Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mualaf seronok rai Tahun Baru Cina dalam keluarga berbilang kaum

Jan 28, 2025 | 5:38 PM
Encik Anish Edward Paraam (dua dari kanan), yang beragama Islam, rasa bertuah dapat menikmati keharmonian perayaan pelbagai kaum di Singapura termasuk Tahun Baru Cina yang disambut ibunya, Cik Choo Yoke May (kanan). Bersamanya ialah bapanya, Encik Sreerangam Paramanantham, dan isterinya, Cik Siti Rasyidah Mohamed Shariff serta anak mereka, Aisha Anish Paraam.
Encik Anish Edward Paraam (dua dari kanan), yang beragama Islam, rasa bertuah dapat menikmati keharmonian perayaan pelbagai kaum di Singapura termasuk Tahun Baru Cina yang disambut ibunya, Cik Choo Yoke May (kanan). Bersamanya ialah bapanya, Encik Sreerangam Paramanantham, dan isterinya, Cik Siti Rasyidah Mohamed Shariff serta anak mereka, Aisha Anish Paraam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dibesarkan dalam keluarga berbilang kaum dan agama, Encik Anish Edward Paraam berpeluang menikmati aneka perayaan di Singapura termasuk Tahun Baru Cina.

Jurulatih penurunan berat badan bagi lelaki Muslim, yang memeluk agama Islam pada 2013, itu rasa bertuah sebab dapat menyelami pelbagai kebudayaan dalam masyarakat majmuk penuh harmoni di negara ini.

Dibesarkan ayah berketurunan India dan beragama Hindu serta ibu berbangsa Cina dan beragama Kristian, Encik Anish, 35 tahun, menghargai kekayaan budaya yang diwarisi.

Ketika dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom, bapa seorang anak perempuan berusia dua tahun itu, berkongsi:

“Membesar dalam sebuah keluarga berbilang bangsa dan agama, memang sangat unik dan seronok. Setiap tahun, saya dapat meraikan Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali dan juga Krismas.”

Memandangkan ibunya, Cik Choo Yoke May, 67 tahun, seorang suri rumah, dibesarkan dalam keluarga 13 beradik, suasana perayaan terasa sangat ceria dan meriah.

“Perkara yang saya selalu nanti-nantikan sewaktu kecil ketika Tahun Baru Cina adalah mengumpul hongbao, selain meluangkan masa bersama keluarga dan sekitar 40 sepupu.

“Suasana perayaan Tahun Baru Cina tentunya meriah dan heboh kerana yang ‘kaki nyanyi’ akan sibuk berkaraoke apabila sudah berkumpul beramai-ramai.

“Saya juga tidak akan lepaskan peluang menikmati hidangan makanan yang disediakan mendiang nenek saya,” ceritanya lagi.

Selepas memeluk agama Islam pada 2013 dan mendirikan rumah tangga bersama isterinya, Cik Siti Rasyidah Mohamed Shariff, 30 tahun, pada 2021, Tahun Baru Cina tetap diraikan dan dimanfaatkan untuk masa berharga dengan keluarga.

Malah, kehadiran anak perempuan mereka, Aisha Anish Paraam, menambah lagi makna perayaan tersebut.

Menyentuh tentang perbezaan perayaan Tahun Baru Cina selepas menjadi mualaf, Encik Anish meluahkan rasa syukur atas keprihatinan kedua ibu bapanya dalam memastikan makanan halal tersedia sewaktu perayaan disambut.

Di samping itu, ayahnya, Encik Sreerangam Paramanantham, 70 tahun, juga menekankan kepentingan menghormati kepercayaan masing-masing dan hidup berdamai dalam masyarakat berbilang budaya serta agama.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan menyokong saya dalam apa jua keadaan. Tahun Baru Cina kali ini masih lagi meriah seperti perayaan sebelum ini. 

“Keluarga saya sentiasa peka ada makanan halal untuk saya dan juga isteri,” jelas Encik Anish.

Cik Choo pula seronok apabila mereka sekeluarga bergilir-gilir menjamu tetamu di rumah masing-masing semasa perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya, Deepavali mahupun Krismas.

“Kami tidak keberatan untuk mengambil giliran menjadi tuan rumah semasa empat perayaan berkenaan berlaku. Bahkan, saya rasa hubungan kami anak-beranak bertambah kukuh dari tahun ke tahun,” ujar Cik Choo.

Cik Rasyidah, pengurus dalam sektor perkhidmatan sosial, pula menambah:

“Saya melihat betapa seronoknya anak kami, Aisha, sewaktu melihat aneka perayaan disambut... ini juga menjadi ruang bagi kami sekeluarga berkumpul dan mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg