Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH, HDB lancar tender perintis klinik GP Bartley Beacon

May 8, 2025 | 6:21 PM
Singapore, Singapura, general practitioner, pengamal perubatan am, BTO, Bartley Beacon, Bidadari
Klinik pengamal perubatan am (GP) di projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Bartley Beacon di Bidadari dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2025. - Foto fail

Klinik pengamal perubatan am (GP) boleh membida untuk ruang kedai di projek Bina Ikut Tempahan (BTO) Bartley Beacon, di bawah tender perintis pemerintah baru yang akan menilai cadangan bukan hanya berdasarkan sewa.

Di bawah tender Kaedah Harga-Mutu (PQM) oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) itu, kedai HDB akan dinilai secara keseluruhan berdasarkan faktor harga dan mutu apabila disewakan kepada klinik GP.

Tender tersebut dilancarkan pada 8 Mei dan akan ditutup pada 29 Mei.

Klinik GP dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2025.

Pendekatan PQM digunakan HDB untuk menilai cadangan tender untuk pasar raya, pusat jagaan kanak-kanak dan pusat makanan untuk memilih penyewa bermutu yang memberi perkhidmatan kepada penduduk.

“MOH dan HDB akan merintis pendekatan yang sama untuk tender bersama untuk klinik GP di Bartley Beacon, bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk dengan lebih baik dan menyokong pengurusan penyakit kronik di bawah SG Lebih Sihat,” kata MOH dan HDB dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada 8 Mei.

Di bawah inisiatif SG Lebih Sihat yang dilancarkan pemerintah pada 2023, warga Singapura digalak menjaga kesihatan sendiri dan memberi tumpuan pada langkah pencegahan seperti mengamalkan gaya hidup aktif bagi memastikan kesejahteraan baik fizikal mahupun mental. 

Di samping itu, mutu cadangan tender akan merangkumi 70 peratus daripada kriteria pemarkahan, manakala harga tender akan meliputi baki 30 peratus.

HDB akan menilai harga tender, atau tawaran harga sewa, dan MOH akan menilai mutu cadangan, termasuk tawaran penjagaan pelbagai disiplin, rangkaian perkhidmatan yang tersedia untuk pengurusan penyakit kronik, latihan yang dijalankan pasukan klinik serta waktu operasi.

Ruang sebesar kira-kira 100 meter persegi telah disediakan untuk klinik GP di Bartley Beacon, yang terletak di estet perumahan Bidadari yang bakal siap pada suku kedua 2025, berbanding dengan 50 meter persegi untuk klinik GP sedia ada di kedai HDB.

Bergantung pada hasil program perintis tersebut, MOH dan HDB akan mengkaji semula sama ada pendekatan tender itu akan dilanjutkan ke kawasan klinik lain pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg