lebih ketat.
Portal itu dilancarkan semasa pelancaran gerakan baharu, ‘Bijak Guna Skrin dari Kecil’ di Karnival Keluarga Festival Keluarga Kebangsaan di Singapore Expo.
Ia turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Encik Wong berkata: “Pemerintah di beberapa negara telah mengambil langkah mengetatkan akses kepada media sosial.
“Di Singapura, kami juga akan memainkan peranan kami. Kami telah pun melarang penggunaan telefon pintar semasa waktu persekolahan.
“Kami juga merancang untuk memperketatkan lagi langkah perlindungan berkaitan akses kepada media sosial bagi kanak-kanak dan remaja, dan kami akan berkongsi perincian rancangan tersebut apabila tiba masanya,” katanya.
Di samping itu, Encik Wong turut akur bahawa sedang masyarakat berkembang, cabaran baharu secara semula jadi akan muncul.
Salah satu perkembangan utama ialah pendigitalan, yang mempengaruhi cara masyarakat berinteraksi antara satu sama lain dan bagaimana ibu bapa membesarkan anak mereka.
“Masa skrin yang berlebihan boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak mungkin menjadi lebih terasing secara sosial atau semakin renggang daripada keluarga mereka.
“Peranti masa kini, seperti telefon bijak, iPad, dan peranti lain mempunyai kandungan yang berpotensi, bukan semuanya tidak baik, tetapi ada berpotensi menjadi lebih berbahaya, menerusi kandungan serta media sosial yang mempunyai ciri-ciri yang mendatangkan ketagihan, dan interaksi dalam talian yang berpotensi menjadi toksik serta berbahaya,” jelas Encik Wong.
Oleh itu, pemerintah akan menyediakan lebih banyak sumber bagi ibu bapa memupuk tabiat digital yang sihat sejak dari usia muda, sambil memastikan ia praktikal serta boleh dilaksanakan.
Portal Be Screen Smart menawarkan panduan bagi kanak-kanak dan golongan belia, yang dibahagikan kepada tiga kumpulan umur: 0 hingga enam tahun, tujuh hingga 12 tahun, dan 13 hingga 18 tahun.
Sebagai contoh, ibu bapa boleh mempelajari cara untuk menyaring dan memilih kandungan yang boleh diakses oleh anak mereka bagi melindungi mereka daripada kandungan dalam talian yang tidak sesuai, serta cara untuk menetapkan norma keluarga yang jelas mengenai penggunaan peranti.
Pemerintah juga akan menggalakkan lebih banyak kegiatan mesra keluarga di samping memudahkan keluarga untuk menerokai aktiviti yang menarik minat mereka.
“Satu lagi perkara yang sedang kami usahakan adalah untuk cuba meningkatkan peluang bagi keluarga berinteraksi, berkumpul dan meluangkan masa berkualiti bersama tanpa menggunakan skrin, dan kami berharap dapat melakukan ini menerusi pelbagai aktiviti yang bakal disediakan di portal tersebut, daripada bengkel bercerita di perpustakaan, kepada mempelajari sukan baharu,” tambah Cik Rahayu.
