Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOU perkukuh usaha derma darah, siap siaga krisis, sokongan psikososial
MOU perkukuh usaha derma darah, siap siaga krisis, sokongan psikososial
Palang Merah Singapura (SRC) dan Persatuan Rakyat (PA) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) baharu selama tiga tahun, dari 2026 hingga 2029, bagi memperluas kerjasama dalam empat bidang, iaitu pengurusan krisis, daya tahan terhadap gelombang haba, sokongan psikososial dan pendermaan darah masyarakat.
MOU itu akan memperkukuh usaha mendekati masyarakat bagi menggalakkan usaha menderma darah, selain melengkapkan masyarakat dengan keupayaan yang lebih baik untuk membuat persediaan dan bertindak balas ketika berlaku kecemasan.
Perkara itu diumumkan Pengerusi SRC, Encik Tan Kai Hoe, semasa Anugerah Palang Merah Singapura yang diadakan di Novotel Singapore pada 22 September.
Acara tahunan itu mengiktiraf sumbangan para sukarelawan dan rakan kerjasama yang telah meluangkan masa, berkongsi kepakaran dan menyumbangkan sumber demi menyokong misi organisasi tersebut.
“Usaha ini mencerminkan satu prinsip yang mudah tetapi penting: Masyarakat yang berdaya tahan dibina jauh sebelum krisis berlaku, melalui persediaan, masyarakat yang kukuh dan kerjasama yang berterusan,” ujar Encik Tan dalam ucapannya.
Selain itu, sukarelawan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Masyarakat (CERT) PA akan diberi peluang mempelajari amalan pengurusan krisis dan pemulihan bencana di rantau ini menerusi program pengalaman di luar negara.
Langkah itu bertujuan memperkukuh keupayaan mereka dalam membuat persediaan menghadapi kecemasan serta memulihkan keadaan selepas krisis.
Di luar kerjasama menerusi MOU tersebut, lebih 380 individu dan organisasi turut diberi penghargaan atas sumbangan mereka kepada SRC.
Antaranya ialah Encik Muhammad Zakir Abu Bakar, 45 tahun, yang menerima Anugerah Penghargaan atas 30 tahun khidmatnya dalam membimbing belia Palang Merah serta menyertai misi kemanusiaan di luar negara, termasuk ke Nepal selepas negara itu dilanda gempa bumi pada 2016.
Tetamu terhormat bagi acara itu ialah Presiden Tharman Shanmugaratnam, penaung Palang Merah Singapura. Beliau turut menyampaikan Anugerah Presiden kepada tiga penerima terpilih, termasuk Suhaifiq Suhaidi, 16 tahun, dari Sekolah Menengah Zhenghua.
Bagi meraih anugerah tersebut, Suhaifiq bersaing dengan calon daripada sekitar 19 sekolah melalui pusingan temu duga awal dan akhir.
Beliau memberitahu Berita Harian (BH) bahawa penglibatannya dalam SRC telah menyemarakkan minatnya untuk berkhidmat dan membantu masyarakat, khususnya golongan yang kurang berkemampuan.
Pengalamannya membimbing anggota yang lebih muda serta melakukan kegiatan sukarela bersama rakan-rakan yang mempunyai semangat yang sama turut menyedarkannya tentang hasrat untuk menjadi guru pada masa hadapan.
“Palang Merah mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih penyayang dan prihatin serta menyumbang kembali kepada masyarakat kerana saya dikelilingi individu yang mempunyai matlamat dan komuniti yang begitu bertenaga, yang benar-benar berusaha membantu orang lain dan melakukan kerja sukarela demi tujuan yang lebih besar,” katanya.
Selaras dengan nilai tersebut, Encik Zakir pula berkata penglibatannya dalam Palang Merah telah menyemai tiga nilai utama dalam dirinya dan para pelajarnya, iaitu kesamarataan, kesejagatan dan kemanusiaan.
“Sebagai seorang guru, saya melihat bagaimana Palang Merah memberi mereka peluang untuk melihat melangkaui diri sendiri dan menyedari betapa bertuah dan bersyukurnya kita dengan kehidupan yang diberikan kepada kita.
“Apabila pelajar saya mengunjungi warga emas, rumah anak yatim atau mengumpulkan dana, saya rasa pengalaman ini membuka minda dan mata mereka terhadap pelbagai golongan di seluruh dunia serta keadaan berbeza yang mereka lalui,” katanya.
Guru Matematik dan Sains peringkat atas di Sekolah Rendah Rivervale itu selanjutnya berkata Palang Merah mengajar para pelajar untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum atau agama.
“Tanpa mengira kaum, bahasa, agama malah kumpulan umur, Palang Merah menerapkan nilai kesejagatan. Kami merentasi sempadan negara untuk membantu semata-mata kerana ingin membantu, bukannya hanya membantu negara tertentu atau rakan-rakan kita.
“Tiada apa yang dipanggil garis kelabu atau kerenah birokrasi yang perlu kami ikuti. Para pelajar diajar untuk membantu berdasarkan garis panduan undang-undang antarabangsa,” tambahnya.