Pemerintah akan terus berusaha berhubung dan bekerjasama rapat dengan karyawan dan agensi perkhidmatan sosial serta prasekolah bagi memperkukuh ekosistem perlindungan kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Beliau memberikan jaminan tersebut kepada karyawan dalam bidang perkhidmatan sosial yang mungkin berdepan dengan kes penderaan kanak-kanak atau yang bertanggungjawab mengurus kes sedemikian.
Malah beliau akur mereka paling terkesan setiap kali klien mereka mengalami kecederaan atau kemudaratan.
“Saya tahu setiap kali klien mereka (karyawan perkhidmatan sosial) mengalami kemudaratan, rasa tanggungjawab yang mendalam dalam diri golongan ini menyebabkan merekalah antara yang paling terkesan antara kita semua.
“Atas sebab itu, setiap kali pegawai saya memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak atau klien telah meninggal dunia, perkara pertama yang saya tanyakan ialah sama ada kakitangan berkenaan – sama ada dari Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) atau daripada agensi perkhidmatan sosial – berada dalam keadaan baik.
“Kerja perlindungan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang mudah.
“Namun bagi karyawan kita, inilah bidang yang mereka pilih untuk diceburi,” ujar Encik Masagos.
Beliau berkata demikian menyusuli pembentangan Laporan Penemuan Dan Cadangan Panel Semakan Untuk Memperkukuhkan Ekosistem Perlindungan Kanak-Kanak pada 21 Oktober di pejabat Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Bangunan CPF Bishan.
Justeru, MSF akan meneliti bagaimana ia dapat mewujudkan sokongan berstruktur bagi para karyawan yang terlibat dalam kes perlindungan kanak-kanak.
Ini agar mereka yang menangani kes-kes tersebut mempunyai persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan disokong.
Ini berdasarkan salah satu daripada tujuh saranan yang dikemukakan dalam laporan panel semakan itu.
Encik Masagos berkongsi persekitaran kerja sedemikian membolehkan karyawan yang menawarkan perlindungan untuk membuat keputusan yang betul dan pada waktu yang sesuai.
Meskipun persekitaran sebegitu mesti dipupuk oleh majikan, beliau menambah MSF akan melihat bagaimana ia dapat menyokong agensi perkhidmatan sosial dengan fungsi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak.
Pada Mei, satu panel semakan telah ditubuhkan hasil gesaan MSF untuk menjalankan semakan bebas dan objektif ke atas pengendalian kes Megan Khung.
Megan, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, telah didera dan dimalukan selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia.
Menurut laporan sebelumnya, ibu Megan, Foo Li Ping, dan teman lelakinya, Wong Shi Xiang, telah merotan dan menampar Megan, tidak memberikannya makanan dan pakaian serta menyuruhnya tidur di balkoni unit kondominium yang disewa di Paya Lebar.
Megan juga dipaksa memakai lampin kotor di atas kepalanya, selain dipaksa makan makanan dari tong sampah dan memakan lendir ibunya.
Penderaan fizikal dan emosi itu berakhir dengan kematian Megan selepas Wong menumbuk perutnya pada 21 Februari 2020.
Pasangan itu membakar mayat Megan dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020 dan abu Megan tidak pernah ditemui.
Dalam pada itu, Encik Masagos melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap kes Megan, termasuk cara ia ditangani.
“Sebagai peneraju sistem perlindungan kanak-kanak kebangsaan, dan bagi pihak semua agensi, saya ingin menyatakan bahawa kami amat kesal dengan hasil itu dan mengakui lebih banyak perkara boleh dilakukan apabila kami mengendalikan kes tersebut,” ujarnya.
Beliau berharap masyarakat dapat mengiktiraf dan menghargai pegawai perlindungan yang telah berjaya campur tangan dalam banyak kes.
“Jika dan apabila mereka tidak berjaya, seperti dalam kes Megan, saya berharap walaupun kita ingin sistem (perlindungan kanak-kanak) menjadi lebih baik, kita semua dapat kekal memberi sokongan kepada karyawan kita,” tambah Encik Masagos.
“
“Jika dan apabila mereka tidak berjaya, seperti dalam kes Megan, saya berharap walaupun kita ingin sistem (perlindungan kanak-kanak) menjadi lebih baik, kita semua dapat kekal memberi sokongan kepada karyawan kita.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg