Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Proses perlindungan kanak-kanak di S’pura telah diperbaiki sejak 2020

Oct 23, 2025 | 4:35 PM
Megan Khung, died in 2020
Megan Khung, kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, didera dan dimalukan selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia pada 2020. - Foto fail

Pelbagai perubahan dalam protokol ekosistem perlindungan kanak-kanak telah dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta agensi perkhidmatan sosial sejak 2020, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

“Sejak 2020, MSF serta agensi perkhidmatan sosial telah melaksanakan pelbagai perubahan dalam protokol ekosistem perlindungan kanak-kanak.

“Namun begitu, kami merasakan bahawa semakan yang lebih menyeluruh, termasuk maklumat tambahan yang muncul semasa dan selepas hukuman dijatuhkan ke atas ibu Megan Khung (Foo Li Ping) dan teman lelaki ibunya (Wong Shi Xiang) pada 2025, akan dapat memperkukuh lagi ekosistem perlindungan kanak-kanak,” ujar Encik Masagos.

Beliau menyatakan demikian dalam satu sidang media pada 21 Oktober di pejabat Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) di Bangunan CPF Bishan.

Antara lain, prasekolah diwajibkan melapor sebarang kes yang disyaki atau disahkan sebagai penderaan kanak-kanak, kepada Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dalam tempoh 24 jam.

Bagi kes lebih serius yang mengancam keselamatan kanak-kanak, prasekolah mesti membuat laporan kepada Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH) dalam tempoh dua jam dan memaklumkan Ecda tentang laporan tersebut.

Perubahan tersebut merupakan antara penambahbaikan kepada proses dan protokol yang dikemukakan dalam Laporan Penemuan Dan Cadangan Panel Semakan Untuk Memperkukuhkan Ekosistem Perlindungan Kanak-Kanak pada 21 Oktober.

Bagi memperkukuhkan lagi ekosistem tersebut, MSF telah menubuhkan satu panel semakan pada Mei.

Ini selepas hukuman terhadap Foo yang juga ibu kepada Megan, kanak-kanak empat tahun yang mati pada 2020, dan teman lelaki Foo, Wong, dijatuhkan pada April.

Anggota panel itu terdiri daripada Profesor Madya Kenneth Poon selaku Pengerusi; Profesor Madya Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Corrine Ghoh; Dekan dan Profesor Madya Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Dr Vincent Ng; dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah.

Laporan itu memberi perincian bahawa sejak 2021, prasekolah diwajibkan melapor sebarang kes yang disyaki atau disahkan sebagai penderaan kanak-kanak, kepada agensi Ecda dalam tempoh 24 jam.

Kes penderaan itu perlu dilapor tanpa mengira siapa pelakunya terhadap kanak-kanak yang berdaftar di prasekolah, sama ada penderaan itu berlaku di dalam atau di luar prasekolah.

Namun bagi kes serius yang disyaki atau disahkan sebagai penderaan kanak-kanak, seperti penderaan seksual, kecederaan yang ketara, atau tanda ancaman segera terhadap keselamatan kanak-kanak, prasekolah mesti membuat laporan kepada NAVH dalam tempoh dua jam dan memaklumkan Ecda tentang laporan tersebut.

Protokol melibatkan garis panduan dan aliran kerja yang jelas mengenai jenis penderaan disyaki, yang perlu dilaporkan oleh prasekolah serta jangka masa untuk membuat laporan, tidak diwajibkan sebelum 2021.

Selain itu, prasekolah dikehendaki menggunakan Panduan Saringan Sektor Khusus (SSSG) untuk menilai semua kes penderaan kanak-kanak yang disyaki berlaku di luar prasekolah.

“Kes yang dikenal pasti sebagai kes ‘Merah’ yang melibatkan kecederaan ketara dan tanda-tanda ancaman segera terhadap keselamatan kanak-kanak, perlu dilaporkan kepada NAVH dalam tempoh dua jam.

“Jenis kes ‘Merah’ lain serta kes ‘Kuning’ masing-masing perlu dilaporkan kepada Ecda untuk mendapatkan konsultasi dalam tempoh dua dan 24 jam,” tambah laporan itu.

Apabila membuat laporan kepada Ecda, prasekolah dikehendaki mengemukakan penilaian berdasarkan SSSG, lengkap dengan gambar rajah badan, jika berkenaan, seiring laporan kejadian.

Penggunaan SSSG dirintis pada 2015 dan disediakan kepada semua agensi yang bekerja dengan kanak-kanak, namun hanya dijadikan mandatori sejak 2021.

Di samping itu, MSF dan Ecda juga telah mewujudkan protokol baru bagi prasekolah untuk memaklumkan kepada Ecda atau Perkhidmatan Perlindungan (PSV) jika terdapat kebimbangan apabila seorang kanak-kanak tidak hadir tanpa sebab yang sah atau ditarik keluar dari prasekolah, sama ada terdapat sebab yang sah atau tidak.

“Dalam kes sedemikian, PSV akan melakukan lawatan di lokasi untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak tersebut,” tambah laporan itu.

Sebelum 2021, prasekolah tidak diperlukan untuk memaklumkan PSV atau Ecda tentang ketidakhadiran pelajar mereka.

Sejak Mei 2025, Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak (CPS), Perkhidmatan Perlindungan Dewasa (APS) dan Kanak-kanak dalam Jagaan (CIC) telah digabungkan untuk membentuk PSV.

PSV merupakan perkhidmatan berkanun di bawah MSF yang mengetuai usaha untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, remaja, keluarga, dan golongan dewasa yang terdedah yang mengalami keganasan, penderaan atau pengabaian, di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (CYPA), Akta Dewasa yang Terdedah (Vulnerable Adults Act) dan Piagam Wanita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg