Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebahagian besar keluarga ComLink+ belum berdikari dalam jagaan kesihatan

Dec 16, 2025 | 7:10 PM
 ComLink+, keluarga pendapatan rendah, kesihatan
Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2025, terbitan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 16 Disember, mendapati hanya tiga peratus daripada keluarga di bawah ComLink+ mencapai kebergantungan sendiri atau berdikari dalam aspek penjagaan keperluan kesihatan. - Foto fail

Hampir semua keluarga di bawah ComLink+ tidak mencapai kebergantungan sendiri atau belum berdikari dalam aspek penjagaan keperluan kesihatan mereka, sungguhpun sebahagian besar daripada mereka berada dalam keadaan kesihatan yang stabil.

Dalam satu laporan terbitan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 16 Disember, didapati hanya 3 peratus keluarga di bawah ComLink+ mencapai kebergantungan sendiri dalam aspek penjagaan keperluan kesihatan.

Ini kali pertama laporan itu menampilkan beberapa penanda baru seperti kestabilan kesihatan bagi menilai keadaan kesihatan bagi keluarga di bawah ComLink+.

Ini di samping penanda lain seperti jaminan pendapatan, pendidikan prasekolah, perumahan dan fungsi keluarga.

Daya usaha ComLink+, diumumkan pada November 2023, membantu keluarga di rumah sewa awam yang mempunyai anak menerusi sokongan menyeluruh, termasuk pendidikan prasekolah, bimbingan pekerjaan dan bantuan melangsaikan hutang.

Menurut Laporan Trend Sokongan Isi Rumah Berpendapatan Rendah 2025, 90 peratus keluarga di bawah ComLink+ yang berada dalam keadaan kesihatan stabil, dapat memenuhi keperluan kesihatan asas atau tidak mengalami masalah kesihatan yang teruk.

Baki 7 peratus pula berada dalam keadaan kesihatan tidak stabil setelah mereka tidak dapat memenuhi keperluan kesihatan asas atau mengalami masalah kesihatan teruk, iaitu sebahagian besar daripada mereka pernah dimasukkan dan dirawat di hospital.

Dalam pada itu, kebanyakan keluarga dalam keadaan kesihatan stabil pula belum mencapai kebergantungan sendiri kerana mereka tidak melengkapkan pemeriksaan kesihatan yang disyorkan di peringkat nasional, tambah laporan itu.

Hasil sedemikian menunjukkan adanya keterhubungkaitan antara kesihatan dengan hasil pendapatan, kata pakar ekonomi Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Chia Ngee Choon.

Namun cabaran lebih besar, kata beliau, adalah untuk meleraikan keengganan keluarga berpendapatan rendah menerapkan amalan kesihatan baik.

“Cabaran lebih mendalam terletak pada keengganan keluarga berpendapatan rendah menyemai tingkah laku ke arah kesihatan lebih baik. Justeru, hasil pendapatan bertindak sebagai syarat penting yang membolehkan keadaan kesihatan lebih baik,” ujarnya.

Hal sedemikian turut dikongsi zamil penyelidik utama dan Ketua Social Lab, Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Mathew Mathews.

Beliau menyifatkan tahap kesihatan bagi keluarga berpendapatan rendah “bukan isu perubatan semata-mata” kerana ia mencipta masalah di peringkat hiliran (downstream) atau fasa selanjutnya selepas peringkat awal, yang menjejas pekerjaan dan kewangan.

Beliau berkata: “Hasil laporan berkenaan menunjukkan kadar pemeriksaan kesihatan lebih rendah (dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah), selaras dengan apa yang dilihat secara sejagat, dengan isi rumah berpendapatan rendah lebih cenderung menangguhkan atau tidak pernah menjalani pemeriksaan atas faktor kos.

“Jika kos ini diberi subsidi yang banyak sekalipun, masih wujud kebimbangan terhadap pembayaran bersama, sekecil manapun jumlahnya.”

Terdapat juga kos tidak langsung yang terkait seperti kebimbangan mengenai waktu pekerjaan yang hilang atau waktu menunggu yang lama di poliklinik, tambah beliau.

“Secara amnya, golongan berpendapatan rendah mengutamakan keperluan kewangan segera berbanding unsur pencegahan (penyakit),” ujarnya.

Justeru, beliau mengusulkan agar kesihatan harus menjadi tonggak utama dalam langkah campur tangan, jika ingin melihat lebih banyak keluarga berpendapatan rendah mencapai kebergantungan sendiri dalam penjagaan keperluan kesihatan.

Beliau berkata pelaburan dari segi usaha pencegahan penyakit boleh mencipta hasil positif bagi golongan sedemikian, lebih-lebih lagi jika penyakit kronik dapat dicegah.

“Jika penyakit dikesan lebih awal dan dirawat, ia dapat mengelakkan mereka daripada kehilangan pekerjaan dan (dibelenggu) hutang.

“Ia juga memastikan perkembangan anak-anak mereka tidak terjejas – ini boleh berlaku apabila si penjaga alami penyakit kronik dan mungkin tidak dapat membantu perkembangan anak-anak ini dengan secukupnya,” tambah Dr Mathews.

MSF dan Kementerian Kesihatan (MOH) sedang mencuba model sokongan bersepadu, melibatkan jurulatih keluarga yang mendampingi keluarga di bawah ComLink+.

Jurulatih keluarga ini akan menyokong keluarga terbabit menerapkan amalan gaya hidup lebih sihat dan menggalakkan mereka supaya menghadiri pemeriksaan kesihatan secara lebih kerap.

Bagi keluarga yang mengalami keadaan kesihatan rumit, jurulatih keluarga dan kakitangan penjagaan kesihatan akan membangunkan pelan tindakan kesihatan tersuai bagi memenuhi keperluan keluarga tersebut, tambah MSF.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg