Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOU bantu pekerja pengangkutan awam tingkat kemahiran, perkukuh kerjaya

Oct 31, 2025 | 4:57 PM
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng (kiri), menyaksikan demonstrasi sistem latihan, Realiti Maya (VR) SMRT sewaktu lawatan ke Depoh Bishan pada 31 Oktober. Sistem tersebut membolehkan pekerja berlatih membaiki kerosakan dan menjalankan tugas penyelenggaraan.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng (kiri), menyaksikan demonstrasi sistem latihan, Realiti Maya (VR) SMRT sewaktu lawatan ke Depoh Bishan pada 31 Oktober. Sistem tersebut membolehkan pekerja berlatih membaiki kerosakan dan menjalankan tugas penyelenggaraan. - Foto ZAOBAO

Sehingga seramai 20,000 pekerja merentas ekosistem pengangkutan awam bakal meraih manfaat daripada kerjasama pertama antara Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) dan SMRT Corporation melalui kenaikan gaji, laluan peningkatan kerjaya lebih jelas dan tempat kerja lebih selamat.

Ini hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) pada 31 Oktober antara NTUC, NTWU dengan SMRT, yang akan memacu transformasi melalui inisiatif Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) NTUC.

Geran CTC NTUC akan membantu kontraktor melaksanakan projek transformasi yang meningkatkan hasil pekerja dan perniagaan, dengan membiayai bersama sehingga 70 peratus kos kelayakan bagi projek transformasi atau latihan yang terikat dengan projek transformasi, untuk meningkatkan produktiviti, dan mereka bentuk semula pekerjaan serta meningkatkan prospek kerja.

SMRT akan mengambil peranan sebagai ‘Queen Bee’ (pemimpin), melibatkan lebih 200 perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam rangkaian kontraktornya untuk menggunakan teknologi, meningkatkan keupayaan tenaga kerja, dan mengukuhkan keselamatan serta kebolehpercayaan pengangkutan dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Demikian menurut kenyataan bersama NTUC dan SMRT Corporation pada 31 Oktober.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata:

“SME ini dan pekerja mereka memainkan banyak peranan kejuruteraan dan penyelenggaraan yang penting. Tetapi ramai yang menghadapi cabaran dalam mengakses sumber latihan atau transformasi.

“Melalui kerjasama ‘Queen Bee’ ini, kami berharap dapat meningkatkan keseluruhan ekosistem melalui mekanisme tersebut, bagi SME mengakses kemungkinan baru bersama NTUC, NTWU dan SMRT.”

Pada 29 Oktober, Kumpulan FairPrice (FPG) juga telah dilantik sebagai SkillsFuture Queen Bee (SFQB) susulan pemeteraian MOU antara NTUC, SkillsFuture Singapura (SSG) dengan FPG.

Sementara itu, antara SME yang mengalu-alukan kerjasama tersebut adalah syarikat TNT Surveillance, yang menyediakan penyelesaian keselamatan dan pengawasan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI).

Pengarah TNT Surveillance, Encik Joshua Tan, berkongsi bahawa sistem telematik bas yang dibangunkan syarikatnya telah dipasang pada seluruh armada bas SMRT.

Sistem itu menggunakan penderia untuk mengumpul data masa mengenai operasi bas dan menggunakan AI dalam analisis data untuk meningkatkan prestasi keselamatan.

“Kami berbangga kerana telah menyumbang kepada perjalanan SMRT untuk meningkatkan keselamatan awam secara berterusan.

“Dan dengan MOU baru ini, kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dengan SMRT untuk mengukuhkan lagi keselamatan buat semua pihak berkepentingan,” ujar Encik Tan ketika ditemui media di bangunan pentadbiran Depoh Bishan.

Penolong Setiausaha Agung NTUC yang juga Setiausaha Eksekutif NTWU, Cik Yeo Wan Ling, berkata SME merupakan bahagian penting dalam tenaga kerja kerana mereka membawa kepakaran dan pengetahuan tersendiri.

Justeru, adalah penting untuk menyokong SME dalam usaha mereka untuk menggunakan lebih banyak teknologi serta memanfaatkan AI.

“Kami percaya ini akan menjadi langkah penting dalam melengkapkan usaha kami ke arah mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih baik dan lebih dipercayai untuk semua,” kata Cik Yeo.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg