Mufti: Kekal terbuka raih ilmu daripada pihak lain supaya dapat terus bersaing, cemerlang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mufti: Kekal terbuka raih ilmu daripada pihak lain supaya dapat terus bersaing, cemerlang

Gesa masyarakat Melayu/Islam giat raih ilmu, atasi cabaran salah faham agama dalam dunia digital
Feb 7, 2026 | 5:29 PM

Mufti: Kekal terbuka raih ilmu daripada pihak lain supaya dapat terus bersaing, cemerlang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Mufti, Dr Nazirudin Mohd Nasir, SalamSG
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menggesa masyarakat untuk terus terbuka apabila meraih ilmu supaya terus cemerlang dan dapat menghadapi cabaran baru dalam ucapannya semasa pelancaran SalamSG Ramadan 1447H (2026) di Masjid Yusof Ishak pada 7 Februari. - Foto BM oleh KHALID BABA

Lambakan maklumat keagamaan yang mudah diakses dalam dunia digital hari ini telah mewujudkan unsur berbahaya dan salah faham tentang agama, kata Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Keadaan ini menimbulkan banyak kekeliruan tentang erti sebenar menjadi seorang Muslim yang baik, ujar beliau, menambah.

Justeru, beliau berkata masyarakat Melayu/Islam Singapura perlu terus bertanya kepada diri sendiri bagaimana untuk membina institusi pembelajaran bagi menyediakan bimbingan dan pendidikan terbaik.

“Dalam dunia hari ini, sekiranya kita tidak mengambil sebarang tindakan, kita akan berdepan dengan situasi di mana masyarakat kita sendiri akan keliru, dan tidak pasti tentang apa yang dimaksudkan dengan menjadi Muslim yang baik,” kata Dr Nazirudin, yang menggariskan cabaran seterusnya bagi masyarakat Melayu/Islam Singapura dalam konteks kehidupan beragama ialah bidang pendidikan.

Ini termasuk keterbukaan untuk belajar daripada pihak lain, kesediaan mengakui keterbatasan pengetahuan, serta keterbukaan mendapatkan kepakaran daripada mereka yang berpengalaman, agar kita dapat bersaing dan mencapai tahap kecemerlangan tertinggi.

Dr Nazirudin berkata demikian semasa pelancaran SalamSG Ramadan 1447H (2026) di Masjid Yusof Ishak pada 7 Februari.

Gerakan yang bermula sejak 2022 itu, antara lain bertujuan memberi bimbingan kepada masyarakat Melayu/Islam dan masjid-masjid menjelang Ramadan yang dijangka bermula pada 19 Februari ini.

Menyentuh mengenai peranan masjid-masjid di Singapura, Dr Nazirudin berkata kekayaan dan keindahan masjid tempatan terletak pada peranannya sebagai nadi masyarakat.

“Kita tidak punyai masjid terbesar mahupun menara masjid dan siling tinggi yang bernilai berjuta dolar, tetapi kekayaan dan keindahan masjid kita terletak pada apa yang berlaku di dalamnya.

“Ini daripada pelbagai kegiatan yang dianjurkan, kepada kesepaduan hati dalam saling membantu, serta kesediaan para sukarelawan untuk tampil menyumbang dalam pengurusan dan pentadbiran masjid,” jelasnya.

Menambah, Dr Nazirudin berkata walaupun terdapat segelintir individu yang melakukan kesalahan sehingga mencemarkan nama dan institusi masjid, perkara tersebut merupakan perkara yang jarang berlaku dan bukan satu kebiasaan.

Sebaliknya, Dr Nazirudin berkata Singapura mempunyai masjid yang boleh dibanggakan, walaupun beliau akur usaha memperkukuh dan membangunkan masjid perlu diteruskan, termasuk menambah baik beberapa aspek tertentu agar institusi tersebut dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Jawatankuasa Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL), para sukarelawan, serta pakar yang tampil menyumbang idea dan kepakaran dalam usaha berterusan memperbaiki dan memajukan masjid tempatan.

Sementara itu, menyentuh tentang Ramadan yang bakal menjelang, Dr Nazirudin mengingatkan tetamu yang hadir semasa acara tersebut agar mempertingkat diri ke tahap tertinggi dari segi kerohanian dan akhlak.

Beliau turut menggalak mereka supaya memanfaatkan bulan Ramadan untuk melakukan kebaikan dan bermuhasabah.

Tambahnya, Ramadan secara tidak langsung menggantung rutin harian biasa seseorang sepanjang sebulan, sekali gus memberi peluang untuk menilai semula keutamaan hidup.

“Biasanya kita bangun tidur dan terus fikirkan tentang sarapan, dan beberapa jam kemudian fikirkan pula tentang makan tengah hari.

“Ini perkara biasa. Tetapi semua itu digantung semasa Ramadan… kita boleh fikirkannya kemudian, jadi gunakanlah masa itu untuk bermuhasabah.

“Masa itu diberikan kepada kita untuk memberi tumpuan kepada refleksi diri,” kata Dr Nazirudin, memberi nasihat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg