Kanak-kanak berusia empat tahun, Megan Khung, meninggal dunia pada Februari 2020 setelah mengalami penderaan berterusan selama lebih setahun.

Kes tragik kanak-kanak itu mungkin dapat dikesan sekitar lima bulan lebih awal sekiranya keupayaan perlindungan baharu untuk kanak-kanak oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) sudah wujud ketika itu.

MSF telah mengumumkan unit Amaran Pemahaman Situasi bagi Penglibatan dan Tindakan Barisan Hadapan (SAFER) yang baharu pada 22 September.

Unit itu merupakan pusat penyelarasan perkhidmatan baharu yang memberikan pekerja sosial akses lebih lancar kepada maklumat penting daripada pelbagai agensi pemerintah.

Menurut MSF, unit itu meneliti maklumat relevan mengenai keselamatan kanak-kanak, lalu mengetengahkan kes perlindungan kanak-kanak yang memerlukan tindakan lanjut pada peringkat lebih awal.

Menerusi unit baharu ini, kes Megan sepatutnya dapat dikesan untuk semakan semula pada dua detik penting, iaitu pada 17 Januari 2020 dan 17 September 2019.

Dalam laporan sebelum ini, ibu Megan, Foo Li Ping, dan teman lelakinya, Wong Shi Xiang, telah mendera Megan secara berterusan selama lebih setahun.

Antara bentuk penderaan yang dilakukan termasuk merotan dan menampar Megan, menghalang hak makanan serta pakaian Megan, selain memaksa kanak-kanak itu tidur di balkoni unit kondominium yang disewa di Paya Lebar.

Megan juga dipaksa memakai lampin kotor di atas kepalanya, selain dipaksa makan makanan dari tong sampah dan memakan lendir ibunya.

Penderaan fizikal dan emosi itu berakhir dengan kematian Megan selepas Wong menumbuk perutnya pada 21 Februari 2020.

Kemudian, pasangan itu membakar mayat Megan dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020 dan abu Megan tidak pernah ditemui.

Ibu Megan, Foo Li Ping; pasangannya, Wong Shi Xiang dan rakan, Nouvelle Chua Ruoshi, membakar mayat Megan dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020 di Paya Ubi Industrial Park., namun, abu Megan tidak pernah ditemui.
Ibu Megan, Foo Li Ping; pasangannya, Wong Shi Xiang dan rakan, Nouvelle Chua Ruoshi, membakar mayat Megan dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020 di Paya Ubi Industrial Park., namun, abu Megan tidak pernah ditemui. - Foto ZAOBAO

Pada Oktober 2025, satu panel semakan bebas menyemak semula cara pengurusan kes Megan, lalu mengemukakan beberapa kekurangan agensi-agensi serta senarai cadangan demi mengukuhkan ekosistem perlindungan kanak-kanak.

Antara dapatan utama semakan itu adalah terdapat kelemahan komunikasi antara agensi menyebabkan beberapa peluang menyelamatkan Megan dalam tempoh setahun terlepas, sekali gus gagal menghalang tragedi itu.

Sebagai contoh, dapatan panel itu menunjukkan beberapa kelemahan dalam cara pengurusan agensi-agensi dalam kes tersebut termasuk pegawai khidmat perlindungan kanak-kanak (CPS) yang gagal merakam panggilan daripada tadika Megan untuk meminta bantuan serta pegawai polis yang tidak mengikut prosedur.

Terdapat juga salah tanggapan umum bahawa laporan polis mengenai kanak-kanak yang hilang perlu dibuat oleh anggota keluarga Megan.

Walaupun kes Megan dirujuk kepada enam agensi berbeza, komunikasi yang kurang jelas seperti itu menyebabkan beberapa kali kes penderaan Megan tidak dapat dikesan dari peringkat awal lagi.

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), MSF menjelaskan bahawa SAFER melengkapi protokol sedia ada dengan menyelaraskan maklumat relevan yang sudah diketahui oleh agensi-agensi pemerintah.

“Langkah ini membantu karyawan perkhidmatan sosial mengesan potensi isu keselamatan kanak-kanak yang mungkin tidak ketara sekiranya maklumat tersebut dinilai secara berasingan,” tambah MSF.

SAFER meneliti maklumat relevan daripada agensi seperti Pasukan Polis Singapura (SPF), Biro Narkotik Pusat (CNB), Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dan MSF, lalu memaklumkan pegawai perlindungan kanak-kanak untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan.

SAFER turut dilengkapi oleh pelbagai langkah lain yang memperkasa ekosistem perlindungan kanak-kanak di Singapura, menyusuli usulan oleh panel semakan pada Oktober 2025.

Berikut adalah bagaimana unit SAFER dapat mengesan kes Megan pada peringkat lebih awal, supaya tindakan lanjut dapat diambil:

Bagaimana unit SAFER dapat mengesan kes Megan pada peringkat lebih awal, supaya tindakan lanjut dapat diambil
Bagaimana unit SAFER dapat mengesan kes Megan pada peringkat lebih awal, supaya tindakan lanjut dapat diambil - Grafik oleh MOHD SAMAD AFANDIE

Amaran pertama - 19 Mac hingga 9 April 2019

  1. Pihak prasekolah iaitu Healthy Start Child Development Centre (HSCDC), yang Megan hadiri mengenal pasti kecederaan di seluruh tubuh Megan.
  2. Beyond Social Services (Beyond), yang menjalankan operasi di pusat itu, memberitahu pekerja kes mengenai kecederaan Megan.
  3. Ibu dan nenek Megan didekati untuk menyemak keselamatan Megan. Ibu Megan, Foo, berkata kecederaan tersebut akibat kemalangan semasa berkayuh basikal dan setelah dihukum.
  4. Pekerja kes menilai kejadian tersebut sebagai kes hukuman berlebihan dan bukan penderaan berterusan. Megan diletakkan di bawah Pelan Penjagaan Sementara, lalu dipindahkan ke rumah nenek.
  5. Beyond berkongsi laporan kejadian kepada Ecda pada awal April. Menurut MSF, laporan itu tidak menampilkan masalah dan Megan terus menghadiri prasekolah.
  6. Ecda tidak mendapati terdapat penderaan terhadap Megan.

Peranan SAFER: Mengikut proses terkini, prasekolah itu sepatutnya membuat laporan kepada Talian Bantuan Antikeganasan dan Gangguan Seksual Nasional (NAVH).
Unit SAFER akan dimaklumkan tentang laporan tersebut.

Dari Mac hingga September 2019, Beyond berkata tiada tanda kecederaan baharu terhadap Megan dan dia terus menghadiri prasekolah di bawah jagaan neneknya.

Amaran kedua - 17 September 2019

  1. 17 September 2019: Megan tidak lagi menghadiri prasekolah dan kemudian dikeluarkan.

Peranan SAFER: Unit SAFER akan dimaklumkan mengenai rekod kehadiran Megan yang lemah serta dikeluarkan dari sekolah.

Berdasarkan perkembangan tersebut, SAFER akan menandakan kes Megan untuk disemak semula.

20 hingga 27 September 2019

  1. 25 September: Beyond menghubungi beberapa agensi untuk berkongsi kebimbangan mengenai keadaan Megan.
  2. Beyond dinasihati oleh CPS agar terus bekerjasama dengan nenek Megan untuk menilai keadaan Megan secara bersemuka.

Kini, Beyond sepatutnya menghubungi NAVH. Berdasarkan amaran daripada SAFER serta sejarah kes Megan, PSV akan triaj semula kes tersebut untuk memutuskan tindakan selanjutnya, jelas MSF.

Oktober hingga Januari 2019

  1. Beyond cuba menghubungi Ecda untuk mendapat tahu sama ada Megan menghadiri sekolah lain, namun tiada rekod demikian.
  2. Beyond menghubungi SPF untuk mendapatkan nasihat. Salah seorang pergawai menasihati agar membuat laporan polis.
  3. Nenek Megan enggan membuat laporan polis.

Amaran ketiga - 17 Januari 2020

  1. Januari 2020: Nenek Megan memberitahu BSS beliau gagal menghubungi Megan dan ibunya, Foo, lalu membuat laporan polis.
  2. Pada masa itu, Megan sedang didera secara berterusan oleh Foo dan Wong.
  3. 17 Januari: Nenek Megan ditemani oleh Beyond untuk membuat laporan polis.
  4. Pegawai siastan (IO) menilai kes tersebut menampilkan risiko keselamatan rendah. IO memberitahu Penyelia (OC) beliau akan cuba mencari Foo, namun kes itu tidak diikuti semula setelah Foo dan Megan gagal ditemui selama dua minggu.

Menurut dapatan panel semakan, kedua-dua bekas pegawai SPF tersebut tidak menjalankan tugas dengan teliti.

Mengikuti proses baharu, unit SAFER akan dimaklumkan mengenai laporan polis yang dibuat oleh nenek Megan, lantas menandakan kes Megan kepada Pengurusan Kes Perlindungan Kanak-Kanak (CPCM) atau Perkhidmatan Perlindungan (PSV) untuk semakan lanjut.

“Langkah ini membantu karyawan perkhidmatan sosial mengesan potensi isu keselamatan kanak-kanak yang mungkin tidak ketara sekiranya maklumat tersebut dinilai secara berasingan.”
Kenyataan MSF.