Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia sedia tingkat sambungan rentas sempadan Johor-S’pura

Aug 19, 2025 | 5:18 PM
Malaysia, Singapura, Anthony Loke, pengangkutan, rentas sempadan, e-hailing
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke. - Foto BERNAMA

Malaysia bersedia untuk meningkatkan sambungan rentas sempadan antara Johor dengan Singapura, termasuk melalui perkhidmatan e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) rentas sempadan.

Namun perkara itu hanya boleh direalisasikan jika mendapat persetujuan kededua negara.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, berkata Malaysia menaruh harapan boleh meneruskan perbincangan dengan Singapura bagi pelaksanaan perkhidmatan pengangkutan e-hailing rentas sempadan antara Johor dengan Singapura itu.

Katanya cadangan itu juga diharap dapat disambut oleh Singapura supaya idea berkenaan dapat diangkat menjadi realiti.

“Berkenaan cadangan pelaksanaan perkhidmatan e-hailing di antara Johor dengan Singapura, perkara ini dalam perhatian dan secara dasarnya, kita berharap perkhidmatan e-hailing rentas sempadan ini dapat dilaksanakan. 

“Apabila ada cadangan untuk berikan kebenaran bagi e-hailing rentas sempadan, perlu ada perbincangan lanjut antara kedua-dua pihak pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia. 

“Secara prinsip dan dasar, kita sedia berbincang dengan Singapura untuk meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan. Kedua-dua pihak perlu bersetuju barulah ia boleh dilaksanakan,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat pada 18 Ogos.

Beliau berkata cadangan tersebut pernah dibangkitkannya kepada mantan Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Chee Hong Tat, bagaimanapun Singapura pada ketika itu belum bersedia untuk berbincang lanjut mengenainya.

“Kita harap boleh teruskan perbincangan dan harap ini dapat disambut oleh pihak Singapura untuk mengangkat idea ini menjadi realiti,” katanya.

Sebelum ini, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 3 Ogos dilaporkan berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meliberalkan (membuka sekatan) sepenuhnya pengangkutan dari satu tempat ke satu tempat rentas sempadan Singapura-Malaysia menerusi perkhidmatan e-hailing.

LTA menjelaskan bahawa pada masa ini terdapat Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) timbal balik sedia ada yang membenarkan sehingga 200 teksi berlesen dari setiap negara membawa penumpang antara Singapura dengan Johor Bahru.

Kenyataan LTA itu dikeluarkan susulan laporan media Malaysia berkenaan cadangan khidmat pengangkutan rentas sempadan melalui khidmat tempahan pengangkutan yang bakal diperkenalkan kelak.

Ia memetik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai berkata cadangan itu adalah antara perkara yang dibincangkan semasa pertemuannya dengan Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 1 Ogos, dalam satu pertemuan antara kedua-dua pihak.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Encik Loke berkata setakat ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menahan dan menyita empat kenderaan persendirian yang dipandu oleh individu warga Singapura, melalui Ops Khas e-hailing kenderaan asing yang dilaksanakan pada 13 Ogos lalu.

Beliau berkata melalui Ops Khas kenderaan pengangkutan awam membabitkan bas persiaran Singapura pada 4 Mei lalu pula, JPJ menahan dan menyita lima bas terbabit yang dipandu warga Singapura.

“Perkara ini sedang dalam perbicaraan mahkamah. Semua kenderaan ini tidak mempunyai lesen pengendali yang sah dan tidak berdaftar sebagai kenderaan perkhidmatan awam,” katanya

“Secara prinsip dan dasar, kita sedia berbincang dengan Singapura untuk meningkatkan kesalinghubungan rentas sempadan. Kedua-dua pihak perlu bersetuju barulah ia boleh dilaksanakan.” 
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg