Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOM siasat kematian pembantu rumah dipercayai jatuh semasa cuci tingkap

Oct 3, 2025 | 8:59 PM
Polis memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan bantuan di Blok 9, Lorong 7, Toa Payoh pada 8 pagi, 25 September.
Polis memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan bantuan di Blok 9, Lorong 7, Toa Payoh pada 8 pagi, 25 September. - Foto SHIN MIN

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat kematian seorang pembantu rumah yang dipercayai terjatuh ketika membersihkan tingkap.

Wanita itu ditemui terbaring kaku di kaki sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Toa Payoh pada 25 September dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Majikannya memberitahu Shin Min Daily News, bahawa pekerja tersebut mungkin terjatuh ketika membersihkan tingkap, dan menambah bahawa beliau baru sahaja mula bekerja pada 20 September.

Menjawab pertanyaan The Straits Times (ST) pada 3 Oktober, jurucakap MOM berkata: 

“Kami amat bimbang terhadap kejadian sebegini dan ingin mengingatkan semua majikan tentang kepentingan memastikan keselamatan pembantu rumah asing mereka.”

Kementerian itu turut menasihatkan majikan agar memberitahu pembantu rumah mereka mengenai amalan kerja selamat ketika menjalankan tugas seperti membersihkan tingkap.

“Ini termasuk memastikan jeriji tingkap dipasang dengan betul dan dikunci sebelum sebarang kerja pembersihan dijalankan,” kata jurucakap itu.

Menurut MOM, semua majikan dan pembantu rumah kali pertama akan diajar mengenai langkah keselamatan asas melalui Program Orientasi Majikan dan Program Penyesuaian.

Program ini antaranya memberi panduan praktikal tentang cara membersihkan tingkap dengan selamat, lapor ST.

Pengarah eksekutif Pusat bagi Pekerja Domestik (CDE), Encik Michael Lim, dalam satu respons media pada 30 September, menggesa majikan dan pekerja domestik untuk mengutamakan keselamatan serta berhati-hati ketika menjalankan kerja rumah.

Namun, menurut Pertubuhan Kemanusiaan bagi Pekerja Asing (Home), pekerja domestik mungkin menghadapi kesukaran menolak arahan majikan mereka yang berbahaya atau menyalahi undang-undang.

Pengarah bahagian kerja kes dan perundangan Home, Cik Jaya Anil Kumar, berkata pada 1 Oktober:

“Ramai pembantu rumah, khususnya yang baru sahaja mula bekerja, berasa sukar untuk mengatakan ‘tidak’ kepada majikan mereka.

“Mereka takut dimarahi, atau lebih teruk, diberhentikan kerja kerana tidak mematuhi arahan.”

Cik Jaya turut menegaskan bahawa peraturan pas kerja dengan jelas melarang pekerja membersihkan tingkap secara berbahaya.

Pada Jun 2012, MOM mengumumkan bahawa majikan tidak dibenarkan membiarkan pembantu rumah hijrahan mereka membersihkan bahagian luar tingkap kecuali jika syarat keselamatan yang ketat dipatuhi.

Antara syaratnya ialah, seorang majikan atau wakil dewasa mesti berada di lokasi untuk mengawasi pembantu rumah, dan jeriji tingkap mesti dipasang serta dikunci sepanjang proses pembersihan.

Peraturan itu diperkenalkan susulan kematian lima pembantu rumah yang terjatuh ketika membersihkan tingkap secara tidak selamat antara Januari dengan Jun 2012.

Menurut laman web MOM, majikan dan pembantu rumah dikehendaki menandatangani perjanjian keselamatan sebelum pekerjaan bermula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg