Jabatan Kajian dan Statistik Tenaga Kerja Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dengan kerjasama Jabatan Statistik (DOS) Singapura, akan menjalankan satu tinjauan yang menyeluruh ke atas tenaga kerja dan isi rumah Singapura dari 3 Mac hingga 31 Julai 2025.
Tinjauan Tenaga Kerja dan Isi Rumah Menyeluruh (CLFHS) itu akan menggabungkan soalan daripada kedua-dua Tinjauan Tenaga Kerja Menyeluruh dan Tinjauan Isi Rumah Umum.
Tinjauan nasional tersebut akan mengumpulkan maklumat penting mengenai ciri-ciri demografi dan sosioekonomi penduduk, termasuk pendidikan, butiran pekerjaan, kecelikan bahasa dan kaedah pengangkutan ke sekolah atau kerja.
Hasil yang diperolehi daripada tinjauan itu akan membantu membentuk dan menyemak dasar, serta perancangan program dan perkhidmatan untuk masyarakat, kata MOM dan DOS dalam satu kenyataan bersama pada 3 Mac.
Isi rumah terpilih, yang dipilih secara rambang untuk mewakili penduduk Singapura, akan menerima surat makluman daripada MOM melalui pos.
“Kami amat menggalak semua isi rumah yang terpilih melakukan tinjauan dalam talian melalui pautan yang disediakan dalam surat itu.
“Peserta tinjauan akan diminta memberikan maklumat kontak mereka untuk memudahkan pengesahan respon mereka di mana perlu,” kata MOM dan DOS.
“Kerjasama isi rumah dalam memberi tinjauan yang lengkap adalah penting dalam menjayakan pelaksanaan CLFHS.
“MOM dan DOS menanti-nantikan penyertaan semua isi rumah yang terpilih,” tambah mereka.
Mereka yang tidak dapat melakukan tinjauan itu secara dalam talian boleh melakukannya melalui telefon.
Bagi golongan ini, mereka boleh menghubungi MOM di 6320-7777 dari Isnin hingga Ahad (kecuali cuti umum) antara 8.30 pagi dengan 9.30 malam, atau menghantar e-mel kepada mom_rsd_lfs@mom.gov.sg untuk membuat janji temu.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web https://stats.mom.gov.sg/Pages/OurSurveys.aspx.
CLFHS dilaksanakan di bawah Akta Statistik 1973, dan penyertaan adalah wajib.
MOM dan DOS memberi jaminan kepada responden bahawa semua maklumat yang diberikan akan dilindungi di bawah akta tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg