Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar berkebolehan tinggi kohort Darjah 1 2024 bakal raih manfaat program berdasarkan sekolah

Aug 19, 2024 | 8:31 PM
Pelajar Sekolah Rendah Greendale memanjat dinding panjat tebing yang terletak di Sekolah Menengah Greendale untuk latihan Kepimpinan Pendidikan Di Luar.
Pelajar Sekolah Rendah Greendale memanjat dinding panjat tebing yang terletak di Sekolah Menengah Greendale untuk latihan Kepimpinan Pendidikan Di Luar. - Foto KEMENTERIAN PENDIDIKAN

Sekitar 10 peratus daripada pelajar berkebolehan lebih tinggi dalam kohort Darjah 1 2024, yang bakal memasuki Darjah 4 pada 2027, akan meraih manfaat daripada program berdasarkan sekolah apabila ia diperluaskan kepada lebih ramai murid di semua sekolah rendah menjelang 2027.

Pelaksanaan program ini merupakan antara perubahan susulan pemberhentian Program Pendidikan Kanak-kanak Cerdas (GEP), menurut Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 19 Ogos.

Kenyataan itu dibuat berikutan pengumuman pemberhentian GEP oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa ucapan sulungnya dalam Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos.

GEP, yang dimulakan sejak 1984 bagi murid cerdas dari Darjah 4 hingga Darjah 6, telah diberhentikan dalam bentuk semasa bagi kohort Darjah 1 2024, jelas MOE.

Murid-murid GEP perlu melalui dua tahap penilaian pada Darjah 3 sebelum dipilih memasuki program itu.

Pemilihan terakhir bagi murid GEP akan dilaksanakan untuk murid Darjah 3 pada 2025 dan kemasukan terakhir ke salah satu daripada sembilan sekolah rendah yang menjalankan GEP bagi murid Darjah 4 adalah pada 2024, tambah MOE.

Pemberhentian GEP, kata MOE, sejajar dengan usaha pemerintah memperkukuh sokongan bagi pelajar berkebolehan lebih tinggi dan meningkatkan prasarana sekolah.

MOE berkata dengan pelaksanaan program berdasarkan sekolah ini, kohort sedemikian dapat “membangunkan bidang kekuatan dan minat mereka” dan lebih ramai akan dapat meraih manfaat daripadanya.

Ia menambah semua sekolah rendah mempunyai program menjangkaui kurikulum biasa – misalnya program Excellence 2000 (E2K) Matematik dan Sains – untuk “membantu murid yang ada kekuatan dan minat tertentu”.

Menyentuh berkenaan hal ini, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, berkongsi kepada pihak media di ibu pejabat MOE di Buona Vista pada 19 Ogos bahawa secara purata, jumlah murid dalam satu-satu kohort Darjah 1 adalah sekitar 30,000.

Ini bermakna lebih kurang 3,000 murid bagi satu-satu kohort, iaitu sekitar 10 peratus, akan dapat meraih manfaat daripada program berdasarkan sekolah berbanding perangkaan semasa iaitu lebih kurang 2,100 murid, atau sekitar tujuh peratus.

“Memandang ke hadapan, kami dapat menampung sekitar 10 peratus daripada murid (bagi satu-satu kohort).

“Jumlah ini adalah sekitar 3,000 setiap tahun, bagi setiap kohort merentasi lebih 180 sekolah rendah,” tambah beliau.

Encik Chan menjelaskan pendekatan baru dibuat atas tiga sebab. Pertama, beliau menyatakan keupayaan seorang murid tidak harus disimpulkan dalam satu matriks.

Kedua, keupayaan seseorang murid mungkin tertera menjangkaui masa dan ketiga adalah pembangunan emosi dan sosial murid tersebut – sekali gus membentuk pembangunan holistik di kala mereka membesar dan belajar, kata beliau.

Justeru, MOE menjelaskan perubahan lain yang dilaksanakan adalah apabila kohort Darjah 1 semasa melangkah Darjah 4, murid-murid tidak lagi perlu berpindah ke salah satu daripada sembilan sekolah yang menjalankan GEP.

Menurut MOE lagi, murid yang boleh memanfaatkan pembangunan lanjut akan dikenal pasti apabila mereka berada di peringkat Darjah 4 hingga Darjah 6 – pada peringkat ini, murid sedemikian boleh menyertai program berdasarkan sekolah atau modul selepas sekolah untuk memperkasa potensi mereka dengan lanjut berbanding penyertaan GEP pada satu-satu peringkat iaitu Darjah 4.

Pemilihan pelajar berkebolehan lebih tinggi juga akan dilakukan dengan cara lebih holistik, dengan tahap pertama, sepertimana dalam proses kemasukan GEP semasa, akan dikekalkan bagi mengenal pasti pelajar ini.

Namun, tahap kedua akan dimansuhkan, jelas MOE, sambil menambah perincian lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Di samping itu, MOE turut mengumumkan usaha peningkatan prasarana sekolah untuk menyokong pembelajaran bagi masa hadapan.

Menurut MOE, ia akan bersandarkan pada empat teras:

– Mempertingkat ruang pembelajaran bagi menyokong cara penyampaian pembelajaran berbeza, dipacu teknologi;

– Mempertingkat ruang pekerjaan untuk menyokong kerjasama antara guru dan pembangunan profesional guru;

– Mereka lebih banyak kemudahan untuk dikongsi bersama masyarakat dan meningkatkan percampuran sosial;

– Mempertingkat perkhidmatan dan ruang pembelajaran pelajar.

Sekilas mengenai perubahan pada Program Pendidikan Kanak-kanak Cerdas (GEP)

– Diberhentikan dalam bentuk semasa bagi kohort Darjah 1 2024

– Pemilihan terakhir murid GEP akan dilaksanakan untuk murid Darjah 3 pada 2025

– Kemasukan terakhir ke satu daripada sembilan sekolah rendah GEP bagi murid Darjah 4 pada 2024

– Murid akan dikenal pasti apabila mereka berada di peringkat Darjah 4 hingga Darjah 6 dan bukan pada satu-satu peringkat

– Pemerhatian harian, saranan guru dan hasil kerja murid turut menjadi sumber kenal pasti murid berkebolehan lebih tinggi

“Memandang ke hadapan, kami dapat menampung sekitar 10 peratus daripada murid (bagi satu-satu kohort). Jumlah ini adalah sekitar 3,000 setiap tahun, bagi setiap kohort merentasi lebih 180 sekolah rendah.”
Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg