MSF, Peers kerjasama galak gelandangan dapatkan sokongan tempat perlindungan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MSF, Peers kerjasama galak gelandangan dapatkan sokongan tempat perlindungan

Feb 25, 2026 | 5:22 PM

MSF, Peers kerjasama galak gelandangan dapatkan sokongan tempat perlindungan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
msf, peers, kerjasama, gelandangan
Jumlah gelandangan di Singapura telah turun sebanyak 6.4 peratus daripada 530 individu pada 2022 kepada 496 individu pada 2025. - Foto fail ST

Kakitangan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan sukarelawan daripada rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Peers) bekerjasama dengan golongan gelandangan untuk menangani keperluan asas mereka dengan harapan lebih ramai akan bersedia mempertimbangkan sokongan tempat perlindungan.

Ini kerana sekitar tiga suku gelandangan berkata mereka enggan menetap di tempat perlindungan disebabkan peraturan yang ditetapkan di situ serta isu lain seperti kehilangan privasi.

Demikian kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua di Parlimen pada 25 Februari.

Encik Chua menjawab soalan yang diajukan Encik Gabriel Lam (GRC Sembawang) tentang sama ada MSF risau 75 peratus daripada gelandangan yang ditinjau dalam tinjauan 2025 melaporkan tidak bersedia untuk tinggal di tempat perlindungan.

Encik Chua berkata masalah gelandangan merupakan isu rumit. Ramai daripada golongan tersebut mempunyai rumah namun memilih untuk tidur di ruang awam disebabkan ketegangan dengan anggota keluarga atau penghuni bersama lain.

“Kakitangan MSF dan sukarelawan daripada Peers bekerjasama dengan golongan gelandangan untuk menangani keperluan asas mereka, namun sebelum itu kami akan mewujudkan proses kepercayaan dan pembinaan hubungan.

“Lama-kelamaan, kami berharap lebih ramai gelandangan akan bersedia untuk mempertimbangkan sokongan tempat perlindungan, walaupun perlu ditekankan bahawa laluan untuk setiap gelandangan mungkin berbeza,” ujar Encik Chua.

Beliau menambah bahawa untuk menangani isu kekurangan privasi dan ruang peribadi di tempat perlindungan, MSF telah bekerjasama dengan pengendali tempat perlindungan untuk mereka semula unit di situ.

Ini termasuk memastikan terdapat hadangan antara katil serta memastikan terdapat rak dan almari pakaian.

Encik Lam, dalam soalan susulannya bertanya sama ada MSF akan menerbitkan kadar penggunaan tempat perlindungan di sini.

Encik Chua berkata data tersebut sudah pun diterbitkan – kadar penggunaan tempat perlindungan sehingga September 2025 ialah dua pertiga atau 66 peratus daripada 730 ruang yang tersedia.

Awal 2026 dilaporkan bahawa MSF akan melancarkan dana berjumlah $450,000 untuk mengukuhkan sokongan bagi golongan gelandangan.

Dana Inisiatif Kerjasama Tangani Isu Gelandangan (Path) itu akan menyediakan geran bagi menyokong pertubuhan mencuba huraian inovatif yang menangani punca asas masalah gelandangan dan membantu golongan tersebut berusaha ke arah mempunyai perumahan yang lebih tetap dan stabil.

Huraian inovatif itu termasuk membantu golongan gelandangan dengan sokongan perubatan, psikologi dan sosial.

Menurut laporan MSF yang dikeluarkan pada 9 Januari, jumlah gelandangan di Singapura telah turun sebanyak 6.4 peratus daripada 530 individu pada 2022 kepada 496 individu pada 2025.

Sebanyak 77 peratus responden menyatakan bahawa mereka hidup gelandangan lebih dari setahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg