Jumlah pengambilan pekerja meningkat sebanyak 11,300 pada suku kedua 2024, lebih seganda daripada suku pertama iaitu sebanyak 4,700, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam laporan pasaran pekerja suku kedua pada 17 September.
Ia berkata 12,000 pekerja bukan warganegara menyumbang kepada peningkatan itu manakala jumlah pengambilan pekerja tempatan menurun sedikit sebanyak 600.
Menurut MOM, kemerosotan sebanyak 600 itu disebabkan kemerosotan bermusim dalam perdagangan runcit serta perkhidmatan pentadbiran dan sokongan.
Selain itu, peningkatan dalam pekerja bukan warganegara didorong oleh peningkatan pemegang permit kerja yang bekerja dalam bidang berkemahiran rendah seperti pembinaan dan pembuatan, yang tidak diminati penduduk tempatan.
Pengambilan pekerja tempatan berkembang dalam sektor yang berkaitan dengan penghasilan dan gaji yang lebih tinggi iaitu perkhidmatan kewangan dan insurans serta maklumat dan perhubungan.
MOM berkata permintaan pekerja kekal kukuh apabila bilangan kekosongan jawatan stabil pada Jun sebanyak 81,200 selepas meningkat pada suku sebelumnya.
Oleh kerana bilangan penganggur menurun, nisbah pekerjaan dengan jawatan kosong kepada penganggur meningkat daripada 1.56 pada Mac kepada 1.67 pada Jun 2024.
Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Desmond Choo, berkata dalam satu catatan Facebook pada 17 September, pasaran pekerja Singapura terus menunjukkan daya tahan dan momentum yang kukuh, dengan bilangan kekosongan jawatan kekal pada 81,200 pada Jun.
“Ini bermakna 1.67 kekosongan kerja bagi setiap penganggur, iaitu lebih tinggi daripada 1.56 pada Mac.
“Dengan kadar pengangguran keseluruhan yang merosot kepada 2 peratus pada Jun, usaha kami untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil dan berkualiti untuk tenaga kerja kami membuahkan hasil,” kata Encik Choo.
MOM menjangkakan momentum pasaran pekerja akan dikekalkan, dengan gaji dan pekerjaan terus berkembang apabila ekonomi meningkat di masa hadapan.
Apabila penduduk Singapura menua dan tenaga kerja tempatan semakin berkurangan, satu strategi utama adalah untuk “kekal terbuka kepada bakat global dan pelaburan asing yang melengkapkan tenaga kerja tempatan kami”, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, semasa lawatannya ke firma keselamatan siber, Acronis, pada 16 September.
Dr Tan menyatakan Acronis telah melabur dalam tenaga kerja tempatannya, dalam usaha meluaskan tawaran keselamatan sibernya melalui Program Penukaran Kerjaya (CCP) Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).
Pengambilan pekerja tempatan dijangka akan dirangsang oleh pertumbuhan dalam perkhidmatan profesional, perkhidmatan kewangan dan insurans, dan maklumat dan komunikasi, serta Grand Prix Formula Satu Singapura dan perayaan akhir tahun.
Bagi pekerja bukan warganegara, jumlah pemegang Pas S dan Pas Pekerjaan (EP) mungkin meningkat, selepas kededuanya jatuh pada suku kedua, kata MOM.
Meskipun bilangan pemegang EP jatuh secara keseluruhan, terdapat penemuan yang berbeza bergantung kepada sektor pekerjaan.
Terdapat lebih ramai pemegang EP dalam perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta perdagangan borong, namun bilangan pemegang EP jatuh dalam perkhidmatan profesional, maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan kewangan dan insurans, berikutan lonjakan dalam pengambilan pekerja selepas pandemik.
Dalam pada itu, Penolong Setiausaha Agung NTUC, Encik Patrick Tay, berkongsi penurunan bilangan keseluruhan pemegang EP serta Pas S “adalah hasil daripada firma menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi dan menyesuaikan diri kepada perubahan dasar tenaga kerja MOM untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja asing”.
“Trend ini selaras dengan advokasi NTUC untuk menyamakan kedudukan untuk penduduk, khususnya golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) kami, di tengah-tengah tenaga pekerja yang berkembang,” kata Encik Tay dalam satu catatan Facebook pada 17 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg