SalamSG Ramadan 2026 dilancar
Lebih 500 keluarga pendapatan rendah bakal terima baucar pasar raya, barang runcit sepanjang Ramadan
Lebih 500 isi rumah dan keluarga berpendapatan rendah akan menerima barangan runcit dan baucar pasar raya untuk membeli keperluan harian sepanjang Ramadan 2026, menerusi inisiatif yang diusahakan oleh kakitangan masjid, relawan dan rakan kongsi lain dalam masyarakat.
Sebanyak 80 isi rumah di kejiranan Yishun menjadi kumpulan pertama menerima habuan masing-masing daripada kira-kira 100 relawan pada 7 Februari.
Menyusuli pengagihan habuan di Yishun, kumpulan sukarelawan tersebut turut mengunjung Rumah Penjagaan Ren Ci di Hospital Woodlands untuk memberi cenderahati kepada 300 penghuni.
Inisiatif SalamSG Gives itu bakal diperluas ke kawasan lain pada masa terdekat, menurut jurucakap SalamSG.
Ia dilancarkan sempena pelancaran kempen SalamSG Ramadan 2026 pada 7 Februari di Masjid Yusof Ishak oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Turut hadir di majlis itu ialah Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohd Saat Abdul Rahman; dan Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen.
Pengerusi Bersama SalamSG, Encik Mohamad Firdhaus Abdul Jaber, berkata inisiatif SalamSG Gives merupakan usaha khidmat masyarakat yang mencerminkan semangat memberi, dan menggalakkan sokongan komuniti terhadap golongan yang memerlukan.
“Matlamat SalamSG ialah untuk memastikan masjid terus bersatu padu, saling terhubung, dan memberi kesan dengan menterjemahkan nilai syukur, sopan, dan santun kepada tindakan bekerjasama dengan kariah masjid-masjid lain, serta rakan strategik,” kata Encik Firdhaus, yang juga Pengerusi Masjid Darul Aman.
Sejak dimulakan pada 2022, SalamSG bertujuan memberi bimbingan kepada masyarakat Melayu/Islam dan masjid dalam amalan masing-masing semasa Ramadan.
Mengulas tentang gerakan SalamSG 2026, Dr Faishal berkata pesanan tahun ini dipandu oleh tiga nilai murni, iaitu kesyukuran, kesantunan, dan kesopanan.
“Nilai-nilai ini ringkas tetapi ia membentuk jati diri kita bukan sahaja pada Ramadan, malah pada bulan seterusnya. Menerusi SalamSG, kita mengukuhkan iman, menyokong keluarga, dan membina masyarakat yang penyayang,” ujar beliau.
“Ia juga (bertujuan) membantu masyarakat berkembang dari segi rohani, serta berkhidmat kepada orang lain,” tambahnya.
Buat julung-julung kali, satu acara yang ditujukan kepada setiap peringkat usia telah diadakan di Masjid Yusof Ishak.
Dinamakan Festival SalamSG, ia menampilkan 15 reruai yang mengetengahkan buku agama buat kanak-kanak dan bengkel ibu bapa yang berkongsi panduan persiapan Ramadan untuk anak mereka.
Selain itu, program seperti syarahan Ramadan, sesi ‘usrah’ untuk golongan Muslimah dan forum astronomi, turut diadakan.
Program yang biasa diadakan SalamSG sempena Ramadan, seperti ‘Night of Power’, ‘Ramadan Youth Challenge’, dan ‘Nuzul Quran’ terus dijalankan di masjid lain.
Dalam pada itu, majlis penyampaian anugerah bagi pemenang Pertandingan Tadabbur QuranSG turut diadakan pada 7 Februari.
Berlangsung dari Ogos 2025 hingga Disember 2025, pertandingan menghasilkan video kreatif bagi menggalak muhasabah diri dan pemahaman ayat Al-Quran itu disertai lebih 100 peserta.
Juara pertandingan merupakan Encik Mohamed Ridhwan Mohamed Yunos dan Mihwar Services, iaitu penyedia perkhidmatan sosial dan perundingan Islam serta pendidikan, yang bergabung tenaga.
Encik Muhammad Hakim Roslee merangkul tempat kedua, manakala tempat ketiga jatuh kepada Encik Isa Muhammad.
Hadiah bagi tempat pertama ialah $3,500 berserta piala dan sijil, manakala tempat kedua menerima $2,500 berserta piala dan sijil, dan tempat ketiga pula memperoleh $1,500 berserta piala dan sijil.
QuranSG ialah inisiatif kerjasama antara masjid-masjid tempatan, Pejabat Mufti, serta Sektor Satu Masjid (OMS) Muis.

