Denda sejumlah $165,100 dan dua arahan hentikan kerja dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) selepas pelbagai bahaya keselamatan di 500 tapak kerja ditemui, antara Jun hingga Ogos 2025.
Dalam satu hantaran Facebook pada 25 September, MOM menjelaskan sebanyak 1,253 pemerhatian tidak selamat dikesan termasuk plat keluli tidak rata, timbunan sisa yang menghalang laluan serta lantai dapur basah.
Selain itu, pekerja dilihat memakai kasut yang membahayakan seperti yang kurang mantap pada bahagian cengkaman kaki, dengan perlindungan yang tidak mencukupi.
Ini menimbulkan bahaya seperti ‘tergelincir, tersandung dan jatuh’.
“Kesilapan ini mengancam nyawa pekerja merentasi pelbagai sektor, termasuk pembinaan, pengilangan, maritim, perkhidmatan serta pengangkutan dan penyimpanan,” kata MOM.
MOM menambah bahawa bahaya ‘tergelincir, tersandung dan jatuh’ menyumbang hampir satu pertiga daripada kecederaan serius di tempat kerja pada 2024, lapor The Straits Times (ST).
Keseluruhan 587 kecederaan serius dan 43 kematian di tempat kerja dilaporkan pada 2024, menurut Laporan Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2024 yang dikeluarkan MOM.
Contoh kecederaan serius termasuk amputasi anggota badan, buta, pekak, dan lumpuh, jelas MOM.
MOM menasihati agar tempat kerja memastikan plat keluli berada pada aras rata, mengekalkan laluan bersih, memasang cerun dengan permukaan antigelincir, dan meletakkan tikar tidak gelincir di kawasan berisiko tinggi.
Dari April hingga Jun, MOM telah mengeluarkan denda sebanyak $230,100 dan tiga arahan hentikan kerja selepas menjalankan pemeriksaan di 514 tapak kerja.
Sebanyak 1,263 keadaan tidak selamat dilaporkan dalam pemeriksaan ini, yang memberi tumpuan kepada keselamatan penggunaan mesin dalam sektor pembinaan, pengilangan dan maritim.
Amalan kerja tidak selamat boleh dilaporkan di go.gov.sg/snapsafe.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg