Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Dalam kehidupan, ada yang tersasar, namun masih ada jalan untuk kembali.
Bagi mereka yang bertatu dan ingin memulakan lembaran baru, Mudik Ke Hulu (MKH) bukan sekadar program membuang tatu, bahkan perjalanan ke arah pembaikan diri.
Ditubuhkan pada 2006 oleh Masjid Tentera Diraja di Clementi dengan sokongan klinik perubatan umum (GP), Pristine Medical Clinic, dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), inisiatif ini membantu individu menghilangkan tanda-tanda masa silam sambil memperkukuhkan pertumbuhan rohani dan peribadi mereka.
Sejak program itu dilancarkan, hampir 900 peserta telah menyertainya, kata Ketua MKH dan anggota Lembaga Pengurusan Masjid Tentera Diraja, Encik Muhammad Farhan Mohd Hassan, kepada Berita Minggu (BM).
“Kami mahu membantu individu membina semula kehidupan mereka dengan keimanan dan keyakinan yang diperbaharui,” ujarnya.
Tidak seperti perkhidmatan komersial yang hanya menumpukan pada aspek fizikal, MKH menekankan perubahan holistik melalui tiga teras utama: bimbingan agama, pembangunan sahsiah dan khidmat masyarakat.
Para peserta menerima rawatan laser pada harga subsidi sambil menyertai program yang memperkukuh keyakinan diri serta pembangunan rohani.
Program tersebut merangkumi 10 sesi kelas agama sebelum peserta dapat menjalani rawatan laser menghilangkan tatu, yang boleh mengambil hingga 15 sesi, dengan jarak dua bulan setiap sesi.
Peserta termuda berusia 12 tahun, manakala yang tertua berusia 53 tahun, dengan kebanyakan mereka berumur di bawah 35 tahun.
Disebabkan permintaan yang tinggi, pemilihan dibuat berdasarkan penilaian komitmen.
BM difahamkan senarai peserta yang ingin menyertai program ini ramai dan mencecah ratusan.
Disebabkan keterbatasan dana serta sumber tenaga manusia, program ini hanya dapat dianjurkan dua kali setahun dengan penyertaan dihadkan kepada 15 peserta setiap sesi.
“Salah satu cabaran terbesar ialah memastikan peserta kekal komited,” kata Encik Farhan.
“Ada yang menarik diri di pertengahan program kerana kurang memahami struktur program atau bimbang dengan proses yang panjang.”
Antara lain, Encik Farhan juga mengongsi pembiayaan juga menjadi cabaran.
“Pada masa ini, dana wakaf Muis menanggung 50 peratus kos rawatan. Tetapi dengan permintaan yang semakin meningkat, kemampanan program menjadi isu utama.
“Walaupun pasukan ini belum mencari dana luar, kerjasama pada masa hadapan mungkin dapat membantu memperluaskan program ini,” ujar Encik Farhan.
Persepsi masyarakat kini semakin berubah. Dulu, tatu dikaitkan dengan pemberontakan. Kini ia lebih kepada pilihan peribadi.
“Lama-kelamaan, masyarakat semakin memahami. Kini, terdapat kurang stigma terhadap mereka yang mahu membuang tatu,” kata Encik Farhan.
Bagi pelajar politeknik, Cik Aleeya (bukan nama sebenar), 22 tahun, mengikuti trend memiliki tatu dalam kalangan rakan-rakannya kelihatan menarik.
Kawannya telah memperoleh kit tatu kendali kendiri (DIY) yang dibelinya dalam talian, kemudian mencucuk dan mendakwat tujuh tatu kecil untuk Cik Aleeya, termasuk di jari, tangan, telinga dan buku lali.
“Memiliki tatu merupakan perkara biasa dalam kalangan kawan-kawan.
“Mungkin kerana peralatannya sangat mudah didapati,” kata Cik Aleeya, yang telah mendapatkan tatu ketika berusia 18 tahun.
Beliau telah memeluk Islam pada 2024 dan berhasrat untuk menghilangkan tatunya.
Cik Aleeya telah dirujuk ke program MKH oleh gurunya di Darul Arqam dan beliau menyertai program itu pada September 2024.
Sejauh ini, beliau telah menjalani dua sesi laser. Dengan lapan sesi lagi yang perlu dilalui, beliau bertekad, menyedari bahawa kesakitannya hanya sementara.
Aspek kewangan juga menjadi kebimbangan pada mulanya.
“Dengan subsidi MKH dan bantuan tambahan daripada Masjid Tentera Diraja, kos yang perlu saya tanggung hanya $822 daripada jumlah asal $1,644,” kata Cik Aleeya, yang kemudian menambah bahawa sokongan itu sangat membantu, terutamanya bagi pelajar politeknik sepertinya.
Program MKH membantu peserta melihat tatu bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu langkah dalam proses transformasi diri.
“Masyarakat juga semakin menerima idea bahawa setiap individu berhak untuk memperbaiki diri tanpa takut terhadap stigma.
“Kami berharap perubahan ini dapat terus berkembang, dengan lebih ramai anak muda yang berani untuk membuat keputusan yang positif untuk masa depan mereka,” kata Encik Farhan.
Selain Cik Aleeya, Encik Jojo Sanchez Arriesgado, 37 tahun, juga menyertai program MKH untuk membuang tatu demi anaknya yang kini berusia enam bulan.
Sebagai seorang mualaf, beliau ingin berusaha menjadi Muslim yang lebih baik walaupun tatu tidak menghalang keislamannya.
Baginya, cabaran terbesar adalah kesakitan prosedur, namun subsidi yang ditawarkan dalam program ini sangat membantunya menanggung kos rawatan.
Program MKH bekerjasama rapat dengan klinik GP, Pristine Medical Clinic, di Jurong West yang menggunakan mesin MedLite C6 – mesin laser bernilai sekitar $150,000 untuk membuang tatu.
Doktor di klinik tersebut, Dr Khairul Abdul Rahman, menjelaskan sebelum seseorang itu menjalankan rawatan menghilangkan tatu, beliau akan menyapukan krim untuk kebaskan kulit, sekurang-kurangnya sejam.
“Rawatan itu bergantung pada saiz dan mutu tatu. Jika tatu besar, ia memerlukan masa yang lebih lama untuk dihilangkan.
“Jika dakwat tatu itu bermutu tinggi, ia juga memerlukan lebih banyak sesi.
“Jadi, seseorang itu perlu datang berulang kali untuk menjalankan rawatan, untuk menghilangkannya 100 peratus,” jelas Dr Khairul.
Beliau turut menjelaskan bahawa warna dakwat juga memainkan peranan – selain dakwat hitam, warna lain lebih sukar untuk dihilangkan.
Bagi mesin laser Dr Khairul, ia tidak dapat mengesan warna hijau dan kuning.
Oleh itu, jika tatu mengandungi warna-warna tersebut, ia tidak dapat dihapuskan dengan rawatan laser ini.
Setelah sesi laser selesai, doktor akan menyapukan krim dan kemudian membalut tempat terjejas.
“Kulit individu yang telah menjalani sesi buang tatu akan melecur dan mereka akan mendapati kulit mereka melepuh.
“Lepuhan di kulit mereka hanya sementara, mungkin seminggu hingga dua minggu dan kulit mereka akan pulih seperti asal,” kata Dr Khairul.
Mengimbas pengalaman kedua-dua sesi menghilangkan tatu, Cik Aleeya menyingkap:
“Proses penyembuhan boleh berasa gatal dan sesetengah bahagian melepuh.
“Tahap kesakitan juga berbeza. Bagi saya, di telinga lebih sakit daripada di tangan dan di buku lali.
“Selepas satu atau dua bulan nanti, doktor akan jadualkan untuk sesi seterusnya.”
Bagi orang awam yang ingin mendapatkan lebih maklumat mengenai program MKH, sebuah sesi rumah terbuka akan diadakan pada Mei bagi memberikan penerangan secara langsung kepada mereka yang berminat.
Mengenai harapan masa depan MKH, Encik Farhan berkongsi:
“Kami ingin memperluaskan lagi jangkauan dan memberi manfaat kepada lebih ramai individu yang memerlukan sokongan dalam proses yang lebih positif.
“Selain itu, kami ingin melihat lebih ramai peserta yang berjaya bukan sahaja dalam menghapuskan tatu, bahkan dalam pembangunan rohani dan peribadi mereka.
“Kami berharap program ini menjadi platform yang memberi inspirasi dan membuka peluang untuk transformasi hidup yang lebih positif.”
“
“Kami berharap program ini menjadi platform yang memberi inspirasi dan membuka peluang untuk transformasi hidup yang lebih positif.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg