MSF: Anak-anak kembali ke pangkuan Han Hui Hui dengan langkah keselamatan tambahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF: Anak-anak kembali ke pangkuan Han Hui Hui dengan langkah keselamatan tambahan

Mar 17, 2026 | 10:19 PM

MSF: Anak-anak kembali ke pangkuan Han Hui Hui dengan langkah keselamatan tambahan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Tiga anak aktivis politik, Cik Han Hui Hui, telah dipulangkan ke jagaan beliau pada 16 Mac, selepas Perkhidmatan Perlindungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mewujudkan langkah-langkah keselamatan tambahan yang telah dipersetujui oleh Cik Han dan suaminya. Langkah keselamatan itu termasuk penglibatan anggota keluarga mereka yang lain untuk membantu memastikan keselamatan anak-anak, menurut kenyataan bersama MSF dan polis pada 17 Mac.
Tiga anak aktivis politik, Cik Han Hui Hui, telah dipulangkan ke jagaan beliau pada 16 Mac, selepas Perkhidmatan Perlindungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mewujudkan langkah-langkah keselamatan tambahan yang telah dipersetujui oleh Cik Han dan suaminya. Langkah keselamatan itu termasuk penglibatan anggota keluarga mereka yang lain untuk membantu memastikan keselamatan anak-anak, menurut kenyataan bersama MSF dan polis pada 17 Mac. - Foto ST

Tiga anak aktivis politik, Cik Han Hui Hui, telah dikembalikan ke pangkuan bliau pada 16 Mac, selepas Perkhidmatan Perlindungan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) mewujudkan langkah-langkah keselamatan tambahan yang telah dipersetujui oleh Cik Han dan suaminya.

Langkah keselamatan itu termasuk penglibatan anggota keluarga mereka yang lain untuk membantu memastikan keselamatan anak-anak itu, menurut kenyataan bersama MSF dan polis pada 17 Mac.

Anggota keluarga tersebut akan memantau anak-anak itu melalui lawatan dan panggilan video.

MSF serta pihak profesional lain juga akan bekerjasama dengan sekolah dan perkhidmatan selepas sekolah kanak-kanak itu bagi memantau dan menyokong kesejahteraan mereka.

Ketiga-tiga anak Cik Han – berumur tiga, lima dan enam tahun – telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk penilaian dan penjagaan perubatan pada 15 Februari, susulan “satu pertengkaran fizikal yang didakwa” antara ibu mertua Cik Han dengan kanak-kanak tersebut.

Kes itu menarik perhatian orang ramai selepas Cik Han memuat naikkan beberapa kiriman di media sosial, mendakwa bahawa anak-anaknya diambil oleh MSF tanpa perintah mahkamah, selain membuat beberapa tuduhan lain.

Dalam kenyataan mereka pada 17 Mac, MSF dan polis menjelaskan keadaan yang membawa kepada langkah kanak-kanak itu dibawa ke KKH, proses perlindungan kanak-kanak, serta butiran langkah tambahan yang diambil bagi memastikan keselamatan mereka.

Cik Han, berusia 33 tahun, turut dikehendaki menyiarkan notis pembetulan berhubung komen yang dibuatnya dalam kiriman media sosial, di mana beliau membuat dakwaan berkaitan pengambilan anak-anaknya.

Beliau mendakwa bahawa MSF mengugut untuk menghalang akses beliau kepada anak-anaknya sekiranya beliau tidak memadam kiriman media sosial tersebut.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa kanak-kanak itu dipindahkan pada 15 Februari selepas keselamatan mereka dinilai terjejas, dan tindakan itu diambil selaras dengan Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA).

Antara Januari dengan Februari 2026, polis menerima laporan yang dibuat oleh Cik Han, suaminya, dan ibu mentua beliau terhadap satu sama lain.

Sebelum itu, Cik Han dan suaminya masing-masing telah membuat laporan polis terhadap satu sama lain pada 2025.

Selepas siasatan, polis telah mengeluarkan amaran bersyarat selama 24 bulan kepada kedua-duanya.

Ini bermakna mereka boleh didakwa atas kesalahan asal sekiranya mereka melakukan jenayah lain dalam tempoh dua tahun tersebut.

Pada 15 Februari, Cik Han menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan untuk menangani satu pertengkaran fizikal yang didakwa berlaku antara ibu mentua beliau dengan kanak-kanak tersebut.

Polis menilai bahawa terdapat kebimbangan serius terhadap keselamatan kanak-kanak tersebut, memandangkan sejarah keganasan dalam keluarga itu.

Rancangan keselamatan asal yang melibatkan ibu mentuanya sebagai “orang dewasa selamat” juga tidak boleh diteruskan lagi.

Justeru, polis memutuskan untuk mengeluarkan ketiga-tiga kanak-kanak daripada rumah tersebut.

Kanak-kanak tersebut dibawa ke hospital pada hari yang sama untuk penilaian dan penjagaan perubatan, kerana hospital adalah kemudahan yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan kanak-kanak yang memerlukan penjagaan dan perlindungan sementara.

Cik Han dan suaminya bersetuju dengan aturan penjagaan itu, dan kedua-duanya menandatangani Perjanjian Penjagaan Secara Sukarela pada 19 Februari supaya kanak-kanak tersebut kekal di KKH.

Aturan itu dibuat sementara Perkhidmatan Perlindungan (PV), yang menyiasat kes penderaan kanak-kanak, meneroka aturan penjagaan alternatif.

Cik Han menziarahi anak-anaknya di hospital di bawah pengawasan sebanyak lima kali antara 20 Februari dengan 6 Mac.

Suaminya juga diberikan akses berasingan secara diawasi.

Bagaimanapun, Cik Han kemudian memuat naik video yang dirakamnya tentang anak-anaknya semasa salah satu lawatan yang diawasi, walaupun telah diingatkan oleh MSF agar tidak berbuat demikian.

Di bawah CYPA, tiada sesiapa dibenarkan menerbitkan maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak yang menjadi subjek siasatan di bawah akta itu tanpa kelulusan yang sah.

Sebaliknya, ibu bapa dibenarkan merakam video atau mengambil gambar anak-anak untuk simpanan peribadi.

Apabila seorang pegawai perlindungan MSF mengingatkan Cik Han sekali lagi semasa lawatan hospital pada 11 Mac, beliau mula menyiarkan interaksi mereka secara langsung walaupun telah diminta berhenti.

Ini menyebabkan lawatan itu dibatalkan.

“MSF tidak pernah mengugut untuk menafikan akses Cik Han kepada anak-anaknya sekiranya beliau tidak memadam kiriman media sosial yang tidak selaras dengan dasar pemerintah,” menurut kenyataan itu.

Selain melibatkan anggota keluarga mereka yang lain sebagai “orang dewasa selamat” baru yang akan memantau keadaan kanak-kanak melalui lawatan ke rumah dan panggilan video, pihak berkuasa menyatakan bahawa MSF dan para profesional akan bekerjasama rapat dengan sekolah kanak-kanak itu serta perkhidmatan selepas sekolah untuk menjalankan lawatan ke rumah bagi memantau keselamatan mereka.

“Para profesional ini akan memaklumkan kepada MSF sekiranya terdapat sebarang kebimbangan,” menurut kenyataan agensi-agensi tersebut.

Cik Han dan suaminya telah bersetuju dengan rancangan keselamatan baru itu, dan komited untuk bekerjasama dengan agensi yang dilantik MSF bagi menangani penggunaan keganasan antara satu sama lain, yang telah menyebabkan anak-anak mereka terperangkap dalam konflik, menurut kenyataan itu.

MSF menegaskan bahawa pengasingan seorang kanak-kanak daripada keluarganya adalah langkah terakhir, dan hanya digunakan apabila terdapat bahaya segera terhadap kesejahteraan mereka.

Matlamat utama ialah menyatukan semula kanak-kanak itu dengan keluarga mereka, tambah kenyataan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg