Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muda lagi dah pakai tatu

Kit tatu DIY mudah dibeli di wadah dalam talian
Feb 25, 2025 | 2:51 PM
Razali tidak sangka tatu yang disangkanya hanya sementara, sebenarnya kekal dan perlu rawatan untuk dibuang.
Razali tidak sangka tatu yang disangkanya hanya sementara, sebenarnya kekal dan perlu rawatan untuk dibuang. - Foto BH oleh KHALID BABA

Walaupun hanya berusia 14 tahun, Razali (bukan nama sebenar) telah memiliki tatu di tangannya.

Tatunya kecil – berbentuk muka tersenyum (smiley face), yang dilukis kawannya sendiri dalam lima minit menggunakan peniti dan dakwat.

Razali merupakan antara sebilangan remaja berumur bawah 18 tahun, yang memakai tatu, ada yang dilukis sendiri mengggunakan mesin atau peralatan ‘DIY’ yang dibeli dalam talian.

Menjawab pertanyaan Berita Minggu (BM), jurucakap Kementerian Pendidikan (MOE) berkata sekolah mempunyai peraturan jelas melarang pelajar memiliki tatu dan pelajar akan diminta untuk menutup atau menghilangkan tatu mereka.

“Sepanjang tiga tahun lalu, kurang 10 pelajar setiap tahun digantung sekolah kerana memiliki tatu dan tidak mematuhi nasihat sekolah untuk menutup atau membuang tatu.

“Sekolah melibatkan pelajar dan ibu bapa mengenai peraturan dan jangkaan sekolah, termasuk tidak mempunyai tatu di mana-mana bahagian badan. Dalam menguruskan pelajar dengan tatu, sekolah mengambil pendekatan pendidikan, memberi bimbingan dan kaunseling kepada pelajar,” kata MOE.

Pada 2019, Pusat Kulit Nasional (NSC), telah melancarkan program Dana Kesihatan Pembuangan Tatu untuk Remaja Berisiko.

Menurut NSC, program tersebut telah membantu 92 benefisiari, dan 76 daripadanya berusia bawah 18 tahun, sekitar 80 peratus.

Antara 76 benefisiari itu, seramai 42 adalah Melayu, membentuk sekitar 55 peratus daripada perangkaan tersebut. Baki 29 berbangsa Cina dan lima berbangsa India.

“Sejak kami melancarkan program ini, kami telah menyaksikan bilangan stabil remaja yang datang memohon untuk membuang tatu. Remaja tertarik kepada tatu sebagai cara mengekspresikan diri atau sebagai mekanisme menangani perasaan negatif atau penyesuaian diri tidak sihat, ” kata NSC kepada BM.

Undang-undang di Singapura tidak melarang tatu bagi remaja bawah 18 tahun. Namun dengan kebenaran dan persetujuan ibu bapa, mereka boleh mendapatkan tatu di kedai tatu.

Menurut studio tatu Yugto, mereka melihat peningkatan daripada lima kepada 10 klien bawah 18 tahun yang membuat tatu di studio mereka pada 2023 hingga 2024.

Pemilik kedai tatu Stay Sharp Tattoo Co, Encik Rosman Rasiti, berkata jika kliennya berusia bawah 18 tahun, mereka harus menandatangani borang perlindungan dan mereka harus ditemani ibu atau bapa.

Pada 2024, kedai tatunya telah menerima dua klien bawah 18 tahun bersama ibu bapanya untuk mendapatkan tatu.

Dr Khairul Abdul Rahman, doktor klinik perubatan umum dari Pristine Medical Clinic di Jurong West, berkata pesakit paling muda beliau pernah merawat untuk menghilangkan tatu ialah murid darjah 6, berusia 12 tahun.

“Kebanyakan yang lebih muda ini, mereka menggunakan tatu atau mesin DIY, yang mencucuk dakwat pada kulit mereka seperti ‘Chinese ink’ (gabungan jelaga dan gam haiwan),” jelas Dr Khairul.

Beliau menjelaskan risiko menggunakan kit tatu DIY: “Jika mereka menggunakan jarum kotor atau bukan steril misalnya, seseorang itu berrisiko menjangkiti penyakit seperti hepatitis B dan sebagainya.”

Kliniknya bekerjasama rapat dengan program Mudik Ke Hulu, satu inisiatif bertujuan membantu masyarakat Singapura membuang tatu dengan selamat dan bersubsidi, anjuran Masjid Tentera Di Raja.

Dr Khairul menjelaskan tatu sekecil 1 sentimeter bleh mengambil hingga lapan sesi laser untuk menghilangkan tatu tersebut.

Beliau juga menambah, 80 peratus pesakit yang membuang tatu di kliniknya merupakan golongan remaja yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an tahun.

“Seringkali mereka telah membuat tatu pada usia lebih muda dan kemudian menyesali keputusan tersebut,” tambah Dr Khairul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg