Sekitar 45 syarikat sedang disiasat Kementerian Tenaga Manusia (MOM) kerana disyaki melakukan kesalahan melibatkan pas kerja, termasuk membuat pengisytiharan palsu dan menempatkan pekerja asing secara tidak sah.

Dalam satu kenyataan media pada 2 November, MOM memaklumkan bahawa pihaknya telah mengenal pasti sekitar 270 pekerja, yang digaji oleh kontraktor dan subkontraktor penyedia perkhidmatan darat lapangan terbang, Sats, yang mana penempatan mereka mungkin tidak mematuhi peraturan pas kerja.

Ketika pemeriksaan baru-baru ini, kementerian itu mendapati pemegang Pas Pekerjaan ditugaskan untuk melakukan kerja pengendalian bagasi.

Siasatan awal menunjukkan bahawa gaji dan pekerjaan yang diisytiharkan kepada MOM bagi pemegang Pas Pekerjaan berkenaan adalah palsu, jelas kementerian itu.

Pemegang pas kerja lain turut didapati menjalankan tugasan mengendalikan bagasi, yang bercanggah dengan pekerjaan yang diisytiharkan sebelum ini.

Siasatan terhadap kesalahan melibatkan pas kerja yang disyaki itu masih berjalan, kata MOM.

“MOM telah mengarahkan Sats supaya memperkukuh pengawasan terhadap syarikat yang mengikat kontrak dengannya, termasuk mengesahkan bahawa penempatan pekerja asing adalah selaras dengan pas kerja masing-masing, selain memperbetulkan sebarang ketidakpatuhan,” kata MOM dalam kenyataan itu.

Kementerian itu menambah bahawa pihaknya turut mengeluarkan nasihat kepada syarikat lain yang terlibat dalam operasi Sats, menekankan kewajipan mereka mematuhi undang-undang Singapura berhubung pengambilan pekerja asing serta syarat pas kerja yang ditetapkan.

Individu yang didapati bersalah membuat pengisytiharan palsu dalam permohonan pas kerja boleh didenda sehingga $20,000, dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Majikan yang menempatkan pekerja asing secara tidak sah pula boleh didenda sehingga $10,000 serta berdepan larangan menggajikan pemegang pas kerja.

MOM turut menggalakkan individu yang mempunyai maklumat berhubung kemungkinan pelanggaran peraturan pas kerja supaya tampil membuat laporan kepada kementerian itu, sambil memberi jaminan bahawa semua maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.

Sebagai respons terhadap kenyataan MOM, Sats menyatakan dalam kenyataannya pada 2 November bahawa pihaknya telah mengenal pasti kesalahan berkaitan pas kerja yang melibatkan pekerja yang diambil bekerja oleh beberapa syarikat kontraktor mereka, semasa satu audit dalaman rutin.

Ia menambah, pihaknya telah mengambil tindakan terhadap syarikat kontraktor “yang tidak memenuhi piawaian dan kewajipan yang ditetapkan dalam kontrak kami, serta didapati tidak mematuhi undang-undang yang berkenaan”. Namun Sats tidak menyatakan bilakah audit itu dijalankan, mahupun tindakan yang diambil.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti