Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia: Hilang penglihatan bukan halangan tamat separuh maraton

Jul 29, 2025 | 8:04 PM
Encik Muhammad Adry Fazmi (kiri) bersama Encik Ammar Naim (tengah) dan tunang Encik Ammar, Cik Aida Shafit (kanan) bergambar sama selepas tamat separuh maraton sejauh 21 kilometer.
Encik Muhammad Adry Fazmi (kiri) bersama Encik Ammar Naim (tengah) dan tunang Encik Ammar, Cik Aida Shafit (kanan) bergambar sama selepas tamat separuh maraton sejauh 21 kilometer. - Foto ihsan AIDA SHAFIT

Satu kemalangan jalan raya yang membabitkan Encik Muhammad Adry Fazmi pada tahun 2024 telah meragut penglihatannya dalam sekelip mata.

Ketika itu usianya baru sahaja mencecah 26 tahun.

Padahal sebelum kemalangan, beliau seorang yang gemar mencuba sesuatu yang mencabar seperti memandu jarak jauh pada setiap hujung minggu.

“Sebelum kemalangan itu, hidup saya membahagiakan, melakukan apa yang saya minati seperti memandu kereta saya ke destinasi yang jauh bersama tunang saya.

“Namun itu semua berubah apabila kemalangan itu berlaku,” katanya tanpa mengulas lanjut tentang kemalangan tersebut kepada Berita Harian menerusi WhatsApp.

Namun itu tidak menghalang Encik Muhammad Adry, seorang warga Malaysia yang bekerja sebagai perancang projek untuk meneruskan kehidupannya seperti dahulu.

Setahun lalu, beliau mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang larian jarak jauh selepas rakan baiknya sejak berusia 13 tahun lalu, Encik Ammar Naim, juga 27 tahun dan seorang warga Malaysia berkongsi tentang hobi berlari dalam maraton.

Perkongsian itulah mencetuskan minat Encik Muhammad Adry untuk menyertai maraton dan berlari bersama rakannya itu.

Atas cadangan Encik Muhammad Adry, mereka berdua mula berlatih untuk melari maraton jarak pendek, 10 kilometer, Twincity Maraton 2025 (Friendship Run), di Putrajaya, Malaysia pada Januari 2025.

Sebagai persiapan, Encik Muhammad Adry memegang seutas tali yang disambung kepada tangan Encik Ammar semasa latihan.

Selama sekitar enam bulan mereka berlatih bersama dengan setiap latihan mengambil masa sehingga tiga jam dengan jarak larian bertambah secara progresif.

Latihan tersebut termasuk menyertai juga larian 10 kilometer pada Januari lalu.

Latihan yang dilalui tidak semudah yang disangka.

Encik Muhammad Adry berdepan dengan cabaran, dengan antaranya beliau terjatuh semasa berlatih sehingga beliau cedera di bahagian lututnya.

Kecederaan yang dialami ternyata tidak mematahkan semangat kental Encik Muhammad Adry.

Beliau kemudian mendaftarkan diri dalam satu acara separuh maraton di Putrajaya, Malaysia yang berlangsung pada 13 Julai lalu.

Menceritakan tentang pengalaman berlari dalam larian separuh maraton selepas hilang penglihatan, Encik Muhammad Adry berkata lututnya berasa sakit pada jarak 15 kilometer, namun atas sokongan Encik Ammar beliau berjaya menamatkan lariannya itu dalam tempoh tiga jam dan 59 minit.

“Syukur alhamdullilah saya dapat tamatkan larian ini. Saya tidak boleh melakukan ini semua tanpa bantuan Ammar, dan kededua tunang kami,” tambah Encik Muhammad Adry.

Encik Muhammad Adry Fazmi (belakang, kiri) bersama Encik Ammar Naim bergambar selepas menamatkan larian 10 kilometer mereka di Kuala Lumpur sebagai latihan sebelum menyertai separuh maraton pada 13 Julai. Bersama mereka ialah tunang Encik Muhammad Adry (depan, kiri), Cik Alyaa Najiha dan tunang Encik Ammar, Cik Aida Shafit.
Encik Muhammad Adry Fazmi (belakang, kiri) bersama Encik Ammar Naim bergambar selepas menamatkan larian 10 kilometer mereka di Kuala Lumpur sebagai latihan sebelum menyertai separuh maraton pada 13 Julai. Bersama mereka ialah tunang Encik Muhammad Adry (depan, kiri), Cik Alyaa Najiha dan tunang Encik Ammar, Cik Aida Shafit. - Foto ihsan AIDA SHAFIT
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg