Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOF: Nilai kelayakan bagi skim sokongan sosial dinaikkan pada 2025

Hanya had nilai tahunan (AV) peringkat kedua akan bertambah, AV peringkat pertama kekal pada $21,000
Nov 29, 2024 | 2:27 PM
Dengan semakan kepada peringkat AV kedua, lebih tiga daripada empat hartanah kediaman, termasuk mereka yang tinggal di hartanah privet yang bernilai lebih rendah, layak menerima manfaat sosial.
Dengan semakan kepada peringkat AV kedua, lebih tiga daripada empat hartanah kediaman, termasuk mereka yang tinggal di hartanah privet yang bernilai lebih rendah, layak menerima manfaat sosial. - Foto ST

Had nilai tahunan (AV) yang digunakan untuk menilai kelayakan bagi skim sokongan sosial akan dinaikkan mulai 1 Januari 2025, umum Kementerian Kewangan (MOF).

Pada masa ini, skim sokongan sosial menyediakan manfaat berdasarkan dua peringkat AV.

Had AV bagi peringkat pertama kekal pada $21,000.

Sebelum ini, ia telah dinaikkan daripada $13,000 kepada $21,000 pada 2024.

Bagi peringkat kedua pula, ia akan dinaikkan daripada antara lebih $21,000 dengan $25,000 kepada antara lebih $21,000 dengan $31,000 mulai 2025.

AV sebuah hartanah merupakan anggaran sewa yang boleh diperoleh dalam setahun sekiranya rumah itu disewakan.

Perubahan tersebut dibuat “demi memastikan had AV yang digunakan bagi skim sokongan sosial terus disediakan kepada rakyat Singapura,” kata MOF.

Dengan semakan kepada peringkat AV kedua, lebih tiga daripada empat hartanah kediaman, termasuk mereka yang tinggal di hartanah privet bernilai lebih rendah, layak menerima manfaat sosial.

“Di samping kriteria seperti pendapatan, AV hartanah kediaman individu boleh digunakan sebagai penunjuk kemampuan.

“Skim sokongan sosial termasuk skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), subsidi premium MediShield Hayat, dan Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS),” kata MOF.

MOF menambah bahawa kelayakan individu atau isi rumah bagi skim sokongan sosial pada tahun tertentu akan ditentukan oleh AV tahun sebelumnya.

Ini bermakna bagi manfaat pada 2025, AV tahun 2024 isi rumah atau individu akan digunakan untuk menentukan sama ada mereka layak bagi manfaat peringkat pertama atau kedua.

Contohnya, pada 2024, individu layak yang tinggal di hartanah kediaman dengan AV 2023 sebanyak $24,000 (iaitu, dalam peringkat AV kedua antara $21,000 dengan $25,000) akan menerima Baucar GST-Tunai sebanyak $450.

Pada 2025, jika AV 2024 individu layak itu meningkat kepada $27,000 (iaitu dalam peringkat AV kedua yang disemak antara $21,000 dengan $31,000), individu tersebut akan terus menerima Baucar GST-Tunai sebanyak $450.

Jika had AV itu tidak disemak, individu itu tidak akan menerima sokongan Baucar GST-Tunai pada 2025.

MOF berkata: “Pemerintah akan terus menyemak skim sokongan sosial, termasuk kriteria kelayakan, demi memastikan rakyat Singapura dengan keperluan lebih besar dapat menerima lebih banyak sokongan.”

“Pemerintah akan terus menyemak skim sokongan sosial, termasuk kriteria kelayakannya, demi memastikan rakyat Singapura dengan keperluan lebih besar menerima lebih banyak sokongan.”
Kenyataan Kementerian Kewangan (MOF).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg