Yuran prasekolah, penjagaan kanak-kanak dikurangkan demi pastikan kemampuan
Yuran prasekolah, penjagaan kanak-kanak dikurangkan demi pastikan kemampuan
Yuran penjagaan kanak-kanak sepanjang hari kini dihadkan kepada $610 di prasekolah pengendali utama (anchor operator) dan $650 di prasekolah pengendali rakan kongsi (partner operator) mulai 2026. Ini menyusul beberapa pusingan pengurangan had yuran sejak 2020.
Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, memberi jaminan bahawa pemerintah berhasrat memastikan harga perkhidmatan penjagaan kanak-kanak kekal berpatutan. Beliau berkata, had yuran tersebut adalah 15 peratus lebih rendah berbanding 2020.
“Ini akan memastikan perbelanjaan sendiri bagi penjagaan kanak-kanak sepanjang hari di prasekolah pengendali utama setanding dengan gabungan yuran penjagaan sekolah rendah dan selepas sekolah.
“Dengan ambang pendapatan Subsidi Tambahan yang disemak semula yang diumumkan oleh PM dalam ucapan Belanjawannya, banyak keluarga boleh menjangkakan membayar yuran yang lebih rendah,” kata Encik Goh semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 6 Mac.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan Belanjawannya pada 12 Februari lalu berkata bahawa pemerintah akan meningkatkan subsidi yang diuji kemampuan berdasarkan pendapatan bagi khidmat prasekolah dan penjagaan pelajar.
“Kami akan terus memastikan prasekolah dan penjagaan pelajar kekal berpatutan untuk menyokong tahun-tahun awal pembangunan kanak-kanak yang kritikal.
“Saban tahun, kami telah mengurangkan had yuran prasekolah dan meningkatkan subsidi. Hari ini, yuran penjagaan kanak-kanak bagi keluarga dwipendapatan setanding dengan yuran penjagaan pelajar sekolah rendah dan selepas sekolah,” kata Encik Wong ketika itu.
Siling pendapatan isi rumah bulanan kasar bagi Skim Bantuan Yuran Tadika (KiFAS) dan Subsidi Tambahan Penjagaan Bayi dan Anak akan dinaikkan mulai Januari 2027.
Ini bermakna had kelayakan pendapatan isi rumah bulanan bagi subsidi prasekolah akan ditingkatkan daripada $12,000 kepada $15,000 menjelang 2027.
Perubahan itu dijangka memanfaatkan lebih 60,000 keluarga.
Contohnya, isi rumah berpendapatan median yang berpendapatan $12,500, dengan dua orang anak dalam penjagaan kanak-kanak pengendali utama, akan mendapati jumlah yuran yang perlu ditanggung sendiri bagi kedua-dua anak mereka berkurangan sebanyak 35 peratus daripada $730 pada 2026 kepada $470 pada 2027.
Selain itu, skim Bantuan Yuran Penjagaan Pelajar (SCFA) juga akan dikemas kini bermula 2027, dengan had kelayakan pendapatan isi rumah bulanan bagi subsidi penjagaan pelajar dinaikkan daripada $4,500 kepada $6,500.
Sekitar 13,000 pelajar dijangka meraih manfaat daripada perubahan ini, menurut Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dalam ucapannya.
Encik Zhulkarnain turut mengumumkan bahawa MSF akan memanjangkan tempoh bantuan maksimum SCFA daripada 24 bulan kepada 36 bulan.
Sementara itu Encik Goh, dalam responsnya kepada saranan Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied) agar subsidi prasekolah mudah alih dan sokongan gaji tambahan diberikan kepada pengendali bukan disokong pemerintah, berkata:
“Subsidi mudah alih telah dibincangkan di Parlimen sebelum ini. Kami telah mengkaji perkara ini, menekankan bahawa pendekatan ini sahaja boleh membawa kepada akibat yang tidak diingini, seperti kenaikan yuran tanpa penambahbaikan dalam aksesibiliti atau mutu, atau prasekolah menjadi terlalu komersial.
“Sebaliknya, kami mengambil pendekatan yang lebih holistik. Kami menyediakan pembiayaan kepada pengendali yang dipilih dengan ketat untuk mengehadkan yuran dan mengekalkan mutu.
“Kami juga menyediakan subsidi tambahan asas dan mengikut kemampuan kepada ibu bapa bagi memastikan kemampuan, dengan keluarga berpendapatan rendah membayar kurang.”

