Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MPA adakan latihan tumpahan minyak 4 bulan selepas insiden

Lebih 100 pegawai daripada 18 agensi pemerintah, syarikat ambil bahagian dalam latihan setiap dua tahun
Oct 11, 2024 | 5:49 PM
Latihan pembersihan minyak di laut diadakan setiap dua tahun sejak 1998. Dalam gambar, sebuah bot tindak balas gunakan alat penghapus minyak Giant Octopus Skimmer dan bum untuk membendung tumpahan minyak semasa latihan bersama pada 29 September 2020.
Latihan pembersihan minyak di laut diadakan setiap dua tahun sejak 1998. Dalam gambar, sebuah bot tindak balas gunakan alat penghapus minyak Giant Octopus Skimmer dan bum untuk membendung tumpahan minyak semasa latihan bersama pada 29 September 2020. - Foto fail

Lebih 100 pegawai daripada 18 agensi pemerintah dan syarikat mengambil bahagian dalam latihan tumpahan minyak bersama anjuran Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) pada 11 Oktober.

Latihan itu, yang telah dijalankan setiap dua tahun sejak 1998, diadakan hampir empat bulan selepas tumpahan minyak di terminal Pasir Panjang, yang mencemarkan pantai di sekitar Singapura.

Kejadian tersebut telah mencetuskan operasi pembersihan yang meluas yang menjangkau lebih dua bulan.

Latihan sedemikian bertujuan menguji penyelarasan dan tindak balas pemerintah serta perusahaan terhadap insiden tumpahan minyak di Singapura, kata MPA.

Selain perbincangan di meja, latihan itu terdiri daripada penempatan di luar Terminal Pasir Panjang yang melibatkan pengendali terminal di Pulau Jurong dan Pulau Bukom mengaktifkan protokol kecemasan mereka, lapor The Straits Times (ST).

Para pengendali itu kemudiannya menggunakan bot milik syarikat mereka untuk menyembur bahan penyerak – bahan kimia yang memecahkan minyak menjadi titisan yang lebih kecil, supaya ia boleh dicampur dengan air – untuk menyokong kapal peronda MPA di tapak latihan.

Bot-bot tindak balas milik operator itu dilengkapi sistem penyembur bahan penyerak yang dipasang di kapal, manakala kapal peronda MPA ditugaskan untuk mengawal perairan Singapura 24 jam sehari.

Selain itu, bum pelindung telah dibentangkan oleh beberapa pengendali untuk memudahkan operasi pembersihan dan mengurangkan gangguan pada operasi.

Bum pelindung ialah peranti terapung yang mewujudkan penghalang untuk memerangkap minyak, dan seterusnya mengawal penyebarannya.

Pihak berkuasa berkata wakil daripada kumpulan alam semula jadi dan masyarakat dijemput untuk memerhatikan latihan penempatan di laut itu.

Tumpahan minyak pada 14 Jun itu disebabkan oleh perlanggaran antara bot pengorekan berbendera Belanda, Vox Maxima, dan kapal bunker berbendera Singapura, Marine Honor, yang tidak bergerak di Terminal Pasir Panjang, mengakibatkan 400 tan bahan api bocor ke laut.

Minyak itu kemudiannya merebak ke garis pantai di Pantai East Coast, Hutan Simpanan Labrador, Keppel Bay, Kepulauan Selatan dan Sentosa, dengan kegiatan air di pantai yang terjejas digantung selama lebih dua bulan.

Secara berasingan, pihak berkuasa sedang meneroka teknologi baru yang boleh menyokong tindak balasnya terhadap tumpahan minyak seperti itu, termasuk kamera hiperspektral yang berpotensi mengesan tompokan minyak di bawah permukaan air.

Dengan menganalisis pantulan cahaya atau corak penyerapan unik bahan yang berbeza, kamera ini boleh membantu mengesan minyak terapung di bawah permukaan air laut dan mungkin membolehkan operasi pengawasan malam, tambah MPA.

Pada 10 Oktober, MPA telah menguji mesin pembersih laser yang menggunakan pancaran cahaya yang kuat untuk memecahkan dan mengewap kesan minyak.

Ia boleh melengkapi penggunaan pancutan air tekanan tinggi pada dinding terusan dan batuan yang memerlukan pembersihan yang tepat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg