Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOE perkenal sistem pusat urus kemudahan sekolah jelang 2031

Sistem Pengurusan Kemudahan Pintar (Smart FM) urus operasi harian seperti pencahayaan, penggunaan tenaga dan air
Oct 2, 2025 | 7:33 PM
smart fm, moe
Sistem Pengurusan Kemudahan Pintar (Smart FM) baru akan mengurus operasi harian seperti pencahayaan, penyaman udara, serta penggunaan tenaga dan air. - Foto ST

Menjelang 2031, semua sekolah aliran utama dan pendidikan khas di Singapura akan beralih daripada menguruskan kemudahan mereka sendiri kepada sistem pusat yang dipantau oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Sekolah akan disambungkan kepada sistem Pengurusan Kemudahan Pintar (Smart FM) baru MOE, yang akan menguruskan operasi harian seperti pencahayaan, penyaman udara, serta penggunaan tenaga dan air, lapor The Straits Times (ST).

Sistem itu tidak akan menggantikan peralatan yang sedia ada seperti penggera kebakaran, tangki air, pam, atau penyaman udara.

Sebaliknya, ia akan berfungsi bersama peralatan tersebut bagi menyediakan satu wadah sehenti untuk memantau dan menguruskan semua kemudahan di sekolah.

Sistem Smart FM itu juga akan disambungkan ke perkhidmatan awan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) untuk pemantauan dan kawalan masa nyata.

Platform baru itu akan beroperasi secara berpusat bagi 354 sekolah, membolehkan beberapa sekolah diuruskan serentak melalui sambungan selamat, dengan pentadbir pusat mengawal akses pengguna dan peranan.

MOE telah menganugerahkan kontrak bernilai $78.6 juta untuk penyediaan dan penyelenggaraan sistem itu kepada firma teknologi NCS Singapore pada Mac.

MOE berkata pada 30 September, Smart FM membolehkan pencahayaan dan penyaman udara diselaraskan secara automatik atau dari jauh berdasarkan kehadiran orang di sekolah berkenaan, dan akan menggunakan meter tenaga dan air untuk menjejaki serta mengurangkan penggunaan peralatan itu.

Smart FM juga akan merangkumi sistem pengurusan bangunan yang dapat mengesan kerosakan pada peralatan seperti sistem perlindungan kebakaran dan bekalan air.

“MOE akan melancarkan ciri ini secara berperingkat di sekolah mulai 2025, bergantung pada kesediaan prasarana dan sistem sedia ada mereka,” kata kementerian tersebut.

Ciri itu akan menyokong pengurusan kemudahan sekolah melalui automasi dan pelaporan masa nyata, kata MOE.

Data yang dikumpul boleh dianalisis untuk perancangan kerja penyelenggaraan yang lebih baik.

Data tersebut akan dimasukkan ke dalam Aplikasi Ruang Pintar, perkhidmatan awan GovTech, yang menghubungkan operasi sekolah dengan ekosistem digital pemerintah yang lebih luas.

Peralihan itu adalah sebahagian daripada usaha meningkatkan daya penghasilan, kecekapan dan kemampanan alam sekitar dalam pengurusan kemudahan, kata MOE.

Tender itu menyebut cabaran besar dalam mengawasi prasarana dan pengurusan kemudahan sekolah, termasuk kekangan tenaga kerja, prasarana usang dan pergantungan pada proses manual serta sistem lama.

Pengarah Sekolah Kejuruteraan Politeknik Nanyang (NYP), Dr Graham Ng, berkata bangunan pintar meningkatkan kecekapan kerana ia dapat mengesan masalah seperti kerosakan dengan cepat dan memastikan peralatan beroperasi hanya apabila diperlukan.

Secara keseluruhannya, operasi harian berjalan dengan lebih lancar, cepat dan lebih berkesan dari segi kos, tambahnya.

Sistem itu berfungsi sebagai ‘minda’ yang membantu memantau dan mengesan bagaimana bangunan beroperasi, katanya.

Namun, Dr Ng berkata gangguan boleh berlaku jika sensor atau sistem gagal, dan mungkin berhadapan dengan risiko keselamatan siber akibat sambungan Internet.

“Namun, dengan penyelenggaraan yang betul, kemas kini berkala dan keselamatan siber yang kukuh, risiko ini dapat dikendalikan, memberikan manfaat jangka panjang dalam kecekapan, penjimatan kos dan kemampanan.

“Memperkenalkan pemantauan pintar di sekolah boleh mengubah cara kampus beroperasi dan interaksi dengan alam sekitar,” kata Dr Ng.

“Data masa nyata membantu melibatkan pelajar dan kakitangan, menjadikan sekolah sebagai kajian kes untuk belajar tentang kemampanan, penjimatan tenaga dan penggunaan sumber yang bertanggungjawab, serta membina budaya kesedaran dan penambahbaikan berterusan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg