Kesemua 180 sekolah rendah di Singapura kini menawarkan program lebih mencabar untuk murid berkebolehan tinggi, dan akan menyediakan program tersebut kepada lebih ramai murid sedemikian pada masa depan.
Program tersebut ditawarkan berikutan perubahan kepada Program Pendidikan Bijak (GEP) yang diumumkan baru-baru ini.
Program berdasarkan sekolah untuk murid berkebolehan tinggi, yang kini disediakan untuk 7 peratus kohort murid sekolah rendah, akan diperluaskan kepada 10 peratus bagi setiap kohort, atau sekitar 3,000 murid setahun.
Perubahan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan sulungnya dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.
Tambahan lagi, dengan program di setiap sekolah, murid berkebolehan tinggi boleh kekal di sekolah mereka bagi sekolah rendah tingkatan tinggi, dan tidak lagi perlu berpindah ke sembilan sekolah GEP semasa Darjah 4.
Ini adalah sebahagian daripada perubahan kepada GEP yang telah dilaksanakan selama 40 tahun.
Pada masa ini, 1 peratus daripada setiap kohort dipilih bagi GEP.
Semua sekolah rendah mempunyai guru yang dilatih untuk mengajar murid berkebolehan tinggi dan program yang memenuhi keperluan mereka, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) sebagai menjawab pertanyaan media mengenai program tersebut.
Murid berkebolehan tinggi boleh belajar pada kadar lebih cepat, di samping mencari dan menyelesaikan masalah, serta memahami dan memanipulasi idea abstrak dengan lebih mudah, kata MOE.
Murid tersebut mempunyai akses kepada program di sekolah masing-masing yang disokong oleh ibu pejabat MOE dalam bidang akademik dan bukan akademik, lapor The Straits Times (ST).
Program tersebut membantu murid berkebolehan tinggi mengembangkan potensi mereka, dan memupuk kekuatan serta minat mereka, tambahnya.
“Banyak sekolah juga telah membangun program berdasarkan sekolah yang tersendiri dalam bidang lain, seperti pengekodan dan pemikiran reka bentuk.
“Semua sekolah rendah mempunyai guru yang dilatih khas untuk mengajar murid ini,” kata MOE.
Program pelajar berkebolehan tinggi disediakan di sekolah untuk murid Darjah 4 hingga 6.
Murid tersebut dikenal pasti menggunakan pelbagai sumber bukti, termasuk pemerhatian guru dan keputusan akademik.
Mereka juga dikenal pasti sekiranya menunjukkan sikap cenderung ingin tahu dan suka menyelesaikan masalah, menurut beberapa sekolah rendah.
Program berkebolehan tinggi mula diperkenalkan di sekolah rendah pada 2007 dalam pelbagai bentuk, termasuk kelas pengayaan selepas waktu sekolah.
Ia dilaksanakan berdasarkan mata pelajaran tertentu, atau tema seperti inovasi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg