Bagi memastikan kes penderaan kanak-kanak dapat dikenal pasti dengan lebih berkesan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menubuhkan sebuah pusat penyelarasan perkhidmatan sosial baru.
Pusat penyelarasan itu akan disokong teknologi yang akan membantu dalam usaha mengesan, memahami dan menghubungkan maklumat dengan lebih baik, terutama sekali bagi kes yang melibatkan pelbagai pihak.
Langkah tersebut merupakan antara yang diumumkan Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, Encik Desmond Lee, di Parlimen pada 5 November, susulan kes kematian kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Megan Khung.
Di samping itu, semua kematian kanak-kanak akan disemak secara bebas pada masa akan datang, tambah Encik Lee.
“Pusat ini akan membantu kami mengesan, memahami dan menghubungkan maklumat dengan lebih baik bagi kes-kes yang melibatkan pelbagai pihak, seperti perkhidmatan sosial, pendidikan, masyarakat dan sektor-sektor lain,” kata Encik Lee.
Pusat tersebut juga akan bekerja rapat dengan pihak polis.
Megan meninggal dunia selepas perutnya ditumbuk dengan kuat oleh Wong Shi Xiang, teman lelaki ibunya.
Ibu Megan, Foo Li Ping, dan pasangannya kemudian membakar mayat Megan.
Pada 3 April, Foo dijatuhi hukuman penjara 19 tahun, manakala Wong dihukum penjara 30 tahun dan 17 sebatan.
Seramai 15 Anggota Parlimen (AP) telah mengutarakan soalan mengenai kes tersebut dan cadangan panel semakan pada Oktober, termasuk menanyakan sama ada ia mencukupi untuk menutup jurang yang sistematik atau jika pembaharuan yang lebih kukuh diperlukan.
AP turut mengemukakan soalan mengenai kriteria bagi Perkhidmatan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS) membuat keputusan untuk mengeluarkan kanak-kanak daripada keluarga yang menderanya.
Mereka turut bertanya sama ada MSF, yang menyelia CPS, akan mengadakan panel semakan untuk meneliti kes kanak-kanak yang telah didera hingga mati.
“Pada masa hadapan, semua kematian kanak-kanak yang diketahui oleh perkhidmatan sosial akan disemak secara bebas, dan pengajaran (daripada kes tersebut akan) dikongsi merentas sektor.
“Kami akan berunding dengan sektor tentang cara terbaik untuk melakukan ini,” kata Encik Lee.
Langkah ini berbeza dengan langkah sebelumnya di mana MSF sekadar menjalankan semakan dua hala terhadap insiden dengan agensi perkhidmatan sosial berkaitan.
Encik Lee juga menekankan bahawa MSF telah menerima tujuh saranan yang dikemukakan oleh sebuah panel semakan yang bertujuan untuk memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak.
Panel itu membentangkan laporannya pada 23 Oktober, yang antaranya menunjukkan seorang pegawai CPS yang gagal merekod panggilan daripada prasekolah Megan yang meminta bantuan, serta pegawai polis yang tidak mematuhi prosedur.
Justeru, menjelang suku pertama 2026, MSF akan menubuhkan Panel Penilaian Keputusan Triaj bagi menentukan agensi yang terbaik untuk menguruskan kes tertentu, kata Encik Lee.
‘Triaj’ merujuk kepada proses menilai tahap keutamaan atau tindakan sesuai bagi melindungi keselamatan seorang kanak-kanak.
Ini adalah sebagai susulan cadangan panel untuk menyediakan mekanisme rayuan bagi menangani kes di mana agensi mempunyai pandangan yang berbeza tentang cara kes itu ditangani.
Panel itu juga mengesyorkan agar MSF mengkaji semula peranan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) dalam menilai kes yang mungkin menjurus ke arah penderaan kanak-kanak.
Menjelang awal 2026, prasekolah akan melaporkan kemungkinan kes penderaan kanak-kanak langsung kepada Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH).
Empat AP turut memfailkan soalan kepada Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) di sidang Parlimen mengenai proses siasatan polis dalam kes Megan.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, menjawab kesilapan dua pegawai polis yang tidak mematuhi prosedur operasi dalam kes itu merupakan satu “pelanggaran serius” yang mengakibatkan tragedi.
Sementara itu, beberapa Rang Undang-Undang telah diperkenalkan – Maklumat Kesihatan; Sektor Awam (Tadbir Urus) (Pindaan); Majlis Kebangsaan Perkhidmatan Sosial (NCSS) (Pindaan).
Akta Korporat dan Perakaunan (Pindaan) dan Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) (OSRA) juga telah diluluskan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg