Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOU dorong lebih ramai wanita muda sertai sektor penerbangan

CAAS, badan Wanita dalam Penerbangan S’pura sepakat usaha sejajar sektor kian berkembang
Oct 11, 2024 | 6:10 PM
Presiden  Wanita dalam Penerbangan babak Singapura (WAI-SG) , Cik Lou-Ann Seet, berkata pertubuhan bukan meraih untung itu menyasarkan untuk mencapai lebih 2,000 wanita melalui programnya dalam tempoh lima tahun akan datang.
Presiden  Wanita dalam Penerbangan babak Singapura (WAI-SG) , Cik Lou-Ann Seet, berkata pertubuhan bukan meraih untung itu menyasarkan untuk mencapai lebih 2,000 wanita melalui programnya dalam tempoh lima tahun akan datang. - Foto ST

Lebih ramai wanita muda kita digalakkan agar menceburi bidang penerbangan.

Ini sejajar dengan sektor penerbangan yang kian berkembang seiring meningkatnya permintaan bagi perjalanan udara.

Untuk mencapai matlamat itu, Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Wanita dalam Penerbangan babak Singapura (WAI-SG) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) pada 10 Oktober.

MOU itu khusus untuk menggalakkan kegiatan berkaitan penerbangan yang boleh dicuba oleh wanita muda. Ia sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai peluang kerjaya dalam sektor tersebut, lapor The Straits Times.

Sebagai sebahagian daripada pakatan tersebut, lebih banyak akan dilakukan bagi menggalak wanita muda yang berminat dalam Stem (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) untuk menggunakan kemahiran itu dalam penerbangan.

CAAS dan WAI-SG juga akan bekerjasama untuk membantu wanita muda membina jalinan rangkaian kukuh dan hubungan profesional dalam sektor penerbangan.

Dalam majlis makan malam di Orchard Hotel, yang menyaksikan MOU itu ditandatangani, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata kerjasama itu tepat pada masanya memandangkan sektor penerbangan perlu menggajikan lebih ramai bakat untuk menggerakkan pertumbuhannya.

“Kami mahu generasi muda terus melihat penerbangan sebagai sektor mengujakan, dan memastikan penggemar penerbangan generasi akan datang dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan,” kata beliau.

Beliau turut menyifatkan tenaga kerja sektor penerbangan sebagai memainkan peranan penting ke arah kejayaan industri itu.

CAAS dan WAI-SG berkata pakatan itu akan “mempromosikan penerbangan sebagai kerjaya untuk gadis dan wanita muda serta membangunkan generasi peneraju penerbangan wanita akan datang”.

MOU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, dan presiden WAI-SG, Cik Lou-Ann Seet.

Bercakap kepada ST, Cik Seet berkata adalah penting wanita “melihat jenis peranan yang ada dalam penerbangan selain daripada juruterbang biasa, pramugari, jurutera”.

Ibu beliau seorang pramugari bersama syarikat penerbangan Hong Kong Cathay Pacific, dan Cik Seet membesar dengan keinginan menjadi juruterbang.

Beliau kini memandu pesawat Cessna 172 sebagai hobi apabila berkunjung ke Amerika Syarikat.

WAI-SG mengadakan pameran kerjaya dengan memberi tumpuan pada penerbangan dan mempunyai program bimbingan mantap, serta mentor daripada syarikat penerbangan seperti Boeing.

Dalam ucapan semasa majlis jamuan malam itu, Cik Seet, yang juga rakan kongsi jualan dan peneraju pertumbuhan Asia-Pasifik bersama syarikat data pengesanan penerbangan FlightAware, berkata WAI-SG telah menggandingkan lebih 75 wanita dengan eksekutif penerbangan berpengalaman melalui program bimbingannya.

Pertubuhan tidak mencari untung itu menyasarkan untuk menjangkau lebih 2,000 wanita melalui programnya sepanjang lima tahun akan datang, tambahnya.

Salah satu programnya ialah Hari Perempuan dalam Penerbangan tahunan bagi kanak-kanak perempuan seawal usia lapan tahun.

Edisi 2024 akan diadakan pada 19 Oktober di Politeknik Temasek.

WAI-SG turut merancang mengadakan program Kerjaya Gen Z pada Hari Penerbangan, menyasarkan golongan muda berumur antara 18 dengan 28 tahun, pada Januari 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg