Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF: Akan perkenal akta keganasan rumah tangga, tingkat perlindungan mangsa

Turut beri jaminan yuran prasekolah kekal mampu milik; tempat prasekolah bagi 80 peratus kanak-kanak jelang akhir 2025.
Sep 17, 2025 | 5:30 PM
Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, adendum MSF
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, membentangkan adendum (kenyataan tambahan) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 17 September. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan memperkenalkan Akta Keganasan Rumah Tangga baru untuk mengukuhkan rangka kerja undang-undang bagi melindungi mangsa keganasan rumah tangga, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Menggariskan adendum (kenyataan tambahan) kementeriannya pada 17 September, Encik Masagos berkata MSF juga akan meningkatkan pelaburan dalam campur tangan pencegahan sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengurangkan kejadian keganasan rumah tangga dan kesalahan remaja.

Demikian antara beberapa rancangan MSF sebagai sebahagian daripada usaha memupuk dan membina individu berdaya tahan, keluarga kuat dan masyarakat penyayang sambil memberi jaminan lebih besar kepada rakyat Singapura dalam melalui setiap peringkat kehidupan.

Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, Encik Masagos berkata MSF berada di landasan yang betul untuk menawarkan tempat kepada 80 peratus kanak-kanak di prasekolah yang disokong pemerintah menjelang akhir 2025.

Ia juga akan memastikan prasekolah mampu milik, mengembangkan pilihan penjagaan bayi dan melabur dalam pembangunan kanak-kanak melalui program KidSTART, dan membantu keluarga yang mempunyai anak kecil agar mendaftar dan menghadiri prasekolah.

“MSF akan menyokong keluarga melalui setiap peringkat kehidupan. Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, kami akan memastikan akses kepada perkhidmatan awal kanak-kanak yang berpatutan dan berkualiti.

“Kami akan melabur dalam pembangunan profesional pendidik perkhidmatan awal kanak-kanak, dan rakan prasekolah untuk membolehkan setiap kanak-kanak mencapai potensi mereka,” kata Encik Masagos.

Bagi mereka yang menghadapi masalah perhubungan keluarga, Encik Masagos berkata MSF akan membangunkan perkhidmatan kaunseling keluarga yang boleh diakses dan mampu milik.

Penjaga juga akan diberi sokongan untuk menjaga orang tersayang, kekal bekerja atau kembali bekerja.

Akta Keupayaan Mental juga akan dikaji semula bagi menyokong keluarga yang mempunyai orang dewasa yang lemah dan kurang keupayaan mental, sambil mengukuhkan perlindungan terhadap penyalahgunaan Surat Kuasa Berkekalan (LPA), tambahnya.

Bagi orang kurang upaya (PWD), MSF akan meningkatkan sokongan pekerjaan dan peluang untuk pembelajaran sepanjang hayat, serta mengukuhkan sokongan berasaskan rumah dan masyarakat bagi membolehkan mereka hidup dan mengambil bahagian sepenuhnya dalam masyarakat.

“Kami akan membantu keluarga dengan PWD menyediakan keperluan merentasi peringkat kehidupan melalui perancangan berasaskan individu dan keluarga, dan memupuk sikap positif terhadap PWD,” kata Encik Masagos.

Bagi keluarga berpendapatan rendah, Encik Masagos berkata MSF akan menyokong mereka dalam memperoleh kestabilan, berdikari dan mobiliti sosial.

Beliau memberi contoh bagaimana melalui ComLink+, jurulatih keluarga yang berdedikasi dan rakan sukarelawan akan bersama-sama keluarga untuk menetapkan dan mencapai matlamat mereka, dengan Pakej Kemajuan menyediakan sokongan kewangan tambahan untuk mengiktiraf usaha mereka.

MSF akan meningkatkan pengalaman keluarga yang memerlukan bantuan ComCare, dan akan terus menyemak serta mengemas kini bantuan ComCare, tambah Encik Masagos.

Ia juga akan meningkatkan penyampaian perkhidmatan fizikal dan digital di Pejabat Khidmat Sosial (SSO), dan menambah baik penyelarasannya dengan pertubuhan awam dan agensi perkhidmatan sosial yang lain.

Menurut Encik Masagos, Jawatankuasa Semakan Khidmat Keluarga sedang mengkaji bagaimana MSF boleh menyalurkan perkhidmatan lebih holistik, berpaksikan keluarga untuk meningkatkan hasil bagi keluarga yang mempunyai isu kompleks.

“MSF sahaja tidak dapat memupuk keluarga yang kuat dan membina masyarakat penyayang.

“Keluarga yang kukuh dan peluang yang bermakna berkembang daripada sokongan masyarakat, perniagaan dan individu yang bekerja bersama.

“Kami akan berganding bahu dengan rakyat Singapura, dalam semangat Melakar Hala Tuju Singapura, untuk membina masa depan yang prihatin dan inklusif untuk semua,” tambah Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg