Pemaju swasta yang progresif juga melantik kontraktor yang lebih selamat dan memberi ganjaran kepada mereka yang mempunyai prestasi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) yang baik, menurut Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.
Ia dicapai melalui langkah seperti Skim Bonus WSH untuk projek sektor awam bernilai $50 juta dan ke atas dan peruntukan sebahagian daripada bonus untuk memberi ganjaran kepada pekerja oleh pihak kontraktor.
Dalam satu ucapan semasa Forum Kepimpinan Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas) WSH 2024 pada 25 Julai, Encik Zaqy berkata:
“Langkah-langkah ini dikenakan ke atas pemaju kerana mereka adalah pemberi gaji tertinggi dalam sektor binaan.
“Spesifikasi perolehan pemaju membentuk tingkah laku kontraktor dan boleh memberi insentif kepada mereka untuk melabur dalam keselamatan.
“Dengan memberi ganjaran kepada kontraktor yang lebih selamat, ia menghantar isyarat kuat bahawa WSH bagus untuk perniagaan, dan penting dalam membina budaya kecemerlangan WSH.”
Dalam satu rundingan dengan beberapa pihak berkepentingan industri, termasuk Redas, Encik Zaqy turut berkata bahawa Majlis WSH telah membangunkan Garis Panduan WSH mengenai Perolehan dalam Industri Pembinaan.
Ia menggabungkan amalan pemaju sektor awam yang memihak dan memberi ganjaran kepada kontraktor yang lebih selamat, sesuatu yang boleh dicontohi oleh pemaju swasta.
Di luar langkah yang ditujukan untuk pemaju, terdapat juga langkah-langkah yang tertumpu pada kontraktor dan sub-kontraktor mereka atau pembekal.
Ia termasuk kewajipan penggunaan Sistem Pengawasan Video (VSS) untuk projek binaan bernilai $5 juta atau lebih pada Jun 2024, serta Sistem Kawalan Kestabilan (SCS) untuk kren lori baru sejak Januari 2025.
“Kami percaya bahawa penggunaan teknologi adalah jalan ke hadapan untuk menambah baik kededua produktiviti binaan dan WSH, tetapi kita memerlukan usaha keseluruhan dan komitmen pihak berkepentingan utama untuk mencapai hasil WSH yang lebih baik untuk industri,” tambah Encik Zaqy.
Beliau turut menekankan bahawa tumpuan terhadap keselamatan dan kesihatan bukan sekadar tentang kos.
“Persoalan sebenar ialah kos untuk tidak memiliki langkah sedia ada seperti kos perintah berhenti kerja, kos apabila disenaraihitam, risiko reputasi, dan bil perubatan untuk pekerja yang cedera.
“Tetapi yang lebih penting adalah setiap nyawa itu berharga,” kata Encik Zaqy lagi.
Disebabkan sifat risiko yang lebih tinggi dalam sektor pembinaan, ia kekal sebagai salah satu penyumbang utama kematian dan kecederaan di tempat kerja.
“Terdapat 36 kematian tahun lalu, dan 50 peratus adalah daripada sektor pembinaan.
“Selain itu, sektor pembinaan menyumbang kira-kira 25 peratus daripada 590 kecederaan besar,” kongsi Encik Zaqy, yang menekankan kepentingan agar semua pihak berkepentingan meneruskan usaha menambah baik amalan WSH.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg