Rancangan menguatkuasakan baki pindaan kepada Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (CYPA) pada 1 Januari 2025, yang diumumkan sebelum ini pada November, akan ditangguhkan ke satu tarikh kemudian pada 2025, menurut Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Ini setelah MSF dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menilai bahawa peruntukan perundangan yang mengawal pemindahan kes dari Mahkamah Belia tidak mencapai sepenuhnya dasar yang dimaksudkan.
Dalam satu kenyataan pada 27 Disember, MSF berkata pindaan itu, yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Januari 2025, tidak memberikan fleksibiliti mencukupi kepada Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada pesalah belia lebih tua, yang mana pencegahan lebih kuat diperlukan.
“Di bawah pindaan CYPA 2019, bagi kes-kes yang dihantar ke Mahkamah Negara atau Mahkamah Tinggi, kuasa mahkamah untuk mengenakan hukuman lebih tegas ke atas pesalah belia lebih tua yang melakukan kesalahan serius atau kesalahan berulang adalah lebih terhad daripada diinginkan.
“Oleh itu, pindaan perundangan selanjutnya diperlukan untuk memberi kesan sepenuhnya kepada pindaan CYPA 2019 yang diluluskan oleh Parlimen dan memastikan Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi boleh terus menjatuhkan hukuman lebih tegas dalam kes lebih serius,” jelas MSF.
Terdahulu pada November, MSF mengumumkan bahawa ia merancang untuk melaksanakan baki pindaan CYPA pada 1 Januari 2025.
Ini termasuk menaikkan had umur pesalah belia daripada bawah 16 tahun kepada bawah 18 tahun, dan menaikkan had umur maksimum untuk tahanan kepada 21 tahun.
Kes pesalah belia berumur 16 hingga ke bawah 18 tahun juga akan dibicarakan di Mahkamah Negara atau Mahkamah Tinggi, dan bukannya Mahkamah Belia, jika remaja itu didakwa melakukan kesalahan serius atau pesalah berulang.
Pelaksanaan baki pindaan CYPA pada 1 Januari 2025 juga akan merangkumi menghantar “pesalah belia yang tidak dikawal” untuk Latihan Pemulihan pada awalnya, walaupun dia tidak dikenakan Perintah Pusat Pemulihan Juvana sebelum ini.
Bagaimanapun, dalam maklumat terkini kepada media pada 27 Disember, MSF menyatakan ia memerlukan lebih banyak masa untuk membuat pindaan perundangan selanjutnya kepada CYPA dan Kanun Prosedur Jenayah (CPC), berikutan perundingan lanjut dengan MHA dan Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Diambil bersama CPC terkini, pindaan CYPA 2019 bermakna Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi tidak akan mempunyai fleksibiliti yang mencukupi untuk menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pesalah belia lebih tua, yang mana pencegahan lebih kuat diperlukan.
“Sebagai contoh, pesalah belia perlu dinilai sebagai ‘mengganggu pemulihan orang lain’ sebelum Mahkamah boleh mengenakan Perintah Latihan Pemulihan dan hukuman penjara.
“Pindaan perundangan CYPA dan CPC oleh itu diperlukan untuk mengelak daripada mengenakan had sedemikian ke atas Mahkamah,” kata MSF.
Ia menambah tiada perubahan kepada rancangan yang diumumkan sebelum ini untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Belia mengubah Perintah Pusat Pemulihan Juvana bagi belia berumur di bawah 16 tahun.
Ini akan terus berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Pindaan itu membolehkan Perintah Pusat Pemulihan Juvana dipendekkan, dilanjutkan atau dilepaskan, dan akan memberikan lebih fleksibiliti untuk meningkatkan pemulihan pesalah belia hari ini.
“
“Di bawah pindaan CYPA 2019, bagi kes-kes yang dihantar ke Mahkamah Negara atau Mahkamah Tinggi, kuasa mahkamah untuk mengenakan hukuman lebih tegas ke atas pesalah belia lebih tua yang melakukan kesalahan serius atau kesalahan berulang adalah lebih terhad daripada diinginkan. Oleh itu, pindaan perundangan selanjutnya diperlukan untuk memberi kesan sepenuhnya kepada pindaan CYPA 2019 yang diluluskan oleh Parlimen dan memastikan Mahkamah Negara dan Mahkamah Tinggi boleh terus menjatuhkan hukuman lebih tegas dalam kes lebih serius.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg