Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja kesal buat tatu guna peniti, dakwat pena

Feb 16, 2025 | 5:30 AM
Tatu berbentu ‘smiley face’ pada tangan kiri Razali (bukan nama sebenar) dibuat oleh kawannya menggunakan dakwat pena dan jarum peniti.
Tatu berbentu ‘smiley face’ pada tangan kiri Razali (bukan nama sebenar) dibuat oleh kawannya menggunakan dakwat pena dan jarum peniti. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Berputik daripada rasa ingin tahu, seorang remaja yang berusia 14 tahun ketika itu, membenarkan seorang temannya mencucuk tangannya dengan jarum peniti halus dan kemudian diisikan dakwat pena untuk membuat tatu berbentuk ‘smiley face’.

Satu keputusan yang amat dikesalinya.

Walaupun ada di antara teman-temannya yang berkumpul di bawah kolong blok pada waktu itu menasihati agar tidak meneruskan niatnya, Razali (bukan nama sebenar) tetap berdegil dan ingin berasakan sendiri perasaan membuat tatu.

“Saya tidak rasa ia akan kekal lama. Oleh sebab itu saya teruskan,” kata pelajar Menengah 3 berusia 15 tahun itu.

Menurut Razali, temannya menggunakan dakwat pena jenama ‘Sarasa’ berwarna biru yang dikeluarkan daripada dalam pena bersama sebuah jarum peniti untuk membuat tatu itu.

“Dia melukis gambar itu pada tangan saya dahulu, kemudian menggunakan jarum untuk mencucuk-cucuk pada lukisan itu, sambil meletakkan dakwat pena ke dalam.

“Seluruh proses itu tidak sampai lima minit dan saya hampir pasti ia tidak akan kekal,” kata Razali ketika ditemui Berita Minggu (BM).

Razali mengaku tidak berasa sakit sewaktu tatu itu dibuat, hanya geli sedikit.

“Teman-teman saya juga mempunyai tatu, ada yang kecil dan ada yang lebih besar, dan ini perkara biasa dalam kalangan mereka.

“Kebanyakannya membuat tatu sendiri dengan menggunakan jarum atau mesin tatu yang dibeli,” katanya.

Razali mengesahkan teman-temannya itu bukanlah daripada sekolahnya dan mereka berusia antara 14 dengan 19 tahun.

Perbuatannya itu mendatangkan kemarahan keluarga apabila mereka mendapat tahu, terutama neneknya yang mahukan Razali membuang tatu itu serta-merta.

“Setiap kali berjumpa, nenek akan berleter dan saya sedar saya kena buang tatu ini.

“Ibu saya terus menghubungi program Mudik Ke Hulu (MKH) di Masjid Tentera dan saya dikehendaki menghadiri program selama 10 minggu sebelum dapat menjalani pembuangan tatu yang dikendalikan program itu,” kongsi Razali.

Setakat ini, Razali sudah selesai menghadiri 10 sesi program MKH pada 2024 dan akan menerima subsidi untuk pembuangan tatu yang berharga antara $80 dengan $250 pada setiap sesi bergantung kepada saiz tatu.

“Pada mulanya kami pergi ke klinik estetik yang menawarkan khidmat pembuangan tatu, tetapi ia tidak berkesan, jadi kami tidak teruskan. Saya juga mengalami luka bernanah setelah sesi itu.

“Seterusnya, selepas program MKH, saya dirujuk kepada Dr Khairul Abdul Rahman di Pristine Clinic dan telah pun melalui satu sesi,” kata Razali, sambil menunjukkan tatu yang masih kelihatan di tangannya.

Menurut Dr Khairul, yang menawarkan khidmat pembuangan tatu dan bekerjasama dengan program MKH, dakwat berwarna akan mengambil masa yang lebih panjang untuk dihapuskan.

“Pada dasarnya dakwat hitam lebih senang dihapuskan, dan dakwat berwarna, seperti biru atau merah - akan mengambil lebih masa.

“Untuk saiz kecil ia boleh mengambil sebanyak lima sesi, dan tempoh setiap sesi juga bergantung kepada saiz.”

Razali juga berkongsi dia telah dinasihati oleh guru-guru sekolahnya untuk membuang tatu ataupun menyembunyikannya buat sementara waktu.

“Kawan saya berasa bersalah kerana telah membuat tatu itu pada tangan saya, tetapi saya tidak salahkannya.

“Saya sendiri yang mahu, tetapi tidak berfikir panjang,” jelas Razali, yang berikrar tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.

Bagi bekas banduan, Encik Hashim (bukan nama sebenar), 41 tahun, beliau berkongsi telah membuat tatu yang pertamanya pada bahagian belakang badan sewaktu beliau berusia15 tahun.

“Pergaulan tentunya mempunyai pengaruh kepada perbuatan kita, dan pada waktu itu, saya terdedah dengan kawan-kawan yang bertatu. Pada usia 15 tahun, saya telah membuat tatu pertama di sebuah kedai tatu.”

Had umur untuk membuat tatu di kedai tatu ialah 18 tahun.

Menurut Encik Hashim, kedai tatu itu tidak menanyakan umurnya pada masa itu dan beliau membayar sekitar $80 untuk membuat tatu tersebut.

Encik Hashim, yang kededua tangannya dipenuhi lukisan tatu, juga berkata tatu di lengan kanan dibuat di kedai tatu dan di lengan kiri dibuat sepenuhnya di rumah kawan.

“Saya tahu ramai yang buat tatu sendiri kerana lebih murah daripada buat di kedai, tapi kalau tak berhati-hati, ia juga boleh memudaratkan.

“Misalnya, jarum yang digunakan dan dipakai semula boleh mendatangkan jangkitan. Saya pernah lihat sendiri, kalau terkena jangkitan, kulit akan bernanah, berdarah dan bengkak.”

Menjawab soalan wartawan sama ada Encik Hashim, yang juga pernah menjadi ahli kumpulan kongsi gelap, berniat untuk membuang tatunya, beliau menjawab:

“Saya pernah ditanya sewaktu di dalam penjara sama ada saya mahu membuang tatu, tetapi saya belum bersedia. Mungkin pada masa depan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg