Tujuh pekerja maut dalam lima kemalangan di tempat kerja sepanjang tempoh empat minggu lalu, membawa jumlah keseluruhan kematian di tempat kerja kepada 21 kes setakat ini pada 2026.

Sebagai perbandingan, terdapat 18 kes kematian di tempat kerja dalam tempoh sama pada 2025.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan pada 26 Jun berkata: 

“Siri insiden yang berlaku berturut-turut dalam tempoh singkat ini amat membimbangkan dan menyerlahkan keperluan untuk terus berwaspada serta mematuhi syarat keselamatan di tempat kerja.”

Oleh sebab itu MOM sedang melaksanakan beberapa langkah keselamatan tempat kerja dengan sokongan agensi di bawah Pasukan Petugas Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja Pelbagai Agensi, tambahnya.

Pertama, MOM menyarankan pelaksanaan tempoh rehat keselamatan (safety time-out) sukarela selama dua minggu di semua tempat kerja bermula 26 Jun.

Majikan boleh menggunakan tempoh berkenaan untuk menyemak semula proses kerja, memperkukuh kawalan risiko, mendekati pekerja serta penyelia mengenai risiko di tempat kerja, dan menangani jurang keselamatan yang wujud, tambah MOM.

“Perhatian khusus harus diberikan kepada aktiviti berkaitan kenderaan, kelekaan pekerja secara individu, serta tindakan segera selepas berlaku kemalangan agar bantuan menyelamat atau perubatan yang sewajarnya dapat diberikan kepada mangsa,” kata kementerian berkenaan.

Kedua, langkah penguatkuasaan akan dipertingkatkan.

Ini termasuk denda kompaun bagi kesalahan keselamatan akan dinaikkan daripada $2,000 kepada $3,000 bagi kesalahan pertama, dengan denda lebih tinggi dikenakan bagi pelanggaran berulang atau lebih serius.

Tempoh minimum bagi perintah berhenti kerja (stop-work order) pula akan dilanjutkan daripada lima minggu kepada lapan minggu.

Bagi kes yang melibatkan kemalangan serius, syarikat terbabit akan dilarang daripada menggajikan pekerja migran baru selama tiga bulan.

Langkah ini akan berkuat kuasa sehingga 31 Julai dan akan dilanjutkan jika tahap keselamatan syarikat tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

“Majikan bertanggungjawab dalam memastikan kawalan risiko mencukupi, prosedur kerja selamat, dan aturan penyeliaan ditetapkan dengan sewajarnya.

“Pemimpin syarikat harus menyemak risiko di tempat kerja secara berkala, memastikan syarat keselamatan dipatuhi, serta memupuk budaya di mana keselamatan tempat kerja kekal menjadi keutamaan di semua peringkat organisasi,” kata MOM.

Penyelia dan pekerja juga memainkan peranan penting dalam mengesan dan menangani risiko di tempat kerja dengan lebih awal, manakala pekerja perlu sentiasa berwaspada dan segera menyuarakan kebimbangan sekiranya mereka mendapati situasi atau amalan yang tidak selamat.

Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, dalam satu klip video di Facebook berkata keselamatan tempat kerja merupakan tanggungjawab bersama.

Ia memerlukan kewaspadaan dan kebertanggungjawapan daripada pihak pengurusan serta penyelia untuk mencampur tangan sebelum sesuatu risiko berubah menjadi bahaya.

“Tiada tarikh akhir, kontrak, mahupun matlamat perniagaan yang berbaloi untuk menggadaikan nyawa,” tambahnya.

Anggota Parlimen (AP) Radin Mas, Encik Melvin Yong, yang juga Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), menyatakan sokongan beliau terhadap saranan MOM untuk melaksanakan tempoh rehat keselamatan nasional, selain penguatkuasaan lebih tegas serta penalti lebih berat.

Beliau menambah bahawa langkah tersebut menghantar isyarat jelas bahawa keselamatan mesti sentiasa diutamakan.