Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sijil prakebenaran Hospital Mt Elizabeth digantung: MOH hubungi Great Eastern untuk penjelasan

Jun 19, 2025 | 7:18 PM
great eastern, hospital mount elizabeth, insurans, sijil prakebenaran
Syarikat insurans, Great Eastern (GE), menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat susulan kos rawatan yang tinggi di Hospital Mount Elizabeth dan Mount Elizabeth Novena berbanding hospital swasta lain. - Foto fail

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang berhubung dengan syarikat insurans, Great Eastern (GE), untuk memahami dengan lebih lanjut kesan keputusan syarikat itu untuk menggantung sijil prakebenaran bagi kemasukan di kededua hospital Mount Elizabeth.

Dalam respons kepada pertanyaan media, MOH berkata syarikat insurans Pelan Perlindungan Insurans Bersepadu (IP) “perlu memastikan pemegang polisi terus mendapat akses kepada faedah penuh polisi mereka, selaras dengan ketetapan dan syarat tuntutan, seperti yang dinyatakan dalam kontrak polisi mereka”.

Dalam satu mesej kepada sekumpulan doktor panel awal minggu ini, GE memaklumkan bahawa ia telah menghentikan sementara pengeluaran sijil prakebenaran mulai 17 Jun, bagi pemegang polisi yang dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth dan Mount Elizabeth Novena.

GE menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat susulan kos rawatan yang tinggi di kedua-dua hospital tersebut berbanding hospital swasta lain.

Prakebenaran ialah pengesahan awal daripada pihak insurans bahawa rawatan perubatan, termasuk kosnya, telah diluluskan sebelum rawatan dimulakan.

GE memaklumkan kepada doktor panelnya bahawa keputusan itu bukan gambaran terhadap mutu klinikal mereka, tetapi syarikat insurans tersebut sedang “mengutamakan kemudahan yang menawarkan rawatan bermutu tinggi yang sama, dengan ketelusan kos dan penggunaan kos yang lebih cekap”.

Keputusan itu mengejutkan kedua-dua hospital terlibat serta pemegang polisi GE, lapor The Straits Times (ST).

Dalam e-mel kepada media, MOH berkata kemampuan untuk menampung kos perubatan yang besar sememangnya menjadi kebimbangan dalam kalangan rakyat Singapura.

Ia turut menegaskan bahawa semua rakyat Singapura dilindungi MediShield Hayat, yang direka untuk memberi perlindungan bagi bil hospital besar yang bersubsidi.

“Rakyat Singapura boleh memilih untuk membeli IP atau perlindungan tambahan. 

“Oleh kerana produk ini bersifat komersial – meskipun MOH mengawal selia aspek utama IP bagi kemampanan kewangan – (sebarang) perubahan yang dibuat oleh syarikat insurans dari segi proses pentadbiran seperti rangka kerja prakebenaran dan kerjasama dengan penyedia swasta adalah berdasarkan pertimbangan komersial dan aktuari mereka sendiri.”

ST telah menghubungi GE dan kumpulan penjagaan kesihatan swasta IHH Healthcare – yang mengendali hospital-hospital Mount Elizabeth, untuk maklumat lanjut.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg