Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM: Kematian di tempat kerja di S’pura naik kepada 43 pada 2024

Kadar kecederaan serius pada tahap terendah
Mar 26, 2025 | 5:44 PM
Sektor pembinaan, pengangkutan dan penyimpanan, serta marin menyumbang 80 peratus daripada jumlah kematian.
Sektor pembinaan, pengangkutan dan penyimpanan, serta marin menyumbang 80 peratus daripada jumlah kematian. - Foto ST

Bilangan kematian di tempat kerja di Singapura meningkat kepada 43 pada 2024, selepas susut kepada 36 pada 2023.

Kejadian melibatkan kenderaan merupakan punca utama, diikuti dengan lemas atau sesak nafas, dan runtuhan atau kerosakan struktur serta peralatan, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 26 Mac.

Industri pembinaan, pengangkutan dan penyimpanan, serta marin menyumbang kepada 80 peratus – atau 34 – daripada 43 kematian di tempat kerja, berdasarkan angka Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) tahunan terkini yang dikeluarkan oleh MOM, lapor The Straits Times (ST).

Sektor pembinaan mencatat 20 kematian pada 2024, meningkat daripada 18 pada 2023. Ini termasuk kematian seorang jurutera tapak tempatan dan seorang pekerja pembinaan dari Bangladesh di tapak kerja Koridor Utara-Selatan.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan menyumbang kepada sembilan kematian pada 2024, meningkat daripada lapan pada 2023.

Sektor marin, yang tidak mencatatkan sebarang kematian pada 2023, merekodkan lima kematian pada 2024, dua daripadanya melibatkan kejadian lemas atau sesak nafas, kata MOM.

Industri bekalan air, pembetungan dan pengurusan sampah mencatat tiga kematian, manakala sektor pengilangan merekodkan dua kematian.

Kadar kematian di tempat kerja meningkat kepada 1.2 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2024, berbanding 0.99 pada 2023.

Pada 2023, ia merupakan kali pertama kadar kematian berada di bawah satu bagi setiap 100,000 pekerja, kecuali pada 2020 kerana pandemik Covid-19.

Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, berkata banyak usaha telah dilakukan untuk melaksanakan peraturan dan mengubah cara berfikir pemain industri.

“Saya rasa mudah untuk berkata adakan lebih banyak peraturan, sekatan dan had dikenakan, tetapi itu tidak akan menjadikan syarikat lebih berdaya saing,” kata Encik Zaqy pada 26 Mac semasa lawatan ke syarikat Chevron Oronite di Pulau Jurong.

“Keselamatan adalah penting, jadi cara untuk mencapainya adalah dengan mencari cara yang produktif supaya tidak mengganggu kecekapan kerja mereka,” tambahnya.

Pada 25 Mac, MOM berkata mereka akan bekerjasama dengan Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) untuk lebih tegas terhadap kontraktor marin luar pesisir, terutamanya penyelam yang tidak menggunakan peralatan selam komersial.

Beberapa kontraktor lebih memilih peralatan selam skuba kerana lebih mudah, walaupun peralatan komersial lebih selamat.

MOM juga akan mengetatkan kawalan permit selam dan merancang lebih banyak pemeriksaan di sektor marin pada 2025.

Singapura mencatatkan kadar kecederaan serius terendah di tempat kerja pada 2024, dengan 15.9 kecederaan setiap 100,000 pekerja.

Terdapat 587 kecederaan serius, turun sedikit daripada 590 pada 2023. Punca utama adalah terjatuh, insiden mesin dan jatuh dari ketinggian.

Industri pembinaan, pengilangan dan perkhidmatan makanan serta penginapan menyumbang 55 peratus daripada jumlah kecederaan serius.

MOM menyatakan terdapat penurunan dalam jumlah kecederaan serius di sektor pembinaan pada 2024, dengan penurunan 2 peratus berbanding 2023.

Kegiatan pembinaan kecil, seperti kerja penambahan dan pengubahsuaian, mencatat penurunan 4 peratus dalam kecederaan serius.

Namun, tapak pembinaan besar mencatatkan lebih banyak kematian, meningkat dari tujuh pada 2023 kepada 13 pada 2024.

Pada November 2024, pihak berkuasa menggalakkan syarikat pembinaan supaya melaksanakan waktu keselamatan sukarela dan meningkatkan kesedaran keselamatan pekerja.

MOM juga menguatkuasakan undang-undang di tapak pembinaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg