Pergerakan pekerja telah mengumumkan usahanya untuk mewakili pemandu teksi, pemandu kereta sewa privet dan pekerja penghantar bebas – atau dikenali sebagai pekerja platform – secara rasmi jika dan apabila draf undang-undang yang membenarkan ini diluluskan.
Persatuan sekerja baru, Persatuan Kerja Platform (PWAs), ditubuh untuk meningkatkan perwakilan pekerja platform sekiranya Rang Undang-Undang Pekerja Platform yang dibentangkan baru-baru ini digubal, kata Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), pada 29 Ogos.
Di bawah undang-undang sedia ada, pekerja platform tidak boleh menubuhkan persatuan sekerja kerana mereka tidak diiktiraf sebagai pekerja, menurut kenyataan NTUC.
Dengan penubuhan PWAs di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), tiga persatuan sedia ada – Persatuan Teksi Nasional (NTA), Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA) dan Persatuan Pejuang Pengiriman Nasional (NDCA) – akan dibubarkan dan disepadukan ke dalam PWAs.
Persatuan baru itu akan dapat menandatangani perjanjian kolektif yang mengikat secara sah dengan pengendali platform bagi pihak pekerja untuk memastikan kebertanggungjawapan daripada syarikat.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata tiada garis masa tertentu diberikan, sambil melahirkan harapan agar dapat melakukannya “secepat mungkin dan mengikut syarat yang dibenarkan”.
Selain perwakilan rasmi, Rang Undang-Undang Pekerja Platform juga bertujuan menyediakan rejim pampasan kecederaan kerja yang standard dan tahap caruman yang lebih tinggi kepada skim simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk pekerja platform.
NTUC menyatakan: “Di bawah undang-undang pekerja platform, kadar caruman CPF untuk pekerja platform dan Operator Platform akan secara beransur-ansur sepadan dengan pekerja bergaji.
“Bagi pekerja platform berumur 60 tahun ke bawah, kadar caruman CPF Operator Platform akan meningkat secara beransur-ansur daripada 3.5 peratus pada Januari 2025 kepada 17 peratus pada Januari 2029.”
Ini adalah untuk menyediakan lebih banyak sokongan kewangan untuk membantu keperluan persaraan pekerja dan sokongan perumahan, memastikan keselamatan kewangan jangka panjang mereka, tambah NTUC.
Langkah ini menangani kebimbangan lama tentang kekurangan jaringan keselamatan untuk pekerja platform yang secara tradisional telah dikecualikan daripada perlindungan sedemikian kerana status mereka sebagai bukan pekerja.
“Undang-undang pekerja platform baru akan mengukuhkan usaha kami untuk melindungi mata pencarian golongan pekerja ini dan memperkasa kami untuk mewakili secara sah bidang yang sangat penting bagi mereka seperti gaji, keselamatan dan kesejahteraan di tempat kerja,” tambah Encik Ng.
Antara cabaran golongan pekerja penghantar makanan hadapi adalah pendapatan yang semakin berkurang dan tidak tetap setiap tahun, dan juga aspek keselamatan di jalan raya, kongsi anggota jawatankuasa eksekutif NDCA, Encik Mohammad Shaffiee Abdullah.
“Kami mengalu-alukan penubuhan persatuan PWAs kerana dengan adanya PWAs, kami berasa lebih terjaga dan persatuan ini menjadi wakil kami, suara kami,” ujar Encik Shaffiee yang bertugas sebagai penghantar makanan Grabfood sejak Februari 2020.
Menurut laporan tenaga buruh terbaru Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Januari, terdapat 70,500 pekerja platform pada 2023. Jumlah tersebut turun daripada 88,400 pada 2022 dan 73,200 pada 2021.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg